Friday, July 22, 2011

Memberi Makan Orang Berpuasa...


Sabda Rasulullah (SAW); "Siapa yang memberi makan orang yang berpuasa, maka diampuni dosanya dan dibebaskan dari api neraka dan mendapatkan pahala seperti orang-orang yang berpuasa tersebut tanpa dikurangi pahalanya sedikitpun..." (Riwayat Ahmad, At-Tirmidzi, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban).

Sungguh besar pahalanya! Diampuni dosa, dibebaskan dari api neraka dan mendapat pahala orang yang berpuasa yang diberi makan itu...

Pahala yang begitu besar ini, jangan kita biarkan ia berlalu di bulan Ramadhan ini. Kita kena 'make a point' supaya kita sedikit sebanyak mempunyai sahamnya.

Di surau Taman Pulai Utama, iklan untuk menaja orang berbuka puasa telah dibuka. Satu hari dianggarkan seramai 150 orang dan harga makanan seorang ialah RM4. Kalau kita hendak masak sendiri boleh dan kalau kita hendak membayar duitpun boleh. Jika kita membayar duit, kebiasaannya Wak Haji Kadri yang akan memasak dan bayaran RM600 tersebut termasuklah upahnya.

Alhamdulillah, saya telah 'booked' satu hari iaitu pada 20 Ogos (hari Sabtu). Untuk sama-sama menikmati pahala ini, saya telah memaklumkan kepada ahli usrah saya dan alhamdulillah, masing-masing ingin turut sama menyumbang.

Saya juga mendapat surat dari Sekretariat Rayuan Ramadhan yang membuka peluang untuk kita menyumbang iftar dan sedekah di 14 buah negara lain. Pada tahun ini, Program Rayuan Ramadhan dianjurkan secara bersama oleh Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) dan Koperasi Islah Malaysia Berhad (KIMB).

Program yang telah masuk tahun ke 13 ini akan menolong umat Islam yang tertindas, ditimpa bencana alam dan mereka yang berjihad di jalan Allah SWT. Disamping bantuan diberikan di negara kita, mereka juga akan menyumbang kepada masyarakat Palestin, Mindanao, Indonesia, Myanmar, Kemboja, Selatan Thailand, Sri Lanka, Sudan, Afghanistan, Pakistan, Bangladesh, dan Iraq.

Ambillah peluang ini dengan kita merancang untuk menyumbang setakat yang mampu. Jangan kita biarkan ia berlalu... Jangan kita tangguh untuk menyumbang... Dan jangan kita tidak peduli kepada saudara seagama kita biar dimana sekalipun mereka berada...

Saya teringat cerita seorang kawan yang telah menziarahi seorang kawannya yang diberi notis oleh doktor iaitu mempunyai 'masa' 4 bulan saja lagi. Kawannya berkata, "If Allah gives me a second chance, I'll go all out for Islam...".

No comments:

Post a Comment