“Hadis 45-MWA, Hadis 46-AB, Majmuk Rasail, pp.474-485-Semua”, begitulah berbunyi pesanan sms dari naqib untuk usrah kami yang sepatutnya berlaku malam tadi.
Dalam pukul 9pm, dapat sms pula dari timbalan naqib, “Kita berkumpul di rumah MWA, pukul 9.30pm kita ziarah Hj Qamaruddin yang mana anaknya dibunuh dan dibakar di Bandar Seri Alam”.
Setelah semua ahli usrah berkumpul, kami bertolak ke Bandar Seri Alam dengan menaiki Innova. Apabila kita menyusur keluar Skudai untuk memasuki lebuhraya, terdapat satu ‘road block’ polis. Tiada seorangpun anggotanya yang bertugas, semua berada di bawah khemah.
Terlintas di benak, apalah tujuan semua ini? Kalau betul-betul hendak membuat pemeriksaan, buatlah betul-betul! Jangan hanya ingin membuat rakyat marah… Masa dan kos minyak kami berharga sekali!
Cuba bayangkan betapa ruginya aggota keselamatan yang sepatutnya meronda dan menjaga keselamatan awam tetapi terpaksa berada di khemah-khemah ‘road block’ di seluruh negara hanya kerana pandangan dan pemikiran sempit segelintir anggota atasan.
Mungkin perompak, pencuri, dan penyamun bermaharaja lela sejak beberapa minggu yang lepas angkara tiada anggota keselamatan yang bertugas menjaga keselamatan dan kebajikan masyarakat. Semuanya sibuk membuat ‘road block’!!!
Antara mangsa yang kurang bernasib baik ialah anak perempuan kepada Haji Qamaruddin. Beliau telah dibunuh dengan kejam dan anggota badannya telah dikerat-kerat.
Apabila kami menghampiri kawasan pembinaan di Bandar Seri Alam, kami mesti melalui ‘gate’ yang dijaga oleh pengawal. Kami menanyakan pengawal keselamatan yang bertugas dimana rumah kongsi Haji Qamaruddin. Pengawal mengarahkan supaya kami meneruskan lagi perjalanan ke depan.
Kami disambut mesra oleh Haji Qamaruddin. Masing-masing bersalaman takziah sambil memeluk Haji Qamaruddin. Sebelum kami, sudah sampai sebuah kereta yang mewakili ahli jamaah Surau At-Taqwa, Taman Pulai Utama.
Haji Qamaruddin adalah salah seorang ahli jamaah Surau At-Taqwa. Jika ada kenduri-kendara di surau, tugasan beliau ialah menyediakan air tebu atau air kordial perisa mangga. Beliau sebelum ini tinggal di rumah kongsi Taman Pulai Flora dan baru 3 bulan berpindah ke Bandar Seri Alam.
Beliau menceritakan arwah anaknya ditinggalkan kawannya di depan ‘gate’ pengawal yang kami lalui tadi jam 2 pagi. Menurut isteri Hj Qamaruddin, pengawalpun perlu diberi upah untuk membuka ‘gate’, walhal mereka telah diberi gaji. Kadang-kadang duit, dan kadang-kadang rotipun sudah memadai.
Menurut Hj Qamaruddin sambil menunjukkan gambar penyangak dan gambar arwah anaknya yang berumur 16 tahun, pengawal yang bertugas di situlah yang telah membunuh, memotong badan, dan membakar anaknya. Ngeri juga melihat wajah penyangak yang berkepala botak dan bermisai tebal tu.
Katanya, pengawal tersebut sudah ada 7 kes polis dan ini adalah kes yang kelapan. Hairan ya, macamana syarikat pengawal keselamatan membuat tapisan sesiapa yang ingin menjadi pengawal. Dulu, kes budak 9 tahun di Gelang Patah, pengawal keselamatan juga yang merogolnya.
Saya mengenali Haji Qamaruddin kerana pernah mengurut dengannya selama 2 kali di rumah kongsi Taman Pulai Flora. Beliau telah datang ke Malaysia dari Lampong, Indonesia sejak 21 tahun yang lalu.
Semasa mengurut, beliau mengisahkan bahawa sebelum ini, beliau adalah beragama Hindu dan membina kuil di Lampong. Tetapi setelah memeluk agama Islam dan menunaikan ibadah haji, beliau telah mengumpul wang untuk membina masjid di sana. Hasil pendapatan dari mengurut dikirimnya wang ke sana, sedikit demi sedikit. Masjid telah dibina sejak tahun 2003 dan sekarang hampir 90% siap.
Masjid tersebut akan dirasmikan dalam bulan Syawal nanti apabila Haji Qamaruddin pulang sekejap. Ayah beliau yang berumur 80an masih menunggu beliau untuk mengucap dua kalimah syahadah! Ayahnya juga mempunyai 9 orang isteri!
Sama-sama kita doakan semoga ayahnya sempat menganut agama Islam dan ramai lagi dari kalangan keluarga dan penduduk kampong beliau berhijrah kepada agama fitrah, Islam!
Kami bergerak pulang setelah jam menunjukkan pukul 11 malam.
No comments:
Post a Comment