Kita belajar tentang kehidupan dari pelbagai sumber. Ada ketika kita diajar oleh ibubapa, ada masa kita belajar dari guru, ada ketika kita belajar dari buku, ada masa pula kita belajar dari rakan. Tak kurang juga kita belajar menerusi pengalaman.
Contoh kita belajar melalui ‘try and error’ ialah bilamana kita kahwin dan mempunyai keluarga. Tiada kursus yang kita ikuti dan tiada pembelajaran secara formal telah kita lalui tetapi berjaya juga kita membesarkan anak-anak seadanya.
Cara kita membesarkan anak juga cukup berbeza. Pada masa mula-mula kahwin, kita inginkan keluarga kita membesar secara islamik. Mungkin TV, dan perhiasan yang keterlaluan kita tinggalkan. Perabot yang ada mungkin hanya yang asas; peti ais, almari baju, katil, dan dapur. Kerusi set dan meja makan mungkin kurang penting dan tidak menjadi keperluan kita pada masa itu.
Anak sulung menjadi bahan experimen kita yang pertama. Yang pasti kita amat sayang kepada anak ini kerana inilah zuriat kita yang pertama. Bagaimana hendak mengasuhnya, kita tiada pengalaman! Perlukah kita manjakannya? Wajarkah kita bertegas dengannya?
Setelah kita semakin matang, perkahwinan semakin lama, maka kita menjadi ‘mellow down’. Kalau dulu, tiada TV tetapi sekarang sudah membeli 'TV Flat Screen' besar kerana risau anak melihat TV di rumah jiran. Kalau dulu mungkin tegas dengan anak-anak tetapi sekarang mungkin sudah banyak lembut dari keras.
Kalau dulu perabot dalam rumah hanya perkakas asas sahaja tetapi sekarang sudah beli kerusi set kulit, meja makan yang boleh dipusing untuk memudahkan anak-anak mengambil lauk. Kereta sudah besar, beli ‘brand new’, dan berjenama mewah.
Sekarang sudah faham hadis yang membenarkan untuk memiliki kenderaan dan rumah yang selesa… Kalau dulu, masa muda-muda rasa macam ingin hidup secara zuhud. Ingat kesusahan yang dilalui Rasulullah--tidur beralaskan pelepah tamar! Tetapi mana boleh tahan, melihat sahabat hidup agak selesa disamping masih terus berdakwah.
Tidak kurang juga sahabat yang terus tenggelam. Tiada lagi aktif sewaktu muda-muda dulu… Katanya, “Diri sudah tua, berilah peluang kepada orang muda!”. Pernahkah kita membaca dan dibaca tentang Rasulullah pencen berdakwah setelah hari tua?
Apa yang kita dengar, semakin hari semakin kuat Rasulullah berdakwah. Begitu juga dengan amalan fardinya… Tidak pernah luntur mengerjakan puasa sunat, qiamullail, bersedekah, dan sebagainya walaupun sudah dijamin syurga.
Kitapun seharusnya begitu. Tiada hari pencen dan waktu rehat untuk berdakwah. Sepatutnya kita hanya berehat setelah jasad dikembalikan kepada bumi. Barulah kita boleh menarik nafas lega, tiada lagi beban dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan…
No comments:
Post a Comment