Thursday, March 31, 2011

Kadar Parkir Metro Di Bangunan TH Pun Naik Harga...

Pagi tadi pergi ke Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru untuk menderma darah kali ke 28. 'Benefit' kepada penderma yang menderma 21 hingga 30 kali ialah 'percuma rawatan pesakit luar dan rawatan perubatan wad kelas dua untuk 3 tahun selepas menderma darah kali terakhir'.

Kita tak perlupun 'benefit' itu kerana staf kerajaan sememangnya mendapat rawatan percuma tetapi kita tengok dari segi bantuan yang kita boleh berikan kepada mereka yang memerlukan darah.

Salah satu cara untuk membantu orang, selain wang ringgit dan kudrat empat kerat ialah derma darah...

Mungkin kita tak banyak duit untuk mendapat pahala sedekah tetapi kita tidak kurang darah untuk membantu orang yang susah.

Saya kata orang susah kerana orang kaya tak pergi ke hospital kerajaan tetapi mereka pergi ke hospital swasta yang mana mereka mampu membayar harga darah yang mahal di sana.

Setelah makan nasi dagang ikan tenggiri goreng yang disediakan oleh Pusat Transfusi Darah, saya ke Kompleks Tabung Haji (TH). Terpampang satu notis besar di pondok pembayaran parkir mengatakan bahawa mulai 1 Mac 2011, kadar parkir ialah RM2 untuk satu jam pertama atau kurang. Kenaikan ini ialah kerana kenaikan cukai kerajaan kepada 6%.

Dulu untuk meletakkan kereta dalam bangunan TH hanya RM1.60 saja untuk sejam pertama.

Semua naik harga. Tak ada yang turun harga. Barangan makanan, minyak petrol, parkir, tambang bas, harga rumah, dan segala benda lagi.

Tetapi apa kaitan cukai kerajaan yang naik kepada 6% itu dengan kadar parkir Syarikat Metro ya? Kalau makanan segera seperti Pizza, KFC, dan yang kita boikot Mc Donald tu ya juga, sebab mereka dikenakan 'sales tax'.

Atau ini yang dipanggil sebagai Good and Services Tax (GST) yang ingin dikenakan oleh kerajaan pada tahun lepas dan mendapat bantahan dari ramai pihak...

Dah berjalan ke dasar GST ini?

Tuesday, March 29, 2011

Melihat Isu Video Seks Dari Perspektif Kebenaran Dan Keadilan


Trio ‘‘Datuk T’’ yang mendedahkan rakaman video aksi seks didakwa melibatkan mirip seorang pemimpin pembangkang akan dilindungi di bawah Akta Perlindungan Saksi dan Akta Pemberi Maklumat sekiranya pihak berkuasa mendapati ada kes.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz hari ini berkata akta tersebut boleh digunakan bagi melindungi keselamatan trio itu yang bertanggungjawab mendedahkan video berkenaan.


Itulah kenyataan Pak Menteri kita. Sibuk hendak melindungi pereka fitnah, dan bukannya hendak melindungi orang yang difitnah!

Saya rasa sesuatu perkara ada prosidur yang perlu diikuti dari aspek legalnya. Apabila kita dapat membuktikan sesuatu kesalahan, kita seharusnya melapurkan kepada pihak berwajib dan diserahkan bahan buktinya sekali.

Kita tidak boleh sewenang-wenangnya memanggil orang ramai untuk menonton apa yang kita rakamkan. Kalau semua orang melakukan perkara yang sama, contohnya, mencuri mengambil gambar pak menteri dengan adegan seknya, mana kita mahu membela pak menteri itu, jika ia adalah fitnah...

Besar kemungkinan kita yang akan disabitkan kesalahan kerana memanggil orang untuk menonton video lucah dan boleh dikategorikan sebagai pengedar video lucah.

Kedua, kesalahan berhimpun beramai-ramai tanpa permit juga boleh disabitkan kesalahan.

Seseorang itu tidak bersalah selagi belum dibuktikan dia bersalah.

Pelikkan negara kita? Sepatutnya pihak polis membantu menjaga kebajikan, keselamatan, dan maruah rakyatnya dari diperkudakan oleh mana-mana pihak. Selalunya mangsa sesuatu angkara perbuatan jahat dikasihani dan dilindungi tetapi dalam hal ini, dia pula kena 'proof' bahawa dia 'innocent' atau tidak bersalah!

Tak dengar pula dari mulut-mulut mufti yang memberi komen tentang pendedahan video seks ini. Itu yang menyebabkan rakyat tidak mendengar cakap mufti atau orang alim. Sepatutnya, mufti-mufti turut sama melabelkan mereka yang membuat 'fitnah' ini adalah suatu perbuatan yang mungkar, yang begitu besar dosanya, dan perlu diberhentikan.

"Janganlah kamu melakukan perkara seperti tiga ekor malaun ini. Menambahbaikan kepada negara tiada tetapi merosakkan minda generasi muda, membazir duit negara, merugikan masa, menambahkan dosa, bla.. bla...". Itu sepatutnya peringatan yang keluar dari mulut para mufti cuma bahasanya perlu diperbaiki...

Ini tak, diam aje... syaitan bisulah katakan... Bila pihak pembangkang yang membuat isu, tak kering gusi para mufti komenkan. Tapi mujurlah ada mantan mufti (Prof. Madya Dr. Asri) yang memberi komen. Cuma komen mantan mufti, tak masuk 'headlines' akhbar!

Kalaulah kita mempunyai pemerintahan Islam, maka jika yang dituduh tidak bersalah maka pihak yang menuduhkan akan dikenakan 80 kali sebat, dan kesaksian pihak yang menuduhkan tidak akan diterima lagi buat selamanya.

Sedihkan negara kita... Semua boleh... Apa-apapun boleh... Malaysia boleh!

Sunday, March 27, 2011

"Abah Ada Masa Tak Pagi Ni?"


Pagi tadi, Achik, 'Ammar, Rasyid, dan Syakir bersamaku menunaikan solat Subuh di MSI, UTM. Ramai juga yang berjamaah kerana ibubapa yang datang sempena majlis konvokesyen anak mereka di UTM.

Selesai mengerjakan tanggungjawab kepada Allah, kami bergerak ke Restoren Aminah di Taman Sri Pulai sementara menunggu Pasar Tani Taman Sri Pulai beroperasi.

Achik dan 'Ammar masing-masing memesan roti telor bersama teh tarik. Rasyid dan Syakir berkongsi dua orang, sebiji roti telor dan segelas air milo. Aku sendiri memesan 2 biji capati bersama nescafe panas.

Kemudian kami bergegas ke Pasar Tani. Malangnya, Man yang selalu kami beli daging 'fresh' masih belum tiba. Mahu tidak mahu, kita beli juga sekilo lebih daging 'batang pinang' dari satu lagi pegerai yang menjual daging. Di Pasar Tani Taman Sri Pulai hanya 2 gerai sahaja yang menjual daging 'fresh'. Sekilo daging 'batang pinang' berharga RM19.

Barang-barang lain yang kami beli ialah sesikat pisang berangan, senaskah akhbar NST, satu kampit mi dan sekampit 'kueh teaw'.

Dalam perjalanan pulang, Rasyid bertanya kepadaku. "Abah ada masa tak pagi ni?".

"Kenapa?", balasku.

"Kalau abah ada masa, Rasyid nak ajak abah pergi jogging kat taman sebelah Jusco", jawabnya.

"Ok!", balasku.

Rasyid dan Syakir bukan main seronok lagi dengan jawapanku itu. Achik dan 'Ammar hanya diam membisu seolah-olah memberi isyarat bahawa mereka tidak akan ikut serta.

Bila sampai di rumah kami menukar pakaian sukan. Rasyid terus menyarung kasut rodanya. Kasut roda 'second hand' yang aku beli di Car Boot Sales Belfast tahun 2008 masih utuh. Dalam ramai-ramai anakku, hanya Rasyid berkemahiran bermain kasut roda.

Kami berjalan perlahan-lahan menuju ke taman MPJBT bersebelahan dengan JUSCO.

Apabila tiba di sana, Rasyid dan Syakir bermain kejar mengejar menaiki 'slide' berterowong yang agak tinggi di situ. Aku sekadar berjalan sambil menikmati udara pagi yang segar dalam taman.

Dari pengamatanku, taman ini masih kurang digunakan sepenuhnya oleh warga taman perumahan yang berhampiran.

Pagi tadi, selain kami bertiga, kelihatan 2 orang lelaki warga emas berketurunan cina, 2 orang lelaki warga emas melayu, 4 orang gadis sunti cina, 4 orang siswi, dan 4 orang warga Indonesia yang menggunakan kemudahan yang ada di sini.

Setelah berada di sana hampir 2 jam, kamipun berjalan pulang...

Friday, March 25, 2011

SMIH Menyertai Explorace Anjuran FGHT, UTM


Fakulti Geoinformasi dan Harta Tanah (FGHT), UTM telah menjemput 5 sekolah yang berdekatan bagi menyertai satu 'explorace' sempena Festival Inovasi & Kreativiti yang berlangsung dari 23 hingga 28 Mac.

Explorace tersebut yang berlangsung semalam (24 Mac 2011), hanya diwakili oleh Sekolah Menengah Islam Hidayah (SMIH). Sekolah-sekolah lain yang berdekatan, masing-masing tidak menghantar wakil.

SMIH juga diminta untuk menambah bilangan peserta dari 5 orang kepada 10 orang.

Peserta-peserta ini kemudiannya dipecahkan kepada 2 atau 3 orang bagi setiap kumpulan. Markah diberi berdasarkan kebolehan menjawab soalan berbentuk matematik, kepantasan kumpulan ke setiap 'checkpoint', dan kerjasama dalam pasukan.

Akhirnya, kesemua hadiah dibolot oleh SMIH.

Pengarah program ini ialah Dr Zulkifli Majid dari Jabatan Geoinformatik, FGHT, UTM.

Akhirnya, Prof Dr Alias Abdul Rahman yang memangku jawatan Dekan FGHT dengan sukacitanya menyampaikan hadiah dan cenderahati kepada peserta dan guru pengiring.

"Journey To Palestine: The Untold Stories" Di Tapak Pesta Konvo.

Dua ahli lembaga pengarah Aqsa Syarif, Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus (Pengerusi Aqsa Syarif) dan PM Dr Zin Kandar (Setiausaha Aqsa Syarif) telah menyampaikan ceramah tentang Palestin bertajuk "Journey To Palestine: The Untold Stories", di Tapak Pesta Konvo UTM, pada 23 Mac 2011.

Kedua-dua penceramah ini menceritakan pengalaman perjalanan mereka dari Eropah ke Palestin; satu mengikut jalan laut iaitu dengan menaiki kapal Mavi Marmara dan satu lagi mengikut jalan darat.

Dr Zin yang menggunakan jalan darat, mengharungi lebih dari 60 hari untuk sampai ke Palestin untuk memberi bantuan perubatan, makanan, dan sebagainya.


Ustaz Hasanuddin pula menceritakan detik-detik cemas semasa askar Yahudi menawan kapal Mavi Marmara.

Dalam misi melalui jalan darat, George Galloway dari UK juga turut serta. Beliau mengatakan bahawa, "Dunia tidak akan aman selagi isu Palestin tidak selesai!".

Ramai pengunjung ke Tapak Pesta Konvo mendengar forum yang disampaikan oleh kedua-dua panelis tersebut.

Adalah agak pelik, sekiranya kita tidak merasai apa-apa setelah melihat apa yang dipaparkan oleh kedua-dua penyampai tersebut.

Di satu gambar, ditunjukkan bagaimana jentolak caterpillar meruntuhkan rumah dan kawasan penempatan orang-orang Palestin bagi tujuan untuk menggantikan dengan penempatan orang-orang Yahudi.

Cuba tanya diri kita, apa yang kita rasa jika itulah rumah kita? Apa tindakan kita seterusnya?

Banyak gambar yang ditunjukkan berkenaan anak-anak kecil mati dibunuh. Ada anak yang masih dalam kandungan ibu turut juga dibunuh.

Sungguh menyayat hati...

Manusia jenis apalah bangsa Yahudi ini.... Membunuh manusia tanpa mengira jantina dan usia.

Itupun sudah termaktub dalam al-Quran yang menceritakan bagaimana mereka sanggup membunuh para nabi. Ada nabi yang digergaji terbelah dua, ada yang dibunuh macam biasa. Itulah hakikat bangsa Yahudi, laknatullahi 'alaih!

Perlawanan Bolasepak Antara SMIH Dan SMKBBU...


SMIH pada hari semalam (22 Mac 2011) telah menjuarai kumpulan dalam Pusingan Pertama, apabila mereka mendapat keputusan seri dengan SMK Datuk Jaafar dan menang 1-0 ke atas English College.

Pada jam 2 petang (23 Mac 2011) di Pusingan Kedua, SMIH berdepan dengan SMK Bandar Baru Uda secara kalah mati. Permainan di padang yang berlumpur nampak tidak begitu selesa kepada pemain-pemain.

Keputusan akhir berkesudahan dengan SMIH tewas 3-1 kepada SMK BBU. Maka berakhirlah perjuangan SMIH untuk mara ke peringkat seterusnya...

Pada pemerhatian saya, 'coach' kita nampak begitu komited. Mana ada sekolah lain yang mempunyai 'coach' bukan dari kalangan guru mereka?

'Coach' kita adalah orang luar yang 'voluntarily' melatih pasukan bolasepak sekolah kita. Cuma mungkin kepada 'coach', beliau tidak mempunyai kata putus dalam apa jua keputusan yang bakal dibuat.

Selain 'coach', Ustaz Omar Daniel juga adalah antara ustaz yang komited memberi sokongan kepada pasukan bolasepak SMIH. Disamping itu, ada juga ustaz-ustaz baru yang belum saya kenali, turut memberi sorakan kepada pasukan SMIH yang berlangsung di padang SMK Tasek Utara. Moga SMIH lebih bernasib baik pada tahun hadapan!

Tuesday, March 22, 2011

Sana Sini Sekitar Hari Keluarga PALAPES UTM




Beberapa keping gambar yang sempat diambil sempena Hari Keluarga PALAPES UTM... Hari Keluarga PALAPES UTM ini telah diadakan pada 19 Mac 2011, di perkarangan Markas PALAPES.

Program ini adalah inisiatif pegawai kadet sendiri tanpa melibatkan pegawai staf.

Saya sendiri apabila ke Markas PALAPES pada Sabtu lepas untuk aktiviti 'Physical Trainning' atau dalam bahasa askar kita panggil PT pagi pada pukul 7 pagi, kelihatan kadet-kadet memakai baju yang berwarna warni.

Walaupun saya baru tahu mengenai program ini pada pagi itu, saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada mereka kerana berjaya menganjurkan program seumpama ini. Sudah agak lama kita tidak menjalankan Hari Keluarga PALAPES.

Banyak acara sukaneka yang dijalankan. Sebagai menghormati kadet-kadet yang telah mengatur acara permainan ini, saya juga telah mengambil bahagian dalam 2 acara sukaneka.

Saya pasti program ini telah mencapai matlamat mereka iaitu mengeratkan hubungan di antara sesama pegawai kadet bagi ketiga-tiga peringkat; junior, intermediate, dan senior. Dan saya berpendapat sekiranya ia melibatkan pegawai staf dari mula-mula perancangan dibuat, sudah pasti ia akan lebih meriah dan gemilang.

Saturday, March 19, 2011

Sarung Lengan Disamakan Dengan Sarung Betis Dan Paha...

Kalau dulu sekitar tahun 1970an, kita lihat ramai siswi memakai ‘skirt’ di universiti. Itu adalah penerusan pemakaian mereka di peringkat sekolah menengah lagi.

Apabila berlakunya dakwah dan Islam mula difahami pada tahun 1980an, maka berlaku reformasi sedikit sebanyak dan cara berpakaian mula berubah. Ramai yang mula bertudung dan berbaju kurung.

Pada tahun 1990an, kebanyakan universiti melalui Hal Ehwal Pelajar (HEP) mula memperkenalkan etika berpakaian sopan. Siap dengan gambar siswa mahupun siswi memperagakan pakaian sopan masing-masing, terpampang di segenap pelusuk fakulti.

Sesiapa yang tidak berpakaian sopan seperti tertera dalam gambar, urusan mereka di pejabat tidak akan dilayan, bahkan di kelas-kelaspun siswa dan siswi akan dihalau keluar. Itupun jika pensyarah menghayati falsafah atau saranan pihak HEP... Ada juga pensyarah yang tidak ambil kisahpun!

Di hujung tahun 2000an, berleluasa kemasukan pelajar asing ke IPTA. Maka, berlakulah satu lagi transformasi. Pelajar mula berpakaian lebih liberal terutamanya, pelajar-pelajar asing. Pelajar siswi cina dari China datang ke kampus dengan memakai seluar pendek dengan baju yang banyak koyaknya. Tidak kurang juga pelajar siswi dari Timur Tengah yang memakai pakaian tidak bertepatan dengan ciri-ciri budaya Timur.

Pihak pentadbir universiti mahupun pengawal keselamatan mula menjadi sangsi untuk melaksanakan peraturan berpakaian sopan. Kalau dulu senang, hanya ‘deal’ dengan siswi lokal aje tetapi sekarang etika berpakaian nampak kurang diberi perhatian dan penekanan. Apa yang penting sekarang ialah ke arah meramaikan bilangan pelajar antarabangsa dan pensyarah wajib ‘publish paper’ dalam jurnal berwasit!

Lagipun, mana universiti yang bertaraf dunia ambil kisah tentang apa pelajar mereka mesti pakai atau tak pakai?

Suatu ketika dulu juga, ramai siswi kita yang bertudung tetapi memakai t-shirt.
Akhir tahun 2000an, ramai yang mula faham bahawa lenganpun adalah sebahagian dari aurat dan bukan hanya rambut! Maka ramailah siswi memakai sarung lengan apabila mereka memakai t-shirt.

Fenomena memakai ‘jeans’ ketat juga mula ketara di kalangan pelajar siswi. Sebaliknya pula siswa, rata-ratanya memakai ‘jeans’ longgar. Dan ada juga yang sampai hendak terlondeh!

Mungkin bagi sesetengah siswi, mereka berfikir jika sarung lengan yang ketat dibolehkan maka apa salahnya memakai sarung betis dan paha yang ketat. Janji tutup walaupun nampak macam tidak tutup!

Trend tahun 1970an berulang kembali, cuma sedikit berbeza… Dari pemakaian skirt yang jelas menampakkan betis dan paha kepada pemakaian seluar ‘tight’, yang nampak tertutup tetapi jelas menampakkan bentuk tubuh badan.

Friday, March 18, 2011

Pakej Celcom Yang Menarik...

Petang semalam ketika saya 'on the way' naik ke pejabat di fakulti, saya diajak untuk mendengar promosi satu pakej celcom yang baru.

Pakej ini hanya terbuka untuk staf UTM sahaja. Pendaftaran percuma. "No minimum payment... You pay as what you use", katanya.

RM2 dikenakan untuk 300 sms. Jika kita menggunakan lebih dari 300 sms, setiap satu lebihan itu dikenakan caj sebanyak 2 sen.

Mereka yang berdaftar dengan maxis, digi, dan lain-lain boleh menyertai pakej ini. Nombor telefon kita yang asal boleh kita 'retained' walaupun kita menyertai pakej ini.

Setiap staf yang mendaftar pakej ini boleh mengambil maksima 6 nombor untuk diberikan kepada kaum keluarga dan sebagainya. Jika staf ingin mengambil hanya satu nombor untuk dirinya sahajapun boleh.

Nombor-nombor yang berdaftar di bawah pakej ini akan mendapat ganjaran membuat panggilan percuma di antara satu sama lain. Contohnya, sekiranya 1,000 staf UTM dan keluarga mereka menyertai pakej ini, panggilan telefon sesama 1,000 orang ini adalah percuma untuk 50 jam sebulan.

Panggilan kepada mana-mana 'line' celcom (yang tidak menyertai pakej ini), digi, maxis, dan sebagainya akan dikenakan caj sebanyak 10 sen seminit. Panggilan ini merangkumi seluruh Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak.

Saya mengatakan kepada 'promoter' pakej celcom ini, "It's too good to be true." "Yes, as a matter of fact it is", jawabnya. Dia berkata semua syarikat bersaing dan sekarang kita 'go for volume' (maksudnya mereka ingin mendapat kuantiti pelanggan yang ramai).

Sebelum ini, saya menggunakan pelan Exec Celcom 1 + 5. Dengan kata lain, saya dengan 5 nombor itu sahaja yang free apabila dibuat panggilan. Tetapi sekarang, satu UTM yang mengambil pakej ini, menjadi free apabila dibuat panggilan. Keluarga menjadi semakin besar...

Saya bertanya, apa 'hidden' agendanya atau 'disadvantage' kepada pelan ini? Promoter, yang juga bekas pelajar jurusan Perancang Bandar & Desa, Fakulti Alam Bina, UTM mengatakan "Tiada". "Dulu kita pernah buat promosi seumpama ini kepada 2 buah syarikat swasta dan berjaya, and 'now we're doing it for UTM'", jelasnya lagi.

Apa lagi? Sayapun turut sama berhijrah ke pakej yang baru ini. Nombor-nombor Ummi, Angah, Abang, & Achik dikekalkan. Cuma tambah nombor baru untuk 'Ammar... menjadikan 6 kesemuanya...

Thursday, March 17, 2011

Nak Untung 1 Sen Tetapi Rugi RM1...


Saya ingin kongsi sedikit pengalaman tentang pembelian insuran kenderaan.

Kita sebagai rakyat biasa cuba untuk mendapatkan harga insuran kereta yang terendah. Kereta sudah 10 tahun, ansuran bulananpun sudah habis bayar, tetapi hendak membeli insuran ‘first party’… Walaupun ada calar dan kemek sikit sana sini tetapi bila ditekan komputer tengok ‘market value’ masih RM27,500.

Pihak agen insuran kesian kepada kita, melihat tanggungjawab ramai dan duit tak seberapa maka kita ditawarkan untuk ‘insured’ kereta sebanyak RM5,000 sahaja. Kitapun seronok kerana insuran ‘first party’ dengan bayaran RM180 aje.

Seronok kita hanya sementara, sementara menunggu hari malapetaka! Malang tidak berbau!

Apabila berlaku aje kemalangan yang berpunca dari kesalahan kita maka baru kita tahu langit itu tinggi atau rendah!

Apabila kereta kita ditarik ke bengkel maka pihak bengkel tersenyum lebar kerana inilah peluang untuk membuat untung besar. Insuran kereta ‘first party’ maka bolehlah mereka klaim gila-gila, itu tanggapannya.

Setelah diberitahu kereta hanya diinsurankan RM5 ribu walaupun ‘first party’ maka pihak bengkel tolak mentah-mentah. “Lu, pergi cali bengkel lain lo!”.

“Ini wa tak bole buat… Kalu wa buat klaim insuran, lu kena ‘total lost’ lo…”. “Wa ingat 70% pihak insuran akan bagi ‘total lost’ lo…”. “Kalu ‘total lost’, lu akan dapat kulang dali RM5 libu lo, tolak ‘towing’, tolak pemandu tak ada nama dalam polisi…bla bla”.

Amat susah untuk kita cari bengkel yang ingin membantu atas dasar ‘humanitarian’. Semua melihat sebagai peluang untuk memukul bunuh pihak insuran. ‘Claim to the maximum!’

Berlarilah kita ke sana ke mari mencari bengkel yang sudi.. disamping menjanjikan bahawa kita akan membayar ‘cash’ segala pembaikian yang dijalankan.

Akhirnya ada satu bengkel yang sudi membaiki tetapi ‘estimation’ bayaran RM6,000 lebih dan kena bayar ‘cash’. Duit cagaran RM3,000 juga diminta sebelum kereta dibaiki.

Itulah hakikat apabila kita hendak membayar insuran kenderaan yang rendah tetapi akhirnya kita terpaksa menanggung kerugian yang berlipat kali ganda.

Nasihat saya, ambillah insuran mengikut harga nilai kenderaan kita yang sebenar… Malang tidak berbau… Jangan kerana hendak untung 1 sen tetapi akhirnya kita rugi RM1.