Apabila kita dilahirkan semua bergembira kecuali kita yang menangis; Apabila kita dikembalikan semua menangis kecuali kita yang gembira... Gembira untuk menemui Allah Rabbul Jalil...
Friday, July 8, 2011
Semua Suka Bersih!
Bersih, suci, halal, dan seerti dengannya. Kenapa kita perlu bersih? Bersih disarankan oleh agama… Kita mesti bersih dan suci dari hadas kecil dan besar sebelum boleh melakukan sesuatu ibadah seperti menunaikan solat, tawaf, dan sebagainya.
“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu hendak melaksanakan solat, maka basuhlah wajahmu dan tanganmu sampai ke siku, dan sapulah kepalamu dan basuh kedua kakimu sampai ke kedua buku lali. Jika kamu junub maka mandilah. Dan jika kamu sakit atau dalam perjalanan atau kembali dari tempat buang air atau menyentuh perempuan, maka jika kamu tidak memperolehi air maka bertayamumlah dengan debu yang baik (suci); usaplah wajahmu dan tanganmu dengan debu itu. Allah tidak ingin menyulitkan kamu, tetapi Dia hendak membersihkan kamu dan menyempurnakan nikmatNya bagimu, agar kamu bersyukur” (al-Ma’idah; 6).
Kebersihan juga mencerminkan keimanan seseorang. Alangkah malunya seorang Islam yang tidak menjaga kebersihan!
Allah dan Rasul sukakan kebersihan. Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong juga suka Bersih. Sasterawan Negara, A Samad Said juga suka Bersih. Datuk Seri Dr Khir Toyo pun suka kebersihan kerana beliau menghadiahkan penyapu kepada Yang di Pertua Majlis Perbandaran yang tidak membersihkan kawasannya.
Dengan kata lain, tiada orang yang tidak suka Bersih! Kita ingin melihat tandas-tandas awam kita bersih supaya pelancong memandang tinggi nilai dan etika kebersihan negara. Penduduk tempatan juga inginkan kebersihan.
MPJBT nampak kurang bersih apabila pekerja mengangkut sampah kurang membersihkan kawasan. Yalah, sekarang sudah 'privitised' kepada Southern Waste Management. Sepatutnya swasta lagi bersih! Adakala, sepatutnya lorinya datang tetapi tidak datang! Sewajarnya, diganti hari yang mereka tidak datang supaya sampah sarap tidak melimpah ruah. Tetapi itu hanya harapan pelanggan.
Mana ada projek penswastaan yang dilancarkan pada tahun 1980an oleh Tun Mahathir berjaya? MAS lingkup! Sebabnya ialah tiada keikhlasan... Kerajaan kata untuk mengurangkan kos kerajaan maka diswastakan tetapi pihak yang mendapat projek mempunyai niat untuk mendapat keuntungan semata-mata. Maka semuanya menaikkan harga! TNB naik harga, PLUS naikkan tol, SAJpun sama. Tiada lagi rasa tanggungjawab sosial! Sepatutnya, keperluan asas wajib menjadi tanggungjawab kerajaan!
Lihat kepada Air Asia! Niatnya suci, 'everybody can fly'. Untungnya berlipat kali ganda dan makin membesar.
Apabila kawasan di tepi jalan telah dimesin rumput oleh pihak Majlis maka muncullah pelbagai barangan seperti plastik, tin dan tong kosong ke permukaan kerana rumput panjang yang melindungi sudah tiada. Apa tindakan Majlis? Biarkan saja… Alasannya, masyarakat kurang prihatin tentang kebersihan! Lagipun pada minggu depan, sampah sarap itu dah terlindung apabila rumput panjang!
Apa salahnya jika pihak Majlis yang mengutip? MPJBT mendapat hasil cukai pintu antara yang tertinggi di Malaysia! Saya sendiri membayar RM259 setahun! Berapa juta pegangan harta yang ada di bawah MPJBT? Bayangkan…
Saya merasakan MPJBT terutama di kawasan Taman Universiti dan persekitarannya antara kawasan penyeliaan Majlis yang terkotor di Malaysia!
Mungkin juga orang yang tidak suka Bersih kerana mereka suka hidup dalam kekotoran… Buat apa Bersih, kalau penipuan yang menguntungkan kita tidak dapat dilaksanakan! Buat apa Bersih, kalau kita tidak boleh terus berkuasa dan mengaut segala keuntungan! Buat apa Bersih, kalau ia menyulitkan pergerakan kita untuk memanipulasi keadaan!
Orang yang suka Bersih, hanyalah mereka yang ingin memartabatkan keadilan sejagat! Dan kebersihan ini sangat-sangat dituntut oleh Islam dan semua negara maju! Orang yang suka Bersih adalah orang yang mempunyai nilai diri! Orang yang suka Bersih adalah orang yang kuat beragama!
Susahkan kalau kita tidak mahu gejala rasuah berlaku tetapi kita tidak suka Bersih! Payahkan kalau kita mahu sesuatu hukuman diadili secara adil tetapi kita tidak suka Bersih!
Biarkan mereka tuntut Bersih, nanti generasi kita akan menjadi Bersih! Tiada lagi salah guna kuasa, tiada lagi penyelewengan, tiada lagi rasuah, tiada lagi pecah amanah, dan tiada rampasan kuasa.
Kita semua akan hidup aman dan damai apabila semuanya Bersih! Hidup Mau Bersih, Matipun Mau Bersih! Hidup Bersih!!!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment