Hidup secara berjamaah sungguh seronok. Dalam erti kata sebenar, masing-masing bantu membantu, sokong menyokong, tolong menolong antara satu sama lain. Tiada yang merasa dianaktirikan kerana masing-masing berpegang kepada hadis, “Tidak sempurna iman seseorang itu sekiranya dia tidak menyayangi saudaranya sepertimana dia mengasihi dirinya sendiri”.
Dalam apa jua tindakan, kita awal-awal lagi telah memasukkan diri kita ke dalam sepatu saudara kita. Kalau kita jadi saudara kita, sanggup tak kita lakukan demikian? Kalau kita jadi dia, sanggup tak kita bertindak atau berkorban begitu?
Pendek kata, segenap tingkahlaku kita semuanya ke arah menjaga hati saudara kita supaya dia tidak terguris atau terasa hati.
Tidak pernah dalam pemikiran kita untuk melihat kesusahan saudara kita, apatah lagi jika kepayahan yang dialaminya adalah angkara perbuatan diri kita.
Kita pernah mendengar cerita sahabat Rasulullah (SAW) yang kehausan semasa perang. Masing-masing telah tercedera dan tersangat dahaga tetapi mereka masih mampu untuk menyuruh sahabat di sebelah meminumnya dahulu. Sahabat itu pula menyuruh sahabat di sebelahnya pula. Dan akhirnya, bekas air kembali kepada sahabat yang pertama semula. Akhirnya, semua meninggal dan tidak sempat meminum air yang begitu dihajati mereka. Lihat betapa tinggi atau besarnya semangat berkorban untuk mendahului sahabat!
Saya melihat dari aspek perasaan kasih sayang dan mendahuluikan sahabat begitu menebal.
Ada suatu kes…
Di luar sebuah masjid ada paip air yang mempunyai 3 pili (kepala paip). Jika seorang menggunakannya maka air keluar agak banyak tetapi apabila ketiga-tiga paip dibuka maka air akan dibahagi tiga dan ternyata air mengalir agak perlahan. Dalam keadaan sedemikian, saya melihat masing-masing cuba membuka paip semaksima yang mungkin. Masing-masing ingin berwudhu’ dengan jumlah air yang selesa. Maka apa yang terjadi? Air mengalir tersangat perlahan!
Sepatutnya masing-masing dalam perasaan ukhuwwah membuka seminima yang mungkin dan mengharapkan sahabat di sebelah mendapat amaun air yang melebihi dari dirinya!
Itu baru bab ingin berwudhu’! Belum lagi bab haus dahaga yang teramat sangat. Mari kita cuba bayangkan apa yang akan berlaku agaknya jika semua dalam keadaan haus dan ingin meminum air. Adakah ia akan berlaku sepertimana apa yang berlaku kepada para sahabat ar-Rasul?
Satu lagi contoh yang paling mudah ialah apabila saudara kita menelefon kita untuk meminjam kenderaan. Sudah pasti, kita tidak mahu saudara kita susah dan kita cuba membantu memberi pinjaman sepertimana yang diperlukan itu.
Kita yang meminjam pula perlu juga menjaga hati saudara kita yang telah memberi pinjam. Janganlah kita kembalikan kenderaan sahabat kita tadi tanpa setidak-tidaknya menambah balik jumlah minyak yang telah digunakan! Kalau tidak, itu bukan pinjam namanya tetapi ia adalah menggunakan harta saudara kita. Kalau hendak dikira banyak ‘wear and tear’ berlaku; tayar, minyak injin, brek, dan sebagainya. Tetapi dengan mengisi minyak seadanya, maka hati sahabat kita terasa puas.
Seeloknya lagi, kalau kita dapat membasuh kenderaan yang kita pinjam! Lagi baik! Memang tuan punya tak suruhpun tetapi pandai-pandailah, “Orang Berbudi, Kita Berbahasa.”
Setidak-tidaknya kita membuat sesuatu extra kepada sahabat yang kita sayangi. Dia sudah ‘sacrifice’ untuk kita, maka kita pula perlu juga ‘sacrifice’ sedikit bagi menjaga hati dia pula…
Jangan pula kita ambil mudah! Oh tak apa, dia 'brother' atau 'sister', takkan sikitpun nak berkira?
No comments:
Post a Comment