Pagi ni ada dua 'missed call' dari Mesir. Sekali semasa masih di rumah sekitar jam 8.30 pagi dan sekali lagi dalam pukul 10.30 pagi. Nombor yang tertera bukan nombor Kak Long tetapi kita tahulah bahawa nombor itu nombor dari Mesir.
Setelah beberapa kali mencuba untuk menghubungi Kak Long hari ini, sekitar jam 12.30 tengahari, aku dapat bercakap dengan Kak Long.
Kak Long masih berada di Malaysian Hall. "Berapa ramai pelajar-pelajar di Malaysian Hall, Long?", tanya ku. "Dalam seribu lebih kot, bah!", balasnya.
Suasana kita di sini berkumpul beramai-ramai di Dewan atau Balai Raya, serta sekolah kerana banjir. Tetapi pelajar-pelajar di Kaherah ditempatkan di Malaysian Hall dan Rumah-Rumah Negeri kerana rusuhan di Mesir.
Cuma yang berbezanya, masyarakat mangsa banjir mendapat makanan percuma di penempatan sementara mereka. Pelajar-pelajar kita yang meninggalkan rumah sewa mereka dan menempat sementara di Malaysian Hall terpaksa membeli makanan yang agak mahal yang dijual di Malaysian Hall! "Tapi abah, Kak Long makan biskut, aje..."
"Duit biasiswa dah masuk bah, cuma Kak Long sempat ambil seratus lebih aje... Sekarang bank dah tak berfungsi lagi...", jelas Kak Long.
"Kedutaan memberi taklimat, katanya kapal TLDM akan ambik kita orang dan bawa ke Jeddah. Sesiapa yang hendak balik ke Malaysia dari Jeddah kena guna tambang sendiri. Sementara kita berada di Jeddah, kerajaan akan tanggung makan dan tempat tinggal", jelas Kak Long lagi.
"Tetapi kapal ni tak boleh muat ramai... So, priority ialah fasa pertama, famili dan anak-anak. Kemudian, akhawat dan lepas tu baru ikhwah", tambah Kak Long.
Ya Allah, Engkau selamatkanlah anak-anak kami di Mesir. Lindungilah mereka, tabahkan hati mereka, kuatkan semangat mereka, cekalkan hati mereka. Sesungguhnya kami hanya mampu berdoa dan berserah kepadaMu, ya Allah! Terimalah permintaanku ini, ya Allah...
No comments:
Post a Comment