Alhamdulillah pada hari Jumaat (29 Julai) berlangsung Program Bina Insan Fakulti Geoinformasi & Harta Tanah Ke-6. Program bermula dari jam 0915 hingga 1015 pagi.
Pada kali ini, kita mengundang Ustaz Ahmad Marzuki Mohamed untuk membicarakan tentang Ramadan: Persiapan, Amalan, dan Penghayatannya.
Saya secara personal begitu teruja melihat kedatangan staf FGHT yang bertali arus. Walaupun majoritinya dari kalangan staf sokongan, alhamdulillah sekurang-kurangnya, kita menyediakan program untuk mereka hadiri pada setiap bulan. Kedatangan pada kali ini agak ramai sehingga makanan yang disediakan tidak mencukupi!
Mungkin mereka terkesan dengan program motivasi staf sokongan yang dibuat di Port Dickson pada minggu lepas…
Kalaulah staf akademik juga dapat meluangkan masa, alangkah seronoknya. Disamping kita sama-sama menghadiri majlis ilmu, staf sokongan dan staf akademik akan lebih rapat dan mesra berada dalam satu majlis bersama.
Walau apapun, “We can just bring the water to the horses but we can’t force them to drink it!!!”. Mungkin juga, “They’re not thirsty or perhaps they don’t like plain water. But whatever it’s, I’ll keep on bringing them water.”
Penerangan yang diberikan oleh Ustaz Marzuki begitu menarik perhatian para hadirin. Apabila ceramah berakhir, ustaz melayani beberapa soalan berkaitan puasa. Ada yang bertanya tentang mengelakkan diri dari mendengar nyanyian yang melalaikan di bulan Ramadan, ada yang bertanya tentang pembayaran fidyah, ada yang bertanya tentang gantian puasa oleh anak-anak untuk ibubapa yang telah meninggal dunia, dan sebagainya.
Jika diizinkan Allah, kita akan melaksanakan Program Bina Insan FGHT Ke-7 pada minggu kedua di bulan Ramadan. Mungkin pada kali ini, kita akan menyentuh tentang 10 malam terakhir Ramadan dan usaha mendapatkan Lailatul Qadr.
Saya juga turut terharu kerana ada saja insan pemurah untuk menaja makanan mahupun sumbangan wang ringgit kepada penceramah setiap kali program diadakan. Tetapi pada kali ini, sumbangan wang akan diuruskan oleh Timbalan Pendaftar yang akan mengambil nama dan nombor kad pengenalan penceramah untuk dibayar dengan cek, menggunakan vot fakulti.
Akhir sekali, pengharapan kita sebagai ‘organiser’ agar semua maklumat yang diperolehi dari Program Bina Insan ini dicontohi dan diamalkan dengan sedaya yang mampu. Kita tidak mahu ilmu melangit tetapi pengamalan hanya sebesar busut!
Sama-sama kita mendoakan supaya kita akan melaksanakan puasa, tarawih, solat tahajud, sedekah, memberi makan untuk mereka berbuka puasa, zikir al-ma’thurat, dan lain-lain amalan dengan sepenuh hati dan sebaik yang mungkin. Semoga kita berjaya memasuki syurga Allah melalui pintu ar-Rayyan iaitu salah satu dari pintu syurga yang disediakan Allah kepada mereka yang berpuasa!.
Ramadan Karim!!!
No comments:
Post a Comment