Anugerah Khidmat Cemerlang 2010 atau Citra Karisma di UTM telah berlangsung beberapa minggu yang lepas. Anugerah ini sebelum Naib Cancelor, Tan Sri Prof Ir Dr Mohd Zulkifli Tan Sri Mohd Ghazali hanya diberikan kepada mereka yang berstatus Prof Madya ke bawah. Tan Sri Zul yang memulakan memberi anugerah ini kepada para profesor juga.
Apa hujahnya? Profesorpun ada yang bekerja cemerlang dan sekiranya kita tidak memberi anugerah juga kepada mereka maka kita tidak berlaku adil. Betul juga!
Alah, memang seorang profesor perlu berkhidmat dengan cemerlang, kalau tidak mana boleh capai status profesor. Dan gaji profesor dah berbelas-belas ribu. Apa ada RM1K kepada profesor? Betul juga!
Apapun hujah yang diberi, masing-masing mempunyai pandangan dan rasionalnya yang tersendiri, dan mungkin tidak dapat memberi justifikasi samaada elok atau tidak elok diberikan AKC kepada para profesor.
Cuma kalau kita dapat melihat kepada beberapa pepatah melayu… Pertama, “beri betis, hendak paha”, dan kedua, “air tawar secawan dituang ke laut, takkan dapat menghilangkan rasa masinnya”.
Peribahasa pertama menceritakan tentang kemahuan manusia yang tidak pernah puas. Dah dapat betis, hendak paha pula!
Peribahasa kedua pula bermaksud usaha yang dibuat itu tidak dapat menyelesaikan masalah tetapi sedikit sebanyak ia membantu!
Pada hemat saya, RM1K begitu besar nilainya kepada seorang kerani atau pembantu am rendah (PAR). PAR ialah nama jawatan dahulu dan sekarang tidak lagi dipanggil PAR. Saya lupa, apa nama yang dipanggil sekarang. Seribu ringgit yang diperolehi mungkin menyamai gajinya sebulan. Alangkah berbangganya dia dengan anugerah ini!
Tetapi RM1K kepada seorang profesor yang mempunyai pelbagai elaun dan setengahnya pula mempunyai kenderaan dan minyak yang ditanggung kerajaan, tidak begitu berharga anugerah yang diterimanya ini. Tahap kesyukuran diatas nikmat yang diterima mungkin tidak dapat menyamai mereka yang berada nun jauh di bawah sana!
Tambahan pula AKC yang berlaku sekarang bukanlah berdasarkan merit yang sebenar… Ramai penerima anugerah ini hanya berdasarkan ‘rotation’ atau pusingan. Engkau dah dapat tahun ini maka pada tahun depan orang lain pula dapat. Ada juga yang mendapat AKC kerana memenuhi kuota jabatan. Semua jabatan lain dah ada calon seorang satu tetapi jabatan ini perlu juga mengemukakan seorang calon. Dan hasilnya, dapatlah dia AKC ‘just’ untuk memenuhi kuota jabatan walhal tidak cemerlangpun!
Apa yang cemerlangnya si dia ni? Pelajar-pelajar yang diajarnya belasan orang yang ‘failed’! Kalau hendak dikatakan ke semua berbelas-belas orang itu bodoh, bagaimana pula setengahnya mendapat “straight A’s” dalam matapelajaran yang lain. Ada juga yang pernah mengambil subjek tersebut di UiTM sebelum ni dan lulus tetapi terpaksa mengambilnya lagi apabila menyambung pelajaran di sini dan gagal.
Si penerima AKC sendiri tidak percaya yang dia akan naik pentas dan ditanya kepada Penolong Pendaftar, betul ke dia dapat AKC?
Hairankan bagaimana sistem AKC ini dinilai? Tetapi itulah hakikatnya, AKC bukanlah suatu anugerah yang berdasarkan prestasi tetapi lebih kepada memenuhi kuota dan ‘rotation’!
Pada saya, eloklah kita hanya memberi anugerah ini kepada mereka yang betul-betul cemerlang dan jika tiada calon yang layak pada tahun tersebut maka jabatan atau fakulti tersebut tidak perlu mencari calon pengganti yang hanya untuk memenuhi kuota!
Begitu juga dengan profesor, AKC tidak perlu lagi diberikan kepada mereka. Gaji mereka yang bertaraf JUSA dan gelaran profesor yang sudah begitu tinggi nilainya di mata masyarakat tidak perlu lagi diberi pengiktirafan yang bertaraf rendah ini. Medan para profesor adalah untuk bersaing bagi mendapat anugerah yang lebih berprestij di persada antarabangsa!
Berlaku adil tidak bermakna kita memberi sama rata kepada semua orang! Di dalam Islampun, mereka yang kaya perlu mengeluarkan zakat kepada golongan yang berpendapatan rendah dan miskin. Dan saya yakin para profesor tidak terkilanpun jika AKC yang diterima mereka tidak dipraktiskan lagi pada tahun-tahun yang akan datang.
Setiap Majlis AKC yang dibuat menelan belanja yang begitu besar, mungkin ratusan ribu… Usahlah membazir wang kerajaan… Yang lebih utama wang itu dibelanjakan kepada mereka yang miskin dan betul-betul memerlukannya!
No comments:
Post a Comment