Ramai masih ingat pesan emak masa kecil-kecil dulu, “Nak… jangan kamu sekali-kali berbohong kerana bercakap bohong buruk akhlaknya”. Peribahasa juga ada menyebut tentang keburukan berbohong, “Siakap senohong, gelama ikan duri, bercakap bohong, lama-lama mencuri”.
Kita tidak saja diajar supaya jangan berbohong tetapi diajar juga untuk menyatakan kebenaran. “Nyatakan kebenaran walaupun ianya pahit”. Kita begitu mengkagumi mereka yang boleh mempertahankan kebenaran walau tubuh badan mereka dicarik-carik dan dirobek seperti Bilal bin Rabah. Kita memuliakan Yassir dan Sumayyah yang berani berdepan dengan puak kuffar demi menyatakan kebenaran Islam.
Kita membaca cerita-cerita sebegitu kepada anak-anak kita supaya apabila mereka membesar menjadi dewasa, mereka akan menjadi seorang manusia yang berprinsip dan bukannya seorang manusia yang tiada pegangan seperti lalang. Lalang ditiup angin ke hilir akan bergerak ke hilir dan apabila ditiup ke hulu maka bergeraklah dia ke hulu.
Kita tidak mahu anasir-anasir perosak agama seperti golongan munafik di zaman Rasulullah (SAW). Rakan-rakan seangkatan dengan Abdullah bin Ubai bin Salul memang kita ketepikan dari awal kerana kita tidak suka adanya golongan musyrik dan munafik ini dari kalangan keluarga kita.
Cerita kehebatan Rasulullah (SAW) menyampaikan risalah tanpa peduli dipanggil manusia gila, dibaling batu, disimbah najis dan dicederakan. Begitu juga keperwiraan para sahabat ditonjolkan supaya menjadi ikutan kepada generasi kita dan generasi selepas kita.
Cuba kita amati berapa ramai yang berjaya menegakkan perkara di atas kepada diri dan keluarganya… Berapa ramai yang berjaya mempertahankan prinsip yang begitu teras dalam kehidupan manusia? Sanggupkah kita merasai sedikit kesusahan demi mempertahankan prinsip kehidupan?
Atau kita rela prinsip digadai demi takutnya kepada tentangan dan dugaan? Atau kita hanya pendamkan saja… untung sabut timbul dan untung batu tenggelam. Buat apa susah-susahkan badan…kan kita selalu dengar ‘the truth will prevail’. Kita tunggu aje la…
Kalau itulah yang kita lakukan maka jauhlah lagi untuk kita digelar sebagai pejuang. Kita hanya setaraf dengan masyarakat kampong yang mungkin tak ke sekolah yang akan menerima apa saja polisi atau dasar yang diterimapakai.
Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) kita memang kedepan berbanding dengan badan-badan yang seumpamanya di negara ketiga yang lain. SPR kita lebih profesional dan lebih berwibawa dalam mengamalkan sistem demokrasi. Cumanya, adakah salah kita memperbaiki lagi kebaikan yang telah kita capai itu supaya ia menjadi cemerlang, kemudian gemilang dan akhirnya terbilang sepertimana motto yang diwar-warkan di zaman pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Dalam Islampun kita disuruh supaya hari ini lebih baik dari semalam dan esok lebih baik dari hari ini.
Pada saya, tiada salah dengan apa yang ingin diperjuangkan oleh kumpulan Bersih! Mereka ingin melihat demokrasi yang sudah baik di Malaysia menjadi lebih baik lagi. Tidak sukakah kita untuk menjadi lebih baik dari apa yang kita ada sekarang?
Saya kesian melihat seorang Sasterawan Negara yang berumur lebih 70 tahun masih berjuang menuntut perkara ini diterima oleh pihak kerajaan. Kalau kita fikir sejenak, buat apa beliau susah-susah menuntut perkara yang tidak mendatangkan manfaat secara langsung kepada beliau? Kepada mereka yang tiada pegangan atau prinsip mungkin berkata, “Duduklah diam-diam wahai pakcik atau datuk! Nikmatilah apa yang kau telah raih selama ini… Bukan ia akan memberi apa-apa pulanganpun kepada engkau!”.
Tetapi manusia berprinsip mesti ingin menyatakan kebenaran dan akan merasa bersalah kepada anak, cucu, dan cicitnya sekira ia hanya melihat dan tidak berbuat apa-apa…
No comments:
Post a Comment