Thursday, March 10, 2011

"Berapa Mahu Tulis Pada Resit?"


“Encik mahu tulis berapa bil ini?”, tanya taukeh Cina penjual barangan alat tulis.

“Maksud taukeh?”, tanya saya pula.

“Suka hati encik la mau tulis berapa… nanti mau klaim senang”, jawab si taukeh.

“Oh, begitu…”, jawabku.

“Taukeh tulislah berapa yang saya bayar pada taukeh tadi”, sambungku lagi.

“Tapi banyak orang beli barang harga RM60-RM70 tapi mau bil tulis RM80-RM90 untuk klaim sama kerajaan”, jelas taukeh.

“Taukeh tau tak, tak baik tipu macam itu”, jelasku padanya.

“Tapi ramai orang Melayu bikin macam itu”, sambung taukeh lagi.

“Itu la… Kalau kita kurang agama kita buat macam-macam. Semua orang tahu tipu itu tidak baik tapi ramai juga orang menipu. Melayu ke, Cina ke, India ke… semua sama kalau kita tidak takut pada Tuhan”, sambungku lagi.

Mungkin penipuan bil atau resit sudah menjadi lumrah. Kalau tak, masakan taukeh Cina itu boleh tanya kita. Pengalamannya membuat dia menjadi biasa untuk bertanya si pembeli berapakah nilai yang hendak ditulis pada resit.

Pernah tak kita terfikir, betapa kita menjual agama dengan nilai yang sebegitu murah apabila kita menyuruh seseorang yang bukan Islam untuk menipu? Secara tidak langsung, kita menjatuhkan maruah orang Islam.

Pada taukeh Cina, dia melihat sama aje, baik orang Islam mahupun bukan Islam, semuanya kaki penipu.

Kalau kita fikir, berapa sangat kita dapat untung? Berbaloi ke dengan dosa yang bakal kita tanggung di akhirat nanti. Mampu ke kita untuk memohon ampun kepada seluruh pembayar cukai di negara kita? Dan yang paling menyedihkan ialah gambaran orang bukan Islam terhadap orang Islam… sama aje!

No comments:

Post a Comment