Semasa aku kanak-kanak, musim tengkujuh cukup dinanti! Bulan-bulan November, Disember, dan Januari dikatakan musim tengkujuh berlaku. Angin monsun Timur Laut pada musim ini bertiup kencang. Hujan turun tanpa henti boleh dikatakan setiap hari. Jarang sekali nampak kelibat matahari.
Pokok-pokok kelapa nampak begitu lembut, sekejap ke kiri dan sekejap ke kanan menurut tiupan angin yang menderu. Sawah padi nampak macam laut dipenuhi air. Taut-taut ditahan dalam sawah berumpankan cacing untuk mendapat haruan, puyu, dan sepat. Kalau rajin menahan pukat dalam taliair, ikan lampam, sepat, belida, duri, dan udang galah, pun dapat. Kalau rajin lagi, aku pergi menebar jala. Sungguh seronok aktiviti di musim tengkujuh.
Semua ikan yang diperolehi diberi kepada orang. Aku sendiri tak makan. Arwah ibuku makan juga tetapi tidak begitu rancak. Arwah nenekku yang ku panggil ‘Mek’ dan dikenali sebagai ‘Mak Teh’ di kalangan murid-murid mengajinya cukup suka ikan puyu. Kalau dapat ikan puyu dibakar tawar dan dicecah budu... Huh!, mertua lalu di belakang pun tak nampak!
Aktiviti air begitu rancak di musim tengkujuh! Habis aje mengaji Quran dengan nenek, ada aje aktiviti selepas itu. Paling tidak, menahan bubu atau pukat dalam parit! Suatu hari, aku pernah dapat ikan lampam sebesar 2 tapak tangan terlekat pada pukat yang ditahan dalam parit.
Yang paling dinanti-nanti ialah air mengalir deras di depan rumah nenekku, tempat kami mengaji. Itu menunjukkan air bah mula masuk kampung. Air Sungai Kelantan sudah merentasi jalan dan makin meningkat naik.
Apa lagi, semua budak-budak mengaji mula berpesta! Habis batang pisang ‘gala’ ditebang untuk dibuat rakit.
Turun pagi dengan pakaian kering bermain rakit. Tengahari balik rumah sekejap untuk makan tengahari. Kemudian turun lagi.
Makanan yang paling enak di musim tengkujuh ialah nasi panas dengan ikan budu digoreng dengan telor, diperah asam limau nipis dan dipenyek cili padi. Kalau ada ubi kayu atau keledek dicecah kelapa lagi seronok. Keledek juga ada jenisnya. Kalau dapat keledek ‘keduduk’, yang berwarna ungu, ump… sedapnya tidak terkata...
Cuma pada musim tengkujuh, pakaian amat susah untuk dikeringkan. Arwah mak menggunakan api untuk menyalai pakaian. Itu kadang-kadang, apabila kita turun bermain bah, bila balik tukar pakaian kering, kemudian turun bermain lagi. Puas arwah mak menyuruh memakai pakaian basah apabila anaknya kembali semula bermain air. Siapa nak pakai pakaian basah...sejuuk!
Ayam, serati, dan itik peliharaan mak akan berkongsi jemuran dengan kami. Jika ada yang masih dalam reban di bawah rumah, kami tangkap dan diletakkan di atas jemuran.
Sesiapa yang mempunyai lembu, kambing serta biri-biri, ternakan mereka dibawa ke stesyen keretapi. Di sana tanahnya tinggi, dan air bah tak pernah menenggelamkannya.
Bila habis musim banjir, aktiviti seterusnya ialah mengail udang galah. Udang galah dikatakan tidak mendapat makanan semasa musim banjir dan pada masa inilah peluang kita untuk menaikkan udang galah yang bersepit biru dan berbulu. Sungai Kelantan akan dipenuhi dengan perahu-perahu yang cuba untuk menaikkan sebanyak mungkin udang galah!
Banjir juga membawa segala kotoran dan sampah sarap keluar dari kawasan rumah ke kuala. Selepas itu, ia membekalkan tanaman dengan tanah berbaja. Tanah-tanah selepas banjir begitu subur.
Sejak aku kecil sehinggalah sekarang, tidak pernah aku melihat ada orang datang membawa bekalan makanan, pakaian atau sebarang duit sumbangan kepada mangsa banjir di kampungku!
Banjir berlaku saban tahun dan aku amat menunggu kedatangannya. Jika ia tidak datang setahun, amat terasa ketidakhadirannya! Sekarang semua itu hanya tinggal kenangan! Aku sekarang berada di daerah lain, daerah yang menerima banjir sebagai bencana dan bukannya anugerah…
No comments:
Post a Comment