Tuesday, March 15, 2011

Tunaikan Tanggungjawab Kita


Satu Program Diskusi Iman iaitu perkongsian pengalaman dan ilmu perbandingan agama bersama saudara baru telah diadakan di Masjid Sultan Ismail, UTM, pada 11 Mac 2011.

‘Team Comparative Religion Study’ (CRS) IKRAM Johor diwakili oleh saudara Jaysuman berganding dengan pencermah tersohor saudara Shah Kirit Kallulal Govindji yang diterbangkan khas dari IIS Kuala Lumpur. Brother Shah Kirit juga berkhidmat di Saba Islamic Media.

Program yang berlangsung selama 2 jam ini bermula selepas solat isya' hinggalah ke pukul 11.15 malam. Banyak perkara yang dikongsikan tetapi masa nampak seperti tidak mencukupi…

Shah Kirit telah memeluk Islam 15 tahun yang lampau manakala Jay telah berhijrah kepada Islam sejak 9 tahun yang lalu. Mereka mengajukan pertanyaan kenapa kita yang berada dalam Islam sejak lahir tidak melakukan dakwah?

Saya tidak ingin menyentuh tentang Shah Kirit yang sememangnya banyak ilmu dan boleh menceritakan sesuatu isu dengan dalil ayat Quran, ayat sekian dan surah sekian...

Saya sendiri apabila bercerita tentang isu ketauhidan Allah atau apa-apa isu, tidak mungkin dapat saya sandarkan kepada al-Quran, ayat apa dan surah apa.

Jay menceritakan bahawa bapanya seorang berbangsa India beragama Hindu manakala ibunya pula seorang Cina beragama Kristian. Semasa kecilnya, Jay bergilir-gilir ke kuil dan ke gereja bagi memenuhi permintaan ibubapanya. Begitulah peranan anak untuk tidak mengecilkan hati kedua ibubapanya.

Apabila ke kuil, Jay melihat banyak patung-patung yang sungguh menggerunkan manakala apabila ke gereja, beliau melihat patung ‘Nabi Isa’ yang disalib.

Beliau berpeluang untuk melihat suasana dalam masjid apabila menunggu kawannya bersolat di masjid. Kawannya seorang berbangsa Melayu meninggalkan basikal untuk dijaga oleh Jay sementara dia pergi solat di masjid. Jay menunggu basikal tetapi kerana ingin membuang air, beliau terpaksa meninggalkan basikal dan masuk ke dalam masjid juga untuk mencari bilik air.

Beliau mendapati masjid berbeza dengan kuil dan gereja. Hanya ruang kosong dan tiada berhala mahupun salib di dalamnya.

Jay juga pernah ke rumah kawan melayunya tadi, yang juga merupakan kawan baiknya. Semasa di bilik kawannya, kawannya menunaikan solat dan Jay hanya memerhati secara dekat perbuatan solat kawannya itu.

Apabila kawannya selesai solat, Jay ingin menanyakan kawannya tentang Islam tetapi kawannya hanya mengambil 4 buah buku tentang Nabi Muhammad, Nabi Isa, Nabi Musa, dan Nabi Ibrahim dan memberikan kepada Jay secara kasar dan menyuruhnya membaca sendiri.

Hasil pembacaan buku-buku tadi disamping usaha lain dan yang terpenting ialah hidayah Allah maka Brother Jay telah mengisytiharkan keislamannya.

Alangkah besarnya pahala yang bakal diperolehi kawan melayunya itu kerana telah menggerakkan hati Jay kepada Islam. Dan pahala itu adalah lebih baik dari langit dan bumi dan seisi di antara keduanya…

Bagaimana pula kita? Apa usaha kita? Shah Kirit dan Jay berkata dalam ceramah, jika masyarakat Cina dan India di sekeliling kita, tidak kita perkenalkan kepada Islam, di akhirat besok mereka akan mendakwa kita!

No comments:

Post a Comment