Setiap pasukan tentera moden mempunyai doktrinnya yang tersendiri apabila menghadapi pasukan musuh. Tujuan angkatan tentera diwujudkan juga jelas dan ia berbeza dengan pasukan polis. Setiap anggota tentera sudah pasti tugasnya yang hakiki ialah untuk membunuh atau mati dibunuh. Manakala pasukan polis pula sepatutnya tugas hakiki mereka ialah menjaga keselamatan masyarakat awam!
Apabila kita membaca sirah Rasulullah (SAW), kita melihat bagaimana bersemangatnya sahabat untuk pergi berjihad... Matlamat mereka hanya satu iaitu samaada menang atau syahid!
Dalam kebanyakan peperangan kita nampak jumlah tentera Islam rata-ratanya bilangan mereka adalah sedikit. Peperangan Badar umpamanya dianggotai oleh seramai 313 orang menentang 1,000 orang musyrikin! Tetapi yang amat memeranjatkan ialah dalam peperangan Mu'tah, tentera Islam hanya 3,000 orang dan menentang tentera Rom seramai 200,000 orang!
Bagaimana ini boleh berlaku? Tidak adakah perkiraan keadaan yang dilakukan oleh pasukan tentera Islam?
Sebelum kita menjawab persoalan ini, elok kita melihat latar belakang peristiwa sehingga tercetusnya peperangan Mu'tah.
Kes ini bermula apabila Rasulullah menghantar utusannya iaitu al-Harith bin Umar al-Uzdi untuk menyebarkan risalah Islam ke daerah Basra. Malangnya, gabenor bandar Balqa' iaitu Syurahbil bin Umar al-Ghassani telah menangkapnya dan menyerahkan kepada Qaisar Rom yang kemudiannya bertindak memancung al-Harith. Ia berlaku di tahun ke lapan Hijrah (629 Masihi).
Mendengar berita tersebut, Rasulullah (SAW) terus mengumpul satu kontijen tentera dengan kekuatan seramai 3,000 orang. Ini merupakan bilangan tentera yang teramai yang pernah Rasulullah (SAW) kumpulkan selain daripada peperangan al-Ahzab.
Panglima perang diserahkan kepada Zaid bin Harithah. Sekiranya Zaid gugur maka Jaafar bin Abu Talib yang akan menggantikannya. Dan sekiranya Jaafar gugur, maka Abdullah bin Rawahah pula akan tampil menerajui kepimpinan Islam. Itulah pesanan Rasulullah (SAW).
Rasulullah (SAW) menyuruh tentera Islam melalui kawasan di mana al-Harith dibunuh, disamping mengajak orang-orang di sana kepada Islam.
Betapa mulianya expedisi tentera Islam, mereka dipesan oleh ar-Rasul, "Ayuh! dengan nama Allah seranglah mereka yang kufur dengan Allah, janganlah kamu khianati atau menyamun, jangan membunuh anak-anak kecil atau perempuan, atau orang tua, atau orang bertapa di gereja, jangan kamu tebang pokok-pokok dan jangan roboh bangunan-bangunan".
Berbezakan dengan tentera zionis yahudi yang membunuh anak-anak kecil, perempuan, dan orang tua di Palestin...
Tentera Islam bergerak ke utara dan apabila tiba di Ma'an, dalam jajahan negeri Syam, mereka mendapat berita bahawa tentera Rom telah bergerak ke tempat bernama Ma'ab di daerah al-Balqa' dengan kekuatan 100,000 anggota. Kemudian tentera Rom ini turut bergabung dengan qabilah-qabilah Arab yang lain seramai 100,000 orang lagi.
Sebenarnya tentera Islam sedikitpun tidak menyangka bahawa mereka akan bertarung dengan sebegitu besar bilangan tentera Rom! Mereka mengadakan musyawarah di Ma'an selama 2 malam berturut-turut. Ada yang berpendapat supaya dihantar surat memaklumkan kepada Rasulullah tentang bilangan musuh yang begitu ramai dan mengharapkan bantuan dari Rasulullah atau arahan yang lain.
Tetapi Abdullah bin Rawahah membangkang pendapat tersebut seraya berkata; "Wahai kalian, demi Allah sesungguhnya yang kamu tidak suka, itulah sebenarnya yang kamu semua keluar kerananya, mati syahid, kita tidak memerangi manusia dengan bilangan kita yang banyak atau dengan kekuatan dan persenjataan, kita tidak memerangi mereka kecuali dengan agama ini yang dikurniakan oleh Allah kepada kita sehingga kita menjadi mulia, ayuh marilah kamu ke hadapan ambillah salah satu kebaikan; kemenangan mengatasi musuh atau mati syahid!"
Tentera Islam menyusun strategi di Mu'tah, unit kanan diletak di bawah kepimpinan Qutbah bin Qutadah al-Uzri manakala unit kiri di bawah pimpinan Ubadah bin Malik al-Ansari.
Di sini 3,000 tentera Islam melawan 200,000 tentera kuffar. Satu peperangan luar biasa yang pernah dunia saksikan dengan kehairanan dan keajaiban! Tetapi inilah yang dikatakan, apabila iman menyemarak di jiwa, maka berlakulah perkara-perkara luar biasa...
Zaid, orang kesayangan Rasulullah merempuh serangan musuh dengan berani dan terus mengasak sehingga beliau terkena tikaman musuh dan syahid. Panji-panji Islam diambilalih oleh Jaafar.
Jaafar berperang dengan beraninya, apabila tangan kanannya terpotong dipegang panji Islam dengan tangan kirinya. Apabila tangan kirinya juga terputus, lalu diapit bendera itu dengan kedua-dua belah lengannya. Jaafar juga syahid dengan kesan tikaman sebanyak 50 liang. Ada riwayat yang lain mengatakan lebih 90 liang tikaman dan tetakan.
Kemudian bendera Islam dicapai oleh Abdullah bin Rawahah. Sambil memacu kudanya ke depan, beliau bermadah;
Duhai jiwa ku!
Ku bersumpah
Kau pasti menghadapi kerelaan cabaran
Kiranya sudah orang mencapainya
Kenapa kau berlengah
Membenci syurga Allah?
Beliau terjun dari kudanya dan terus bertarung sehingga gugur syahid.
Thabit bin Arqam memegang bendera Islam sementara mendapat panglima baru. Akhirnya semua bersetuju supaya Khalid bin al-Walid memegang panji Islam. Khalid terus mengharungi kancah pertempuran yang sedang sengit. 9 bilah pedang Khalid patah pada peperangan ini, dan hanya pedang Yamaniahnya yang tinggal.
Meskipun keberanian yang luar biasa dan kepahlawanan yang tiada tara bandingnya di pihak Islam, namun bagi sekumpulan tentera yang kecil berbanding dengan tentera musuh yang ramai hingga menutupi bumi Mu'tah, memang luar biasa untuk memenangi tentera Rom.
Setelah berperang sepanjang hari, Khalid dengan kebijaksanaan ilmu ketenteraannya berjaya mengeluarkan tentera Islam dari kancah peperangan. Khalid juga berjaya menakutkan pihak musuh dari menjejaki atau memburu tentera Islam dari belakang. Sebenarnya beliau amat arif bahawa peluang untuk melepaskan tentera Islam dari suasana yang dihadapinya itu amat tipis, terutama dalam keadaan tentera Islam berkecamuk malah pihak tentera Rom pasti akan memburu mereka dari belakang.
Khalid melaksanakan perancangannya dengan menukar posisi tentera menjelang waktu Subuh. Beliau menyusun tentera dengan meletakkan barisan hadapan ke belakang, yang kiri ke kanan dan sebaliknya.
Apabila tentera Rom melihat penyusunan yang baru, mereka menyangka bahawa tentera Islam telah mendapat bantuan. Tentera Rom mula merasa takut dan gerun. Sambil berperang, Khalid perlahan-lahan membawa tentera Islam berundur tetapi masih mengekalkan sistem dan struktur tentera di posisi masing-masing.
Pihak tentera Rom tidak pula memburu tentera Islam kerana pada sangkaan mereka bahawa tentera Islam menggunakan taktik untuk memerangkap mereka di gurun padang pasir luas saujana mata memandang.
Bilangan tentera Islam yang syahid ialah seramai 12 orang manakala tentera Rom dijangkakan bilangannya lebih tinggi.
Natijahnya, walaupun tentera Islam tidak dapat menuntut bela, namun kesan peperangan ini amat besar sekali. Orang-orang Arab secara keseluruhannya takjub dengan keberanian tentera Islam yang melawan Rom yang pada masa itu adalah suatu kuasa besar.
Sangkaan awal mereka ialah keberanian orang-orang Islam dalam menentang tentera Rom yang begitu besar adalah keberanian membunuh diri! Setelah tentera Islam pulang ke Madinah tanpa kerugian yang besar, semuanya menjadi macam satu lagenda, malah dengan peristiwa ini membuktikan bahawa tentera Islam adalah unik dan belum pernah bangsa Arab mengenali contoh seumpama ini...
Qabilah-qabilah Arab yang sebelum ini menjadi musuh ketat Islam telah mengubah pendirian mereka. Banu Salim, Asyja', Ghatafan, Zibyan, Fazarah dan lain-lain telah memeluk Islam...
No comments:
Post a Comment