Tuesday, July 26, 2011

Ada Perasaan Kebersamaan (Sense of Belonging) Dengan Sekolah Atau Universiti Kita…


Kebiasaannya seseorang akan merasa bahawa dia adalah sebahagaian dari institusi yang dia telah pelajari di situ dan ‘sense of belonging' atau 'sense of loyalty’ akan muncul di sanubarinya. Untuk meraikan perasaan sayang kepada sekolah atau universiti di mana seseorang pernah belajar di situ maka diwujudkan persatuan alumni.

Persatuan Alumni ini berfungsi dengan baik di sesetengah sekolah mahupun universiti. Dan tak kurang juga ada persatuan alumni yang hidup segan mati tak mahu!

Siapa tak sayang kepada sekolahnya? Lebih-lebih lagi apabila sekolah tersebut adalah sekolah ternama seperti MCKK, STAR, STF, SDAR, SMIH, dan lain-lain. Rata-rata, ramai yang menyukai sekolah mereka. Sebabnya ialah sekolah itu merupakan sekolah yang dipilih untuk dihadirinya.

Semasa saya kecil, saya boleh ke Sekolah Rendah Kebangsaan Palekbang tetapi ibu saya memilih untuk menghantar saya ke sekolah di kampong sebelah iaitu Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Inggeris) Kg. Laut.

Apabila kita yang membuat pilihan atau memilih untuk ke sekolah tersebut maka kita akan lebih seronok dan merasa ada kebersamaannya.

Ini berbeza dengan kemasukan ke universiti di Malaysia. Kita tidak mempunyai banyak pilihan. Apa yang UPU pilih untuk kita maka itulah universiti kita walaupun universiti tersebut adalah pilihan ke 5 kita.

Berbeza dengan universiti-universiti di USA umpamanya. Di USA, kita yang memohon secara terus kepada universiti tersebut berdasarkan kelayakan dan keutamaan kita. Apabila kita mendapat jawapan berjaya untuk kemasukan ke universiti tersebut maka kita akan merasa begitu gembira dan berbangga sekali.

Oleh itu, untuk menerap perasaan sayangkan universiti kita di Malaysia ini bukanlah mudah! Mereka yang membuat pilihan pertama dan mendapat tempat di universiti tersebut barangkali menyayangi dan menyanjungi universitinya. Yang lain-lain adalah terpaksa…
Apabila mereka graduat dari universiti yang mereka hadiri, jarang benar kita melihat mereka pulang kembali ke universiti tersebut untuk memberi sumbangan balik seperti apa yang diwar-warkan oleh UTM.

UTM telah melancarkan satu program yang dikenali sebagai ‘endownment’. Ia menggalakkan alumni UTM untuk menyumbang dan hasilnya akan digunakan untuk kebaikan UTM seperti membuat penyelidikan, menyediakan kemudahan biasiswa kepada pelajar, membantu aktiviti pelajar dan sebagainya. Di USA, projek ‘endownment’ ini begitu berjaya! Sesetengah mereka yang berjaya dalam perniagaan atau ‘career’ akan menyumbang sejumlah besar kepada universiti yang mereka hadiri bagi meningkatkan lagi kemasyhuran universiti tersebut. Bahkan ada ‘trend’ di mana ibu dan ayahnya belajar di situ maka di situ jugalah anak-anak mereka akan belajar.

Perasaan tidak sayang kepada institusi di mana dia belajar ini akan menjadi lebih parah sekiranya mereka bukan sahaja tidak merasa bangga menjadi graduan dari institusi tersebut bahkan membencinya pula. Bagaimana ini boleh berlaku?

Ini boleh terjadi apabila mereka mempunyai pengalaman yang pahit atau kurang enak semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlaku di institusi tersebut. Mungkin kebebasan mereka untuk bersuara disekat sewaktu dulu... Mungkin pengalaman mereka untuk bertanding secara bebas dalam MPP dihalang kerana mereka dikatakan mewakili pihak pembangkang… Mungkin mereka dimalukan di khalayak ramai, dan bermacam-macam kemungkinan lagi…

Pada hemat saya, sesiapa yang belajar di universiti yang diimpikannya dan menjalani kehidupan yang selesa dan seronok akan cuba membantu atau membalas jasa kepada institusi tersebut.

Oleh itu, apa yang kita dapat tumpukan sekarang ialah mereka yang memasuki UTM untuk belajar di peringkat Sarjana atau Doktor Falsafah. Mahu tidak mahu, mereka yang belajar di UTM di peringkat ‘post-graduate’ adalah kerana pilihan mereka sendiri dan bukannya kerana terpaksa. Tiada kaitan lagi dengan UPU. Maka di sini, kita tumpukan supaya mereka mempunyai rasa kasih dan sayang kepada UTM!

‘Target group’ yang seterusnya ialah mereka yang belajar secara separuh masa di peringkat Ijazah Sarjana Muda. Kebiasaannya, mereka ini belajar melalui ‘SPACE’ di hujung-hujung minggu di seluruh negara. Mereka ini juga tiada kaitan dengan UPU. Mereka memohon secara ‘direct’ kepada UTM.

Mereka yang sepertimana saya ceritakan di atas sepatutnya kita tekankan supaya rasa kebersamaan itu lebih rapat dan akrab, dan akhirnya mereka akan membantu UTM.

Jangan diharapkan sangat kepada mereka yang memasuki UTM di peringkat Ijazah Sarjana Muda. Kalau mereka mendapat masuk ke UTM mengikut pilihan mereka mungkin tidaklah teruk sangat tetapi jika mereka termasuk dalam kumpulan yang dilelong yang mana universiti terpaksa mengambil mereka setelah tiada universiti lain yang hendakkan mereka maka harapan kita kepada mereka untuk menyumbang balik sangatlah tipis.

Satu lagi, usahlah menaruh harapan yang tinggi kepada pelajar-pelajar dari luar negara untuk membantu institusi kita. Mereka sendiri datang belajar di negara kita dengan ihsan biasiswa kita maka mereka tak mampu untuk membantu UTM kecuali mereka yang berjaya mencipta nama di persada antarabangsa.

Akhir kata, keinginan untuk ‘affiliate’ kepada sesebuah institusi adalah satu perkara yang lumrah kepada manusia. Kita hanya perlu memperbaiki ‘environment’ universiti atau sekolah kita supaya pelajar-pelajar merasa seronok, kasih, sayang, dan terhutang budi. Sekiranya ini dapat kita lakukan maka pulangan dalam bentuk ‘endownment’ akan melimpah ruah, insyaAllah…

No comments:

Post a Comment