Apabila kita dilahirkan semua bergembira kecuali kita yang menangis; Apabila kita dikembalikan semua menangis kecuali kita yang gembira... Gembira untuk menemui Allah Rabbul Jalil...
Sunday, March 27, 2011
"Abah Ada Masa Tak Pagi Ni?"
Pagi tadi, Achik, 'Ammar, Rasyid, dan Syakir bersamaku menunaikan solat Subuh di MSI, UTM. Ramai juga yang berjamaah kerana ibubapa yang datang sempena majlis konvokesyen anak mereka di UTM.
Selesai mengerjakan tanggungjawab kepada Allah, kami bergerak ke Restoren Aminah di Taman Sri Pulai sementara menunggu Pasar Tani Taman Sri Pulai beroperasi.
Achik dan 'Ammar masing-masing memesan roti telor bersama teh tarik. Rasyid dan Syakir berkongsi dua orang, sebiji roti telor dan segelas air milo. Aku sendiri memesan 2 biji capati bersama nescafe panas.
Kemudian kami bergegas ke Pasar Tani. Malangnya, Man yang selalu kami beli daging 'fresh' masih belum tiba. Mahu tidak mahu, kita beli juga sekilo lebih daging 'batang pinang' dari satu lagi pegerai yang menjual daging. Di Pasar Tani Taman Sri Pulai hanya 2 gerai sahaja yang menjual daging 'fresh'. Sekilo daging 'batang pinang' berharga RM19.
Barang-barang lain yang kami beli ialah sesikat pisang berangan, senaskah akhbar NST, satu kampit mi dan sekampit 'kueh teaw'.
Dalam perjalanan pulang, Rasyid bertanya kepadaku. "Abah ada masa tak pagi ni?".
"Kenapa?", balasku.
"Kalau abah ada masa, Rasyid nak ajak abah pergi jogging kat taman sebelah Jusco", jawabnya.
"Ok!", balasku.
Rasyid dan Syakir bukan main seronok lagi dengan jawapanku itu. Achik dan 'Ammar hanya diam membisu seolah-olah memberi isyarat bahawa mereka tidak akan ikut serta.
Bila sampai di rumah kami menukar pakaian sukan. Rasyid terus menyarung kasut rodanya. Kasut roda 'second hand' yang aku beli di Car Boot Sales Belfast tahun 2008 masih utuh. Dalam ramai-ramai anakku, hanya Rasyid berkemahiran bermain kasut roda.
Kami berjalan perlahan-lahan menuju ke taman MPJBT bersebelahan dengan JUSCO.
Apabila tiba di sana, Rasyid dan Syakir bermain kejar mengejar menaiki 'slide' berterowong yang agak tinggi di situ. Aku sekadar berjalan sambil menikmati udara pagi yang segar dalam taman.
Dari pengamatanku, taman ini masih kurang digunakan sepenuhnya oleh warga taman perumahan yang berhampiran.
Pagi tadi, selain kami bertiga, kelihatan 2 orang lelaki warga emas berketurunan cina, 2 orang lelaki warga emas melayu, 4 orang gadis sunti cina, 4 orang siswi, dan 4 orang warga Indonesia yang menggunakan kemudahan yang ada di sini.
Setelah berada di sana hampir 2 jam, kamipun berjalan pulang...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment