Saturday, July 30, 2011

Program Bina Insan FGHT Ke-6

Alhamdulillah pada hari Jumaat (29 Julai) berlangsung Program Bina Insan Fakulti Geoinformasi & Harta Tanah Ke-6. Program bermula dari jam 0915 hingga 1015 pagi.

Pada kali ini, kita mengundang Ustaz Ahmad Marzuki Mohamed untuk membicarakan tentang Ramadan: Persiapan, Amalan, dan Penghayatannya.

Saya secara personal begitu teruja melihat kedatangan staf FGHT yang bertali arus. Walaupun majoritinya dari kalangan staf sokongan, alhamdulillah sekurang-kurangnya, kita menyediakan program untuk mereka hadiri pada setiap bulan. Kedatangan pada kali ini agak ramai sehingga makanan yang disediakan tidak mencukupi!

Mungkin mereka terkesan dengan program motivasi staf sokongan yang dibuat di Port Dickson pada minggu lepas…

Kalaulah staf akademik juga dapat meluangkan masa, alangkah seronoknya. Disamping kita sama-sama menghadiri majlis ilmu, staf sokongan dan staf akademik akan lebih rapat dan mesra berada dalam satu majlis bersama.

Walau apapun, “We can just bring the water to the horses but we can’t force them to drink it!!!”. Mungkin juga, “They’re not thirsty or perhaps they don’t like plain water. But whatever it’s, I’ll keep on bringing them water.”

Penerangan yang diberikan oleh Ustaz Marzuki begitu menarik perhatian para hadirin. Apabila ceramah berakhir, ustaz melayani beberapa soalan berkaitan puasa. Ada yang bertanya tentang mengelakkan diri dari mendengar nyanyian yang melalaikan di bulan Ramadan, ada yang bertanya tentang pembayaran fidyah, ada yang bertanya tentang gantian puasa oleh anak-anak untuk ibubapa yang telah meninggal dunia, dan sebagainya.

Jika diizinkan Allah, kita akan melaksanakan Program Bina Insan FGHT Ke-7 pada minggu kedua di bulan Ramadan. Mungkin pada kali ini, kita akan menyentuh tentang 10 malam terakhir Ramadan dan usaha mendapatkan Lailatul Qadr.

Saya juga turut terharu kerana ada saja insan pemurah untuk menaja makanan mahupun sumbangan wang ringgit kepada penceramah setiap kali program diadakan. Tetapi pada kali ini, sumbangan wang akan diuruskan oleh Timbalan Pendaftar yang akan mengambil nama dan nombor kad pengenalan penceramah untuk dibayar dengan cek, menggunakan vot fakulti.

Akhir sekali, pengharapan kita sebagai ‘organiser’ agar semua maklumat yang diperolehi dari Program Bina Insan ini dicontohi dan diamalkan dengan sedaya yang mampu. Kita tidak mahu ilmu melangit tetapi pengamalan hanya sebesar busut!

Sama-sama kita mendoakan supaya kita akan melaksanakan puasa, tarawih, solat tahajud, sedekah, memberi makan untuk mereka berbuka puasa, zikir al-ma’thurat, dan lain-lain amalan dengan sepenuh hati dan sebaik yang mungkin. Semoga kita berjaya memasuki syurga Allah melalui pintu ar-Rayyan iaitu salah satu dari pintu syurga yang disediakan Allah kepada mereka yang berpuasa!.

Ramadan Karim!!!

Friday, July 29, 2011

Focus Discussion Group (FDG): Pembangunan Desaru

Satu hari suntuk aku menghadiri FDG berkaitan pembangunan Desaru dan Bandar Penawar di Hotel Lotus Resort Desaru, Johor, semalam.

Seramai 15 orang peserta yang terdiri dari pensyarah UTM, pegawai KEJORA, dan pegawai dari Pejabat Tanah Pengerang dan Kota Tinggi.

Suasana perbincangan yang diadakan secara santai, diketuai oleh Ketua Projek Penyelidikan Prof Madya Dr Ismail Omar begitu menarik perhatian peserta.

Risau juga takut mereka balik selepas 'lunch' tetapi alhamdulillah mereka setia untuk sama-sama berbincang dalam 3 kumpulan kecil. Di akhir program, ketiga-tiga kumpulan membentangkan hasil perbincangan masing-masing.

Kawasan Desaru/Penawar dikatakan akan mengalami pembangunan pesat apabila Petronas membuka 'oil and gas industry' di kawasan Punggai. Banyak tanah-tanah di tepi pantai akan diambil balik oleh kerajaan bagi projek tersebut. Katanya ia akan memjadi sebuah bandar seperti Kertih di Terengganu.

Tak kurang menarik juga ialah dari segi UTM yang akan membuka cawangannya di sana. Setakat mana kebenarannya, kita masih ternanti-nanti. Dulu, katanya UTM akan pindahkan Program Diploma ke Bandar Penawar dan ramai di kalangan pensyarah yang tidak ada kelulusan Phd risau dan takut mereka akan ditempatkan di sana.

Hari berganti hari, tahun berganti tahun, tetapi semua itu hanya tinggal kenangan. Sekarang muncul kembali cerita ini...

Bagi pihak mereka yang berada di Penawar/Desaru, mereka begitu ternanti-nanti akan kemunculan UTM. Banyak perkara yang akan muncul, apabila UTM muncul. Industri perumahan, pasaraya, industri makanan seperti restoren, kedai menjual dan membaiki motor, kedai gunting rambut, klinik, dan sebagainya turut akan membangun.

Apapun kita hanya menunggu keputusan kerajaan untuk merealisasikannya. Dengan adanya highway Desaru-Senai, maka perjalanan akan menjadi lebih cepat dan dekat. Ia hanya mengambil masa 45 minit untuk sampai dari Desaru ke UTM.

Wednesday, July 27, 2011

Risalah Khas Mursyid: Suratku Kepada Suami Muslim Yang Mulia

Assalamu’alaikum wr.wb.

Aku suka memanggil kamu dengan nama di atas, (zauj karim) suami yang mulia. Ia bukan satu panggilan tradisi, sebaliknya ia satu panggilan yang disukai dan digemari Rasulullah s.a.w.. Aku akan beritahu kamu selepas ini dengan izin Allah, kenapa nama ini dipilih.

Adapun sebab aku menulis surat ini ialah beberapa aduan daripada akhawat anggota jamaah IM telah sampai kepadaku. Begitu juga aduan daripada akhawat yang bukan anggota IM. Meskipun aku rasa bertuah kerana diberi peluang hadir di muktamar akhawat yang diadakan beberapa minggu yang lalu di Dewan Muktamar University al-Azhar di bawah slogan: al-mar’ah al-Misriyyah… min atthaurah ila an-nahdhah (Wanita Mesir.. dari revolusi kepada kebangkitan memajukan negeri), dan aku telah berbicara kepada mereka tentang kewajipan wanita di peringkat individu, keluarga dan masyarakat, tetapi kita mesti tahu bahawa di sana terdapat hak-hak mereka daripada lelaki yang merupakan tanggungjawab aku dan tanggungjawab kamu.

Sesungguhnya aku memilih untuk berbicara kepada kamu secara langsung, mengingatkan kamu peranan yang dipikulkan Allah ke atas bahu kamu, yang dipesan oleh Rasulullah s.a.w. kepada kamu ketika baginda berada di ambang kematian. Ia merupakan wasiat terakhir yang paling berharga pernah diungkapkan oleh orang yang berwasiat.

Tuhan yang memiliki kebesaran berpesan kepada kamu supaya menjadikan hubungan kamu dengan isteri kamu bertunjangkan mawaddah dan rahmat, dibaluti kesedaran akan masuliah (pertanggungjawaban). Maka kamu adalah pengemudi bahtera keluarga. Kepimpinan kamu adalah kepimpinan yang berupa pertanggungjawaban, bukan penghormatan. Tuhan kamu berpesan supaya kamu jangan lupa kerana jika kamu lupa, kamu akan dilupakan. “… dan janganlah pula kamu lupa berbuat baik dan berbudi sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu kerjakan.” (Al-Baqarah: 237). Al-fadhl ialah kamu memberi lebih banyak daripada kamu meminta, kamu mengambil hak kamu lebih sedikit daripada yang sepatutnya.

Dia berkata kepada kamu, bahawa kamu melindungi isteri, anak-anak daripada kemudaratan dan perkara yang membahayakan sama ada dari aspek kebendaan dan maknawi, juga usaha kamu membawa manfaat kebendaan dan maknawi kapada mereka merupakan tanggungjawab yang diletakkan di atas bahu kamu sejak mula dijadikan ayah kamu Adam dan ibu kamu Hawwa sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Maka, Kami berfirman: Wahai Adam sesungguhnya Iblis ini musuh bagimu dan bagi isterimu; oleh itu, janganlah dia menyebabkan kamu berdua keluar dari Syurga, kerana dengan yang demikian engkau (dan isterimu) akan menderita.” (Ta Ha: 117)

Dan Nabi Musa a.s. telah merealisasikannya secara amali, sebagai mematuhi tuntutan Ilahi yang penuh dengan hikmah yang sangat mendalam maknanya “Ketika dia melihat api, lalu berkatalah dia kepada isterinya: Berhentilah! Sesungguhnya aku ada melihat api semoga aku dapat membawa kepada kamu satu cucuhan daripadanya atau aku dapat di tempat api itu: Penunjuk jalan.” (Ta Ha: 10). Ayat ini mahu menyampaikan bahawa Musa seolah-olah berkata kepada keluarganya: kamu tunggu di sini! Aku akan meninjau keadaan sekitar untuk mengelakkan kamu daripada bahaya dan perkara yang memudaratkan. Dan aku akan bawa kepada kamu perkara yang bermanfaat dari segi maddi dan maknawi.

Dan Allah juga telah menjadikan ikatan hubungan suami isteri ini dengan aqad yang kukuh yang diikat sendiri oleh kamu. Kamulah yang wajib memeliharanya. Allah akan menghisab kamu faktor-faktor yang menjadi ikatan itu kekal kukuh atau terburai “Dan bagaimana kamu tergamak mengambil balik pemberian itu padahal kasih mesra kamu telah terjalin antara satu dengan yang lain dan mereka pula (isteri-isteri kamu itu) telahpun mengambil perjanjian yang kuat daripada kamu?” (an-Nisaa’: 21)

Adapun kesalahan wanita atau keaipan mereka, ia seumpama keaipan kamu dan kesalahan kamu. Kedua-dua kamu perlukan kesabaran untuk merawatnya. Namun tali kekangannya tetap berada di tangan kamu agar kapal ini hanya dikemudikan oleh seorang individu sahaja. Urusan keluarga bukan tempat untuk berebut kuasa atau beradu tenaga untuk jadi ketua sabagaimana yang cuba dilakukan oleh musuh-musuh Islam dan musuh-musuh kemanusiaan untuk mencarikkan ikatan yang suci ini. Mereka cuba menyalakan api pertentangan antara lelaki dan perempuan dengan menggunakan setengah kesalahan yang dilakukan oleh sebahagian suami dan mengaitkan kesalahan itu dengan sistem Islam, syariah rabbaniah yang telah meletakkan tanggungjawab kepimpinan di bahu lelaki, semua lelaki ke atas semua wanita, demi memelihara kesejahteraan masyarakat.

Sesungguhnya al-Quran telah menyatakan dengan ringkas dan padat semua sistem-sistem yang diperlukan oleh manusia. Semua itu tersimpul di dalam beberapa ayat yang sangat ringkas. “Demi malam apabila ia menyelubungi segala-galanya (dengan gelap-gelitanya), Dan siang apabila ia lahir terang-benderang; Demi Yang menciptakan (makhluk-makhlukNya) lelaki dan perempuan, (jantan dan betina); (Maksud al-Lail: 1-3)

Malam dan siang, lelaki dan perempuan, saling bergandingan, lengkap melengkapi. Bukan berebut dan bersaing. Tiada kelebihan yang satu ke atas yang lain kecuali dengan melaksanakan peranan masing-masing.

Sebagai contoh, lihat isteri Firaun. Firaun mendakwa dirinya sebagai tuhan. Namun dakwaan itu sedikitpun tidak menjejaskan iman isterinya. Sebaliknya dua orang wanita lain yang menjadi isteri kepada dua orang nabi yang mulia, tidak mendapat apa-apa kelebihan di sisi Allah disebabkan keingkaran mereka. Dan Maryam pula, seorang wanita solihah yang tidak bersuami. Jadi setiap individu mempunyai kedudukan tersendiri di sisi Allah. Ia dihisab secara berasingan daripada pasangan masing-masing. Setiap orang mempunyai masuliah fardiah yang tidak boleh dipikul oleh orang lain.

Ketika Nabi s.a.w. menyebut bahawa wanita seperti tulang rusuk yang bengkok, itu tidak bermakna keaiban bagi wanita kerana wanita tidak menciptakan dirinya sendiri. Dari sisi lain kita dapati tulang rusuk yang bengkok itulah sebenarnya bentuk yang paling baik dan paling ideal. Kalaulah tidak kerana tulang rusuk itu bengkok, jantung tidak akan berada dalam keadaan yang selesa dan tidak akan dapat menjalankan pungsinya membekalkan darah ke seluruh anggota. Sepasang paru-paru juga begitu. Jika tulang rusuk tidak bengkok, seluruh tubuh tidak dapat bernafas, insan tidak akan hidup sihat dan sejahtera, tidak akan mampu melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan ke atasnya.

Justeru, Allah Azza wa Jalla berkata, ketika kamu tidak suka kepada sesuatu perkara yang ada pada isteri kamu – kesempurnaan itu hanyalah milik Allah jua - kamu juga tidak terlepas dari kekurangan dan kesilapan. Dalam kontek ini Allah berfirman maksudnya: “… Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).” (An-Nisaa’: 19)

Rasulullah s.a.w. pula telah menghuraikan perkara ini dengan terperinci dan praktikal yang kamu boleh laksanakan dengan segera. Kamu yang mesti laksanakan, bukan dia (isteri kamu) kerana kamu adalah pengemudi, kamu yang bertanggungjawab. Baginda bersabda maksudnya: “Janganlah seorang mu’min itu (suami) membenci seorang mu’minah (isterinya) kerana boleh jadi dia tidak suka pada sesuatu perangainya, dia suka perangainya yang lain”. Maksudnya di sini, jika kamu melihat sesuatu yang tidak ada kaitan dengan prinsip-prinsip iman, maka kamu mesti mengubah mood kamu sendiri, sehingga kamu dapat melihat dan mengiktiraf kelebihannya dari aspek yang lain yang pastinya terlalu banyak yang kamu sukai. Maka dengan itu perasaan benci dengan segera akan bertukar menjadi sayang.

Aku ingin mengingatkan kamu satu maklumat yang mudah yang kadang-kadang kita lupa. Tidakkah kamu yang membayar zakat fitrah isteri kamu, anak-anak dan khadam kamu walaupun isteri kamu seorang yang kaya raya? Itu merupakan lambang pertanggungjawaban yang dipikulkan ke atas kamu kerana itu bukan zakat harta. Zakat harta yang dimiliknya adalah tanggungjawab dia sendiri. Dia yang mesti tunaikan secara berasingan daripada kamu.

Awas kamu! Jangan ambil sedikitpun daripada hartanya tanpa izinnya dan jangan halang dia berbuat baik kepada keluarganya mengikut sukanya. Jika kamu berbuat demikian maka hisab kamu di sisi Allah amat sukar. Allah mengharamkan kezaliman ke atas diriNya dan menjadikan kezaliman itu haram ke atas sesama hambaNya.

Jadilah kamu orang yang sentiasa setia kepada isteri kamu kerana Rasulullah s.a.w. sentiasa setia kepada isterinya Khadijah r.a., kesetiaan yang sungguh indah sehingga selepas Khadijah meninggal dunia. Ia menjadi contoh bagi seluruh umat manusia.

Begitu juga baginda tidak menyembunyikan perasaan cintanya kepada Aishah r.a. ketika baginda ditanya siapakah manusia yang paling baginda cintai. Maka dengan spontan baginda menjawab dengan terang dan tegas: “Aishah!” . Lalu sahabat berkata bahawa mereka bukan tanya tentang wanita, dan sekali lagi baginda menjawab: “Ayahnya!”. Baginda tidak berkata “Abu Bakar”, sebaliknya berkata: “Ayahnya”. Ia memberikan gambaran hubungan mesra dan intim antara baginda dan Aishah dan secara tidak langsung menggambarkan kedudukan Abu Bakar di sisi baginda.

Adakah kamu fikir ada ungkapan yang lebih indah daripada ini bagi menggambarkan rasa cinta seorang suami kepada isterinya? Ungkapan yang begitu tulus lahir dari bibir suami pastinya mampu memadam apa-apa kesilapan dan perselisihan antara kamu berdua.

Seandainya ada masalah yang kamu hadapi, na’uzubillah, sudah sampai ke tahap bercerai, dan cerai adalah perkara halal yang paling dibenci Allah, isteri yang diceraikan itu berhak tinggal di rumah kamu, hak yang ditentukan sendiri oleh Allah, agar dengan keberadaannya di rumah itu, hati kamu dan hatinya akan menjadi lembut, dan perselisihan yang berlaku sebelumnya akan lebur.

Tidakkah kamu nampak, dalam keadaan yang begitu genting sekalipun, Allah tetap menghendaki kamu melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik mungkin. Perhatikan ayat-ayat berkaitan dengan talaq, kebanyakannya dibasahi dengan ciri-ciri kelembutan dan kebajikan. Lihat surah at-Talaq, ayat 1 hingga 3.

Akhirnya jangan kamu lupa wasiat perpisahan kekasih kita Rasulullah s.a.w. “Hendaklah kamu berpesan agar berbuat baik kepada wanita…”. Sungguh mengkagumkan, wasiat ini digandingkan dengan wasiat supaya menjaga solat. Tidakkah kamu rasa bahawa ia merupakan suatu perkara yang sangat penting?

Justeru, wahai saudaraku para suami, di manapun kamu dan dalam keadaan apapun, maka setia dan setialah kepada isteri kamu! Berbuat baik dan berbuat baiklah kepada isteri kamu! Beri perhatian dan beri perhatianlah kepada perasaan isteri kamu! Berbakti dan berbaktilah kepada keluarga isteri kamu!

Bantu dan bantulah isteri kamu untuk berbakti kepada keluarganya. Bawalah isteri kamu memikul bersama kamu beban keluarga dan beban dakwah. Jadikan dia sandaran belakang kamu supaya dia dapat berjalan seiring kamu sambil membawa risalah dakwah yang diwajibkan Allah ke atas kamu.

Awas dan awas daripada mengambil hartanya tanpa kerelaannya. Adapun jika dia rela, Allah telah jelaskan hukumnya di dalam firmanNya yang bermaksud: “… Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari mas kahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya." (An-Nisaa’: 4)

Ingat neraka dan neraka! Selamatkan isteri kamu darinya. “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari Neraka…” (At-Tahrim: 6)

Ingat syurga dan syurga. Bawalah dia bersama kamu serta anak-anaknya. “Mereka dengan pasangan-pasangan mereka bersukaria di tempat yang teduh, sambil duduk berbaring di atas pelamin.” (Ya Sin: 56)

Dan ingatlah juga bahawa orang yang terbaik dalam kalangan kita ialah yang paling baik kepada isterinya. Dan sesungguhnya Rasulullah s.a.w. orang yang paling baik kepada isterinya dalam kalangan seluruh umat manusia. Maka adakah kita mencontohinya?

Akhirnya, Rasulullah s.a.w. menamakan kamu suami yang mulia (zauj karim) selama kamu melaksanakan wasiatnya yang bermaksudnya: “Tidak memuliakan wanita kecuali orang (suami) yang mulia, dan tidak menghina wanita kecuali orang yang tercela!”. Maka jadilah kamu wahai saudaraku suami muslim yang mulia.

Semoga Allah berkati kamu pada isteri kamu, harta kamu dan anak-anak kamu. Semoga Allah rahmati ibu bapa kamu dan ibu bapa isteri kamu sama ada mereka masih hidup di dunia ini atau telah berpindah ke alam abadi. Semoga Allah himpunkan kamu berdua dalam kebaikan dunia dan akhirat. Semoga Allah berkati zuriat kamu berdua.

Sesungguhnya aku telah berbicara kepada para isteri dalam muktamar lepas dengan membawakan satu Hadis yang menjamin pahala untuk mereka, iaitu seorang wanita yang melayan suami dengan baik pahalanya menyamai jihad, solat jamaah, solat jumaat dan mengiringi jenazah. Dan redanya kamu kepada mereka merupakan pintu untuk mereka masuk syurga.

Aku berharap kamu tidak lupa kepada kami dalam doa-doa kamu yang baik-baik.

Was-salamu’alaikum wr.wb.

Saudara kamu,
Dr. Muhammad Badi’
Murshid Am Ikhwan Muslimin.

Sumber: http://zaadut-taqwa.blogspot.com/

Anugerah Khidmat Cemerlang (AKC)

Anugerah Khidmat Cemerlang 2010 atau Citra Karisma di UTM telah berlangsung beberapa minggu yang lepas. Anugerah ini sebelum Naib Cancelor, Tan Sri Prof Ir Dr Mohd Zulkifli Tan Sri Mohd Ghazali hanya diberikan kepada mereka yang berstatus Prof Madya ke bawah. Tan Sri Zul yang memulakan memberi anugerah ini kepada para profesor juga.

Apa hujahnya? Profesorpun ada yang bekerja cemerlang dan sekiranya kita tidak memberi anugerah juga kepada mereka maka kita tidak berlaku adil. Betul juga!

Alah, memang seorang profesor perlu berkhidmat dengan cemerlang, kalau tidak mana boleh capai status profesor. Dan gaji profesor dah berbelas-belas ribu. Apa ada RM1K kepada profesor? Betul juga!

Apapun hujah yang diberi, masing-masing mempunyai pandangan dan rasionalnya yang tersendiri, dan mungkin tidak dapat memberi justifikasi samaada elok atau tidak elok diberikan AKC kepada para profesor.

Cuma kalau kita dapat melihat kepada beberapa pepatah melayu… Pertama, “beri betis, hendak paha”, dan kedua, “air tawar secawan dituang ke laut, takkan dapat menghilangkan rasa masinnya”.

Peribahasa pertama menceritakan tentang kemahuan manusia yang tidak pernah puas. Dah dapat betis, hendak paha pula!

Peribahasa kedua pula bermaksud usaha yang dibuat itu tidak dapat menyelesaikan masalah tetapi sedikit sebanyak ia membantu!

Pada hemat saya, RM1K begitu besar nilainya kepada seorang kerani atau pembantu am rendah (PAR). PAR ialah nama jawatan dahulu dan sekarang tidak lagi dipanggil PAR. Saya lupa, apa nama yang dipanggil sekarang. Seribu ringgit yang diperolehi mungkin menyamai gajinya sebulan. Alangkah berbangganya dia dengan anugerah ini!

Tetapi RM1K kepada seorang profesor yang mempunyai pelbagai elaun dan setengahnya pula mempunyai kenderaan dan minyak yang ditanggung kerajaan, tidak begitu berharga anugerah yang diterimanya ini. Tahap kesyukuran diatas nikmat yang diterima mungkin tidak dapat menyamai mereka yang berada nun jauh di bawah sana!

Tambahan pula AKC yang berlaku sekarang bukanlah berdasarkan merit yang sebenar… Ramai penerima anugerah ini hanya berdasarkan ‘rotation’ atau pusingan. Engkau dah dapat tahun ini maka pada tahun depan orang lain pula dapat. Ada juga yang mendapat AKC kerana memenuhi kuota jabatan. Semua jabatan lain dah ada calon seorang satu tetapi jabatan ini perlu juga mengemukakan seorang calon. Dan hasilnya, dapatlah dia AKC ‘just’ untuk memenuhi kuota jabatan walhal tidak cemerlangpun!

Apa yang cemerlangnya si dia ni? Pelajar-pelajar yang diajarnya belasan orang yang ‘failed’! Kalau hendak dikatakan ke semua berbelas-belas orang itu bodoh, bagaimana pula setengahnya mendapat “straight A’s” dalam matapelajaran yang lain. Ada juga yang pernah mengambil subjek tersebut di UiTM sebelum ni dan lulus tetapi terpaksa mengambilnya lagi apabila menyambung pelajaran di sini dan gagal.

Si penerima AKC sendiri tidak percaya yang dia akan naik pentas dan ditanya kepada Penolong Pendaftar, betul ke dia dapat AKC?

Hairankan bagaimana sistem AKC ini dinilai? Tetapi itulah hakikatnya, AKC bukanlah suatu anugerah yang berdasarkan prestasi tetapi lebih kepada memenuhi kuota dan ‘rotation’!

Pada saya, eloklah kita hanya memberi anugerah ini kepada mereka yang betul-betul cemerlang dan jika tiada calon yang layak pada tahun tersebut maka jabatan atau fakulti tersebut tidak perlu mencari calon pengganti yang hanya untuk memenuhi kuota!

Begitu juga dengan profesor, AKC tidak perlu lagi diberikan kepada mereka. Gaji mereka yang bertaraf JUSA dan gelaran profesor yang sudah begitu tinggi nilainya di mata masyarakat tidak perlu lagi diberi pengiktirafan yang bertaraf rendah ini. Medan para profesor adalah untuk bersaing bagi mendapat anugerah yang lebih berprestij di persada antarabangsa!

Berlaku adil tidak bermakna kita memberi sama rata kepada semua orang! Di dalam Islampun, mereka yang kaya perlu mengeluarkan zakat kepada golongan yang berpendapatan rendah dan miskin. Dan saya yakin para profesor tidak terkilanpun jika AKC yang diterima mereka tidak dipraktiskan lagi pada tahun-tahun yang akan datang.

Setiap Majlis AKC yang dibuat menelan belanja yang begitu besar, mungkin ratusan ribu… Usahlah membazir wang kerajaan… Yang lebih utama wang itu dibelanjakan kepada mereka yang miskin dan betul-betul memerlukannya!

Tuesday, July 26, 2011

Ada Perasaan Kebersamaan (Sense of Belonging) Dengan Sekolah Atau Universiti Kita…


Kebiasaannya seseorang akan merasa bahawa dia adalah sebahagaian dari institusi yang dia telah pelajari di situ dan ‘sense of belonging' atau 'sense of loyalty’ akan muncul di sanubarinya. Untuk meraikan perasaan sayang kepada sekolah atau universiti di mana seseorang pernah belajar di situ maka diwujudkan persatuan alumni.

Persatuan Alumni ini berfungsi dengan baik di sesetengah sekolah mahupun universiti. Dan tak kurang juga ada persatuan alumni yang hidup segan mati tak mahu!

Siapa tak sayang kepada sekolahnya? Lebih-lebih lagi apabila sekolah tersebut adalah sekolah ternama seperti MCKK, STAR, STF, SDAR, SMIH, dan lain-lain. Rata-rata, ramai yang menyukai sekolah mereka. Sebabnya ialah sekolah itu merupakan sekolah yang dipilih untuk dihadirinya.

Semasa saya kecil, saya boleh ke Sekolah Rendah Kebangsaan Palekbang tetapi ibu saya memilih untuk menghantar saya ke sekolah di kampong sebelah iaitu Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Inggeris) Kg. Laut.

Apabila kita yang membuat pilihan atau memilih untuk ke sekolah tersebut maka kita akan lebih seronok dan merasa ada kebersamaannya.

Ini berbeza dengan kemasukan ke universiti di Malaysia. Kita tidak mempunyai banyak pilihan. Apa yang UPU pilih untuk kita maka itulah universiti kita walaupun universiti tersebut adalah pilihan ke 5 kita.

Berbeza dengan universiti-universiti di USA umpamanya. Di USA, kita yang memohon secara terus kepada universiti tersebut berdasarkan kelayakan dan keutamaan kita. Apabila kita mendapat jawapan berjaya untuk kemasukan ke universiti tersebut maka kita akan merasa begitu gembira dan berbangga sekali.

Oleh itu, untuk menerap perasaan sayangkan universiti kita di Malaysia ini bukanlah mudah! Mereka yang membuat pilihan pertama dan mendapat tempat di universiti tersebut barangkali menyayangi dan menyanjungi universitinya. Yang lain-lain adalah terpaksa…
Apabila mereka graduat dari universiti yang mereka hadiri, jarang benar kita melihat mereka pulang kembali ke universiti tersebut untuk memberi sumbangan balik seperti apa yang diwar-warkan oleh UTM.

UTM telah melancarkan satu program yang dikenali sebagai ‘endownment’. Ia menggalakkan alumni UTM untuk menyumbang dan hasilnya akan digunakan untuk kebaikan UTM seperti membuat penyelidikan, menyediakan kemudahan biasiswa kepada pelajar, membantu aktiviti pelajar dan sebagainya. Di USA, projek ‘endownment’ ini begitu berjaya! Sesetengah mereka yang berjaya dalam perniagaan atau ‘career’ akan menyumbang sejumlah besar kepada universiti yang mereka hadiri bagi meningkatkan lagi kemasyhuran universiti tersebut. Bahkan ada ‘trend’ di mana ibu dan ayahnya belajar di situ maka di situ jugalah anak-anak mereka akan belajar.

Perasaan tidak sayang kepada institusi di mana dia belajar ini akan menjadi lebih parah sekiranya mereka bukan sahaja tidak merasa bangga menjadi graduan dari institusi tersebut bahkan membencinya pula. Bagaimana ini boleh berlaku?

Ini boleh terjadi apabila mereka mempunyai pengalaman yang pahit atau kurang enak semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlaku di institusi tersebut. Mungkin kebebasan mereka untuk bersuara disekat sewaktu dulu... Mungkin pengalaman mereka untuk bertanding secara bebas dalam MPP dihalang kerana mereka dikatakan mewakili pihak pembangkang… Mungkin mereka dimalukan di khalayak ramai, dan bermacam-macam kemungkinan lagi…

Pada hemat saya, sesiapa yang belajar di universiti yang diimpikannya dan menjalani kehidupan yang selesa dan seronok akan cuba membantu atau membalas jasa kepada institusi tersebut.

Oleh itu, apa yang kita dapat tumpukan sekarang ialah mereka yang memasuki UTM untuk belajar di peringkat Sarjana atau Doktor Falsafah. Mahu tidak mahu, mereka yang belajar di UTM di peringkat ‘post-graduate’ adalah kerana pilihan mereka sendiri dan bukannya kerana terpaksa. Tiada kaitan lagi dengan UPU. Maka di sini, kita tumpukan supaya mereka mempunyai rasa kasih dan sayang kepada UTM!

‘Target group’ yang seterusnya ialah mereka yang belajar secara separuh masa di peringkat Ijazah Sarjana Muda. Kebiasaannya, mereka ini belajar melalui ‘SPACE’ di hujung-hujung minggu di seluruh negara. Mereka ini juga tiada kaitan dengan UPU. Mereka memohon secara ‘direct’ kepada UTM.

Mereka yang sepertimana saya ceritakan di atas sepatutnya kita tekankan supaya rasa kebersamaan itu lebih rapat dan akrab, dan akhirnya mereka akan membantu UTM.

Jangan diharapkan sangat kepada mereka yang memasuki UTM di peringkat Ijazah Sarjana Muda. Kalau mereka mendapat masuk ke UTM mengikut pilihan mereka mungkin tidaklah teruk sangat tetapi jika mereka termasuk dalam kumpulan yang dilelong yang mana universiti terpaksa mengambil mereka setelah tiada universiti lain yang hendakkan mereka maka harapan kita kepada mereka untuk menyumbang balik sangatlah tipis.

Satu lagi, usahlah menaruh harapan yang tinggi kepada pelajar-pelajar dari luar negara untuk membantu institusi kita. Mereka sendiri datang belajar di negara kita dengan ihsan biasiswa kita maka mereka tak mampu untuk membantu UTM kecuali mereka yang berjaya mencipta nama di persada antarabangsa.

Akhir kata, keinginan untuk ‘affiliate’ kepada sesebuah institusi adalah satu perkara yang lumrah kepada manusia. Kita hanya perlu memperbaiki ‘environment’ universiti atau sekolah kita supaya pelajar-pelajar merasa seronok, kasih, sayang, dan terhutang budi. Sekiranya ini dapat kita lakukan maka pulangan dalam bentuk ‘endownment’ akan melimpah ruah, insyaAllah…

Sunday, July 24, 2011

Di Mana Kita Ingin Bersara?


Bila umur kita menghampiri 50, kita mula memikirkan ke manakah kita akan bersara nanti? Adakah kita akan balik ke kampong halaman ibubapa kita atau kita menetap dimana kita berada sekarang? Persoalan ini agak sukar untuk dijawab bagi sesetengah orang tetapi agak spontan bagi sesetengah yang lain.

Banyak kriteria yang terlibat. Kriteria ini mungkin boleh dibahagikan kepada 4 jenis iaitu sosial, ekonomi, politik, dan ‘mixture of all’.

Dari aspeks sosial kita boleh melihat dari segi hubungan atau ‘bonding’ antara keluarga kita. Mereka yang masih mempunyai ibubapa di kampong rasanya akan pulang bersara di sana tetapi bagi mereka yang hanya mempunyai saudara mara mungkin akan memilih untuk menetap di sini saja. Tetapi hubungan yang akrab sesama adik beradik juga memungkinkan seseorang itu berhijrah untuk kembali ke kampong.

Melalui kriteria ekonomi pula, kita perlu melihat adakah kita terpaksa membuat rumah di kampong dan adakah tanah yang tersedia? Sekiranya, kita mempunyai rumah pusaka atau tanah yang diberikan atas nama kita, mungkin pertimbangan yang perlu dibuat tidak begitu susah. Tetapi apabila tiada peruntukan seperti yang dinyatakan maka kita lebih senang dan mudah untuk menetap di mana kita telah mempunyai tempat berteduh.

Dari aspek politik pula ialah kita mengkaji setakat mana kita boleh membantu ahli keluarga atau sanak saudara dengan keberadaan kita di kampong. Jika kita tidak mampu memberi apa-apa kebaikan bak kata pepatah, ‘Ada tak menambah, tak adapun tak berkurang’, maka mungkin berada berjauhan lebih mesra dari duduk berdekatan. Pulang sekali sekala akan merapatkan lagi hubungan…

Kriteria yang terakhir iaitu ‘mixture of all’ rata-rata ianya akan membuat kita pulang ke kampong halaman. Banyak sangat nak kena fikir, maka keputusan yang dibuat ialah pulang sajalah…

Mereka di USA mempunyai pertimbangan yang berlainan dengan kita. Hubungan kekeluargaan tidak menjadi prioriti! Mereka memilih tempat yang boleh memberi keselesaan di hari tua berbanding dengan perkara-perkara lain.

Antara tempat yang menjadi pilihan mereka ialah tempat di mana cukai tidak tinggi (termasuk cukai rumah, cukai pendapatan, cukai barangan, dan lain-lain). Di USA, negeri masing-masing mempunyai polisi cukai mereka yang tersendiri. Begitu juga pihak berkuasa tempatan (PBT) atau ‘local government’, mereka membuat dasar mengikut keperluan dan kesesuaian kawasan pentadbiran mereka. Jika PBT mereka kaya, mereka boleh menggaji lebih ramai anggota polis untuk menjaga keselamatan, dan boleh menyediakan banyak lagi kemudahan. Dengan kata lain, banyaknya kemudahan yang mampu disediakan adalah bergantung kepada miskin atau kaya sesebuah PBT tersebut.

Untuk menjadi sebuah PBT yang kaya, maka ‘mayor’ (Datuk Bandar) dan ‘city council members’ (Ahli Majlis) perlu berusaha untuk menarik pelabur datang. Kadang-kadang sesebuah PBT terpaksa menaikkan cukai untuk menampung perbelanjaan menyediakan kemudahan seperti pasukan bomba, polis, pusat kesihatan, rumah orang tua, dan sebagainya.

Pesara di USA juga kebiasaannya akan memilih tempat di mana mereka tidak lagi dibelenggu kesejukan tetapi mempunyai musim panas yang berpanjangan seperti di negeri Florida. Mereka ingin menjimatkan penggunaan alat pemanas yang mungkin akan membebankan bil mereka.

Mereka juga akan memikirkan tentang kemudahan perubatan yang ada. Bila kita berumur, banyak penyakit mula melanda. Mahu tidak mahu, skim perubatan yang tidak membebankan akan kita ‘subscribe’.

Dengan ada takaful atau insuran yang boleh membiayai bil perkhidmatan kesihatan akan memudahkan kita apabila kita ditimpa kesakitan yang berat. Hospital swasta yang memberi kemudahan perkhidmatan yang segera tetapi mengenakan bayaran yang mahal dapat kita lawati.

Jika kita tidak mampu untuk mengambil polisi takaful, kita perlu berada di kawasan hospital kerajaan yang mempunyai perkhidmatan yang baik. Tetapi ini belum menjamin kita mempunyai laluan cepat dan mudah apabila perkhidmatan diperlukan.

Satu lagi kriteria yang mungkin membuatkan kita berfikir di mana kita akan bersara ialah bilangan anak yang ramai.

Apabila kita mempunyai bilangan anak yang ramai, kita ingin berada seboleh-bolehnya berdekatan dengan anak-anak kita. Tanah di kampong yang sekangkang kera mungkin tidak dapat memuatkan ke semua keluarga anak-anak kita.

Oleh itu, jalan tengah yang diambil ialah kita bermastautin di tengah-tengah seperti di bandaraya Kuala Lumpur supaya anak-anak akan mudah untuk menjenguk kita apabila mereka sudah berkerjaya nanti. Lagipun anak-anak kita belum tentu lagi di mana mereka akan ‘settle down’ setelah mereka berkeluarga nanti.

Walau bagaimanapun, akhirnya, kitalah yang akan membuat keputusan di mana kita akan meneruskan kehidupan selepas bersara nanti sementara kita menunggu untuk berhijrah ke tempat kehidupan baru yang kekal abadi...

Friday, July 22, 2011

Memberi Makan Orang Berpuasa...


Sabda Rasulullah (SAW); "Siapa yang memberi makan orang yang berpuasa, maka diampuni dosanya dan dibebaskan dari api neraka dan mendapatkan pahala seperti orang-orang yang berpuasa tersebut tanpa dikurangi pahalanya sedikitpun..." (Riwayat Ahmad, At-Tirmidzi, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban).

Sungguh besar pahalanya! Diampuni dosa, dibebaskan dari api neraka dan mendapat pahala orang yang berpuasa yang diberi makan itu...

Pahala yang begitu besar ini, jangan kita biarkan ia berlalu di bulan Ramadhan ini. Kita kena 'make a point' supaya kita sedikit sebanyak mempunyai sahamnya.

Di surau Taman Pulai Utama, iklan untuk menaja orang berbuka puasa telah dibuka. Satu hari dianggarkan seramai 150 orang dan harga makanan seorang ialah RM4. Kalau kita hendak masak sendiri boleh dan kalau kita hendak membayar duitpun boleh. Jika kita membayar duit, kebiasaannya Wak Haji Kadri yang akan memasak dan bayaran RM600 tersebut termasuklah upahnya.

Alhamdulillah, saya telah 'booked' satu hari iaitu pada 20 Ogos (hari Sabtu). Untuk sama-sama menikmati pahala ini, saya telah memaklumkan kepada ahli usrah saya dan alhamdulillah, masing-masing ingin turut sama menyumbang.

Saya juga mendapat surat dari Sekretariat Rayuan Ramadhan yang membuka peluang untuk kita menyumbang iftar dan sedekah di 14 buah negara lain. Pada tahun ini, Program Rayuan Ramadhan dianjurkan secara bersama oleh Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) dan Koperasi Islah Malaysia Berhad (KIMB).

Program yang telah masuk tahun ke 13 ini akan menolong umat Islam yang tertindas, ditimpa bencana alam dan mereka yang berjihad di jalan Allah SWT. Disamping bantuan diberikan di negara kita, mereka juga akan menyumbang kepada masyarakat Palestin, Mindanao, Indonesia, Myanmar, Kemboja, Selatan Thailand, Sri Lanka, Sudan, Afghanistan, Pakistan, Bangladesh, dan Iraq.

Ambillah peluang ini dengan kita merancang untuk menyumbang setakat yang mampu. Jangan kita biarkan ia berlalu... Jangan kita tangguh untuk menyumbang... Dan jangan kita tidak peduli kepada saudara seagama kita biar dimana sekalipun mereka berada...

Saya teringat cerita seorang kawan yang telah menziarahi seorang kawannya yang diberi notis oleh doktor iaitu mempunyai 'masa' 4 bulan saja lagi. Kawannya berkata, "If Allah gives me a second chance, I'll go all out for Islam...".

Tuesday, July 19, 2011

Kita Kurang Ihsan Apabila Melibatkan Harta Kerajaan...

Kita kurang ‘ihsan’ apabila melibatkan harta kerajaan! Saya sungguh sedih melihat harta kerajaan digunakan sesuka hati, seolah-olah itu bukan harta kita… Memanglah bukan harta kita kerana kita tidak boleh memilikinya secara ‘outright’ tetapi ia juga harta kita kerana ia dibeli atau disediakan hasil dari wang kita yang dikongsi bersama samaada dari cukai pendapatan, duit zakat atau dari lain-lain punca yang kita juga ada ‘contribution’nya.

Kesedaran tentang penjagaan harta kerajaan amat rendah di negara kita. Sebab itu, apabila kita melawat tempat-tempat yang disediakan oleh kerajaan seperti Taman Rekreasi atau Taman Awam, banyak fasiliti yang disediakan banyak yang rosak. Ya lah, mungkin salah satu sebabnya ialah kurang penyelenggaraan oleh pihak berwajib tetapi yang tidak kurang pentingnya juga ialah sikap kita. Ya sikap kita yang hanya menjaga serapi mungkin barang milik kita sendiri tetapi mengambil endah tak endah dengan kemudahan awam!

Kesedaran untuk menjaga harta awam sepatutnya diterap kepada murid sejak mereka di bangku sekolah rendah lagi. Begitu juga tentang kebersihan tandas awan dan sebagainya. Dengan berbuat demikian, mereka akan sedar dari awal bahawa harta awam adalah harta mereka juga.

Baiklah, isu yang saya hendak bawa di sini adalah berlaku begitu ‘rampant’ di pejabat-pejabat kerajaan. Pertama isu pertukaran perabut di kolej kediaman, Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA). Biasanya perabot yang dibekalkan oleh kontraktor akan ‘expired’ selepas 5 tahun dan perabot baru akan diganti!

Apa yang saya ingin tekankan di sini ialah walaupun setelah 5 tahun berlalu, perabot yang dibekalkan tidak akan mengalami kerosakan pada kadar yang sama. Melalui pengalaman saya sebagai mantan pengetua kolej kediaman pelajar, saya akan jelaskan kenapa perabot tidak rosak selepas 5 tahun.

Katakan kolej kita mempunyai 4 blok. Setiap blok katakan mempunyai kapasiti kepenghunian seramai 300 orang. Itu dulu, masa kita tempatkan 2 orang pelajar sebilik! Sekarang permintaan terhadap bilik ‘single’ semakin banyak dan banyak bilik-bilik yang kita ‘convert’ menjadi bilik ‘single’. Ini isu lain pula, dan saya tidak ingin sentuh tentang isu ini.

Katakan pelajar yang memohon untuk mendiami kolej kita hanyalah 400 orang! Jadi untuk menjimatkan kos elektrik, kita hanya menempatkan pelajar-pelajar ini hanya di 2 blok SAHAJA. Maknanya 2 blok lagi kosong! Apa maksudnya kita hendak menjimatkan kos elektrik? Kebiasaannya pelajar akan membuka semua lampu di beranda atau di ‘common area’ walaupun mereka tinggal seorang! Mungkin alasan takut dan sebagainya.

2 blok lagi mungkin akan kita isi setelah permohonan untuk asrama kita meningkat ke angka 1,000 orang. Oleh itu, 2 blok ini yang baru berisi 2 tahun kebelakangan ini, perabotnya masih baik, baru digunakan dan tidak mengalami masalah yang teruk!

Apabila kita menghitung sekali harung untuk menggantikan perabot setelah melepasi 5 tahun maka kita akan menggantikan juga perabot yang masih cantik, yang baru 2 tahun digunakan! Bukankah itu satu pembaziran?

Cara pengendalian pembuangan perabot lama juga agak menyedihkan. Perabot yang masih elok dan boleh digunakan di’jatuh’kan dari tingkat atau aras yang lebih tinggi dan menyebabkan ianya terburai… Siapa yang larat untuk mengangkat dengan berhati-hati sekiranya bangunan itu mempunyai 7 atau 8 tingkat!

Di pejabat fakulti pula, tidak kurang juga ‘pembaziran’ yang saya lihat! ‘Partition’ yang masih elok yang menempatkan staf secara ‘cubical’ ditukarganti dengan ‘partition’ baru. Kalau dulu warna biru, sekarang ditukar warna oren! Sedangkan yang dulu masih elok dan tiada cacat celanya. Alangkah membazirnya duit kerajaan iaitu duit kita semua!

Pada saya, dalam keadaan kerajaan kurang berduit, maka tak payahlah ditukar ganti perkakas atau perabot yang masih elok. Apa yang penting ialah produktiviti dan bukannya ‘make up’ yang hanya nampak cantik tetapi belum tentu hasil kerja stafnya…

Saya tersangat sedih melihat budaya ini. Kalaulah kita menggunakan duit kita sendiri untuk menggantikan semua ini, saya pasti kita tidak akan melakukannya kerana ianya masih elok dan jelas ia merupakan suatu pembaziran!

Teringat rangkaian sekolah swasta yang begitu daif dari segi perkakasan dan peralatan dibawah naungan MUSLEH, namun produktiviti dan sumbangannya kepada negara dari aspek sumber tenaga pelajar berkaliber sungguh menyerlah.

Sunday, July 17, 2011

Jadual Padat Esok...


Esok jadual agak padat! Fakulti Geoinformasi dan Harta Tanah (FGHT) ada membuat Majlis Perpisahan kepada Pn Hajjah Siti Embun sempena persaraan beliau setelah berkhidmat di UTM melebihi 30 tahun. Tak pasti dapat hadir atau tidak kerana jamuan bermula pada pukul 12.30 petang.

Perancangan awal dibuat dengan PM Zahub Deraman untuk menziarahi PM Ahmad Khalid yang baru balik dari negara China dan sekarang sedang berehat di HSAJB. PM Ahmad baru membuat pertukaran buah pinggang di China dengan belanja melebihi RM200,000. Alang-alang pergi HSAJB, rasanya ingin terus menderma darah. Kalau jadi, esok ialah pendermaan darahku kali yang ke-30!

Aku selalu menasihati kawan-kawan supaya menderma darah. Untuk menderma duit dan harta mungkin kita tidak mampu. Apalah salahnya kita menderma darah? Setidak-tidaknya kita membantu orang yang memerlukannya.

Pukul 2.30 petang pula, Dekan FGHT ingin berjumpa dengan staf akademik yang masih belum menghabiskan PhD mereka.

Selepas maghrib pula, program makan beradat atau ‘mess night’ di Hotel Pan Pacific Johor Bahru sempena pentauliahan ‘young officers’ baru-baru ini di UTHM. Tahun ini, kami para pegawai staf diizinkan untuk membawa isteri bersama. Susah juga untuk memujuk isteri untuk turut sama kerana sebelum ini (beberapa tahun dahulu), beliau datang dan telah berpengalaman makan cara askar. Dia rasa tidak begitu seronok makan secara ‘regimental’. Mungkin dia tidak ‘enjoy’ makan sebegitu…

Tetapi itulah askar, semuanya ada adab dan peraturan yang perlu dipatuhi. Askar didisplinkan menerusi peraturan bukan sahaja supaya mereka patuh dan taat tetapi juga mempunyai budi pekerti yang mulia. Sebelum kadet-kadet makan di kem, mereka diajar supaya mempelawa atau mengajak sama para pegawai dan anggota lain-lain pangkat. Anak-anak saya cukup seronok apabila mereka melihat kadet-kadet mempelawa makan… “Makan tuan, makan encik, makan staf dan makan semua!” Sebelum mereka mula menyuapkan makanan, salah seorang dari mereka mengepalai rakan-rakan untuk membaca doa makan.

Mereka makan bersama dan siap makanpun bersama. Mereka diterap supaya bekerja dalam satu pasukan. Tiada askar dalam dunia akan mencapai kejayaan tanpa adanya persahabatan, ukhuwwah, saling bantu membantu. Apabila mereka berperang, mereka berperang secara berpasukan! “Command’ atau ‘orders’ pegawai atasan mereka tidak mempunyai pilihan lain tetapi wajib dipatuhi!!!