Apabila kita dilahirkan semua bergembira kecuali kita yang menangis; Apabila kita dikembalikan semua menangis kecuali kita yang gembira... Gembira untuk menemui Allah Rabbul Jalil...
Sunday, July 24, 2011
Di Mana Kita Ingin Bersara?
Bila umur kita menghampiri 50, kita mula memikirkan ke manakah kita akan bersara nanti? Adakah kita akan balik ke kampong halaman ibubapa kita atau kita menetap dimana kita berada sekarang? Persoalan ini agak sukar untuk dijawab bagi sesetengah orang tetapi agak spontan bagi sesetengah yang lain.
Banyak kriteria yang terlibat. Kriteria ini mungkin boleh dibahagikan kepada 4 jenis iaitu sosial, ekonomi, politik, dan ‘mixture of all’.
Dari aspeks sosial kita boleh melihat dari segi hubungan atau ‘bonding’ antara keluarga kita. Mereka yang masih mempunyai ibubapa di kampong rasanya akan pulang bersara di sana tetapi bagi mereka yang hanya mempunyai saudara mara mungkin akan memilih untuk menetap di sini saja. Tetapi hubungan yang akrab sesama adik beradik juga memungkinkan seseorang itu berhijrah untuk kembali ke kampong.
Melalui kriteria ekonomi pula, kita perlu melihat adakah kita terpaksa membuat rumah di kampong dan adakah tanah yang tersedia? Sekiranya, kita mempunyai rumah pusaka atau tanah yang diberikan atas nama kita, mungkin pertimbangan yang perlu dibuat tidak begitu susah. Tetapi apabila tiada peruntukan seperti yang dinyatakan maka kita lebih senang dan mudah untuk menetap di mana kita telah mempunyai tempat berteduh.
Dari aspek politik pula ialah kita mengkaji setakat mana kita boleh membantu ahli keluarga atau sanak saudara dengan keberadaan kita di kampong. Jika kita tidak mampu memberi apa-apa kebaikan bak kata pepatah, ‘Ada tak menambah, tak adapun tak berkurang’, maka mungkin berada berjauhan lebih mesra dari duduk berdekatan. Pulang sekali sekala akan merapatkan lagi hubungan…
Kriteria yang terakhir iaitu ‘mixture of all’ rata-rata ianya akan membuat kita pulang ke kampong halaman. Banyak sangat nak kena fikir, maka keputusan yang dibuat ialah pulang sajalah…
Mereka di USA mempunyai pertimbangan yang berlainan dengan kita. Hubungan kekeluargaan tidak menjadi prioriti! Mereka memilih tempat yang boleh memberi keselesaan di hari tua berbanding dengan perkara-perkara lain.
Antara tempat yang menjadi pilihan mereka ialah tempat di mana cukai tidak tinggi (termasuk cukai rumah, cukai pendapatan, cukai barangan, dan lain-lain). Di USA, negeri masing-masing mempunyai polisi cukai mereka yang tersendiri. Begitu juga pihak berkuasa tempatan (PBT) atau ‘local government’, mereka membuat dasar mengikut keperluan dan kesesuaian kawasan pentadbiran mereka. Jika PBT mereka kaya, mereka boleh menggaji lebih ramai anggota polis untuk menjaga keselamatan, dan boleh menyediakan banyak lagi kemudahan. Dengan kata lain, banyaknya kemudahan yang mampu disediakan adalah bergantung kepada miskin atau kaya sesebuah PBT tersebut.
Untuk menjadi sebuah PBT yang kaya, maka ‘mayor’ (Datuk Bandar) dan ‘city council members’ (Ahli Majlis) perlu berusaha untuk menarik pelabur datang. Kadang-kadang sesebuah PBT terpaksa menaikkan cukai untuk menampung perbelanjaan menyediakan kemudahan seperti pasukan bomba, polis, pusat kesihatan, rumah orang tua, dan sebagainya.
Pesara di USA juga kebiasaannya akan memilih tempat di mana mereka tidak lagi dibelenggu kesejukan tetapi mempunyai musim panas yang berpanjangan seperti di negeri Florida. Mereka ingin menjimatkan penggunaan alat pemanas yang mungkin akan membebankan bil mereka.
Mereka juga akan memikirkan tentang kemudahan perubatan yang ada. Bila kita berumur, banyak penyakit mula melanda. Mahu tidak mahu, skim perubatan yang tidak membebankan akan kita ‘subscribe’.
Dengan ada takaful atau insuran yang boleh membiayai bil perkhidmatan kesihatan akan memudahkan kita apabila kita ditimpa kesakitan yang berat. Hospital swasta yang memberi kemudahan perkhidmatan yang segera tetapi mengenakan bayaran yang mahal dapat kita lawati.
Jika kita tidak mampu untuk mengambil polisi takaful, kita perlu berada di kawasan hospital kerajaan yang mempunyai perkhidmatan yang baik. Tetapi ini belum menjamin kita mempunyai laluan cepat dan mudah apabila perkhidmatan diperlukan.
Satu lagi kriteria yang mungkin membuatkan kita berfikir di mana kita akan bersara ialah bilangan anak yang ramai.
Apabila kita mempunyai bilangan anak yang ramai, kita ingin berada seboleh-bolehnya berdekatan dengan anak-anak kita. Tanah di kampong yang sekangkang kera mungkin tidak dapat memuatkan ke semua keluarga anak-anak kita.
Oleh itu, jalan tengah yang diambil ialah kita bermastautin di tengah-tengah seperti di bandaraya Kuala Lumpur supaya anak-anak akan mudah untuk menjenguk kita apabila mereka sudah berkerjaya nanti. Lagipun anak-anak kita belum tentu lagi di mana mereka akan ‘settle down’ setelah mereka berkeluarga nanti.
Walau bagaimanapun, akhirnya, kitalah yang akan membuat keputusan di mana kita akan meneruskan kehidupan selepas bersara nanti sementara kita menunggu untuk berhijrah ke tempat kehidupan baru yang kekal abadi...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment