Rasuah adalah penyakit masyarakat yang berakar umbi sejak sekian lama. Ia dilakukan oleh mereka yang berkolar putih mahupun yang berkolar biru. Tiada terkecuali. Malahan dalam satu banci yang dibuat beberapa tahun lalu di kalangan mahasiswa universiti, hasilnya majoriti mengatakan mereka akan melakukan rasuah jika berpeluang setelah tamat pengajian nanti. Amat mengerikan ya? Tetapi itulah hakikatnya.
Siapa tidak mahu mendapat duit dengan jalan senang? Tidak perlu berusaha keras atau berusaha sedikit saja tetapi kerana kita mempunyai kuasa maka duit datang mencurah-curah.
Kuasa yang ada pada kita itulah, baik penentu samaada projek itu siapa dapat, mahupun kuasa pengampun untuk mengurangkan denda atau hukuman yang sepatutnya diterima.
“Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)”. (Al-Baqarah; 188)
Rasuah juga tidak pernah mengenal latarbelakang seseorang, samaada yang berpendidikan sekular atau agama. Sama saja. Kita juga pernah mendengar seorang hakim mahkamah syarie dibicarakan kerana rasuah. Pokoknya ialah iman, taqwa dan didikan sivik serta penghayatan asas agama yang teguh.
Kadang-kadang rasuah diajar kepada generasi muda oleh generasi tua. Ia juga diajar oleh pemerintah kepada rakyat.
Cuma skelnya berbeza. Golongan terpelajar atau mereka yang berjawatan tinggi, penglibatan mereka dalam rasuah lebih ‘subtle’ dan tidak dinampakkan. Manakala golongan marhaen terjebak dengan gejala ini secara berskala kecil. Walau bagaimanapun, besar atau kecil, rasuah tetap rasuah.
Badan politik mengamalkan rasuah semasa pemilihan parti mereka. Calon-calon yang bertanding menghabiskan wang sedemikian banyak kepada para perwakilan untuk meraih undi. Jika dalam pemilihan parti mereka, mereka sanggup memberi rasuah, apatah lagi apabila berlaku pilihanraya!
“Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya). Oleh itu kalau mereka datang kepadamu, maka hukumlah di antara mereka (dengan apa yang telah diterangkan oleh Allah) atau berpalinglah dari mereka dan kalau engkau berpaling dari mereka maka mereka tidak akan dapat membahayakanmu sedikitpun dan jika engkau menghukum maka hukumlah di antara mereka dengan adil; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil”. (Al-Maidah; 42)
Dalam pilihanraya banyak terdapat projek-projek segera yang diberikan. Kalau dibandingkan tentang keperluan, mungkin kawasan lain yang tidak berlaku pilihanraya itu lebih memerlukan projek tersebut. Tetapi matlamat untuk memenangi pilihanraya mengatasi keperluan tempat lain yang lebih daif, lebih miskin, dan lebih berhak.
Keuntungan pilihanraya kecil (prk) kepada sesebuah kawasan amat banyak. Apabila wakil rakyatnya meninggal dunia, maka kawasan tersebut akan mendapat durian runtuh! Rakyat akan diberi lebih perhatian di kawasan ini. Setidak-tidaknya, sehingga selesai prk. Malah rakyat kawasan itu, akan lebih senang sekiranya wakil rakyatnya meninggal dunia saban tahun…
Satu lagi yang menarik diberi perhatian ialah tentang kesalahan rasuah. Perasuah yang ditangkap melibatkan agensi kerajaan akan didakwa. Tetapi perasuah yang ditangkap dalam pemilihan jawatan dalam parti hanya dibicarakan dalam jawatankuasa parti tersebut dan tidak melibatkan SPRM sama sekali.
Sedihkan… bila melihat ramai pemimpin besar sesebuah parti ditangkap, didakwa dan didapati bersalah oleh jawatankuasa parti tetapi masih memegang jawatan tinggi dalam kerajaan. Ada juga pesalah rasuah politik ini dijadikan pengerusi sesebuah syarikat swasta atau ‘government link company’ (GLC).
‘Once upon a time’, kita dislogankan dengan Bersih, Cekap, Amanah. Slogan ini hanyut dibawa arus… arus deras menuju negara maju 2020.
Di tahun 80an juga, kita dengar slogan “Kepimpinan Melalui Teladan”. Tetapi tiada teladan yang boleh kita ambil dari para pemimpin kita. Teladan apa yang hendak diambil dari perasuah selain dari kita juga turut melakukan rasuah sepertinya.
Apa beza rasuah dalam parti dan rasuah dalam kerajaan? Apa buktinya pemimpin tersebut tidak merasuah dalam kerajaan jika dia sanggup merasuah dalam partinya sendiri? Mungkin soalan yang lebih relevan ialah kenapa kita boleh menerima perasuah sebagai pemimpin kita? Tiada orang lainkah yang lebih jujur dan amanah yang boleh dipertanggungjawabkan?
“Oleh itu janganlah kamu takut kepada manusia tetapi hendaklah kamu takut kepadaKu (dengan menjaga diri dari melakukan maksiat dan patuh akan perintahKu) dan janganlah kamu menjual (membelakangkan) ayat-ayatKu dengan harga yang sedikit (kerana mendapat rasuah, pangkat dan lain-lain keuntungan dunia) dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang yang kafir”. (Al-Maidah; 44)
Apabila menanyakan soalan tentang perbezaan rasuah dalam parti dan rasuah dalam kerajaan, ia mengingatkan saya kepada satu peristiwa semasa saya di Northern Arizona University (NAU) dulu.
Semasa di NAU, saya mengenali seorang pelajar yang agak senior dari saya dari segi umur tetapi beliau baru datang dari Malaysia untuk belajar diatas biaya sendiri.
Apabila beliau baru balik dari membuat ‘grocery’, saya membaca ingredient di salah satu makanan dalam tinnya dan jelas perkataan ‘LARD’.
Saya memaklumkan kepadanya bahawa makanan itu tidak boleh makan tetapi beliau menafikannya kerana katanya hanya lemak babi dan bukannya daging babi!
Cukuplah… Sudahlah… Ia menampakkan seolah-olah kita boleh menerima perasuah tetapi ‘on the other hands’, kita kata kita memerangi rasuah! Isytihar perang bukannya setakat marah atau benci!
Kalau kita isytihar perang, begitu ke tindakan kita kepada perasuah?
Integriti dicanang merata-rata. Kita hendaklah menjaga integriti sesebuah institusi. Bagai nak rak kita nyanyikan lagu integriti. Tetapi lagu hanya tinggal lagu. Sedap didengar dan dituturkan tetapi tiada penghayatan…
Marilah kita sama-sama menghentikan budaya yang tidak sihat ini. Bagaimana caranya? Pertama, kita sendiri berhenti dari mengamalkan rasuah. Kedua, kita membuat laporan kepada SPRM apabila didapati ada pegawai atau staf yang menerima rasuah. Ketiga, kita menolak pemimpin yang rasuah. Kita angkat mereka yang berintegriti dan amanah untuk menjadi ketua kita. Dengan itu, harta negara menjadi selamat dan rakyat akan hidup secara aman sejahtera.
No comments:
Post a Comment