Saturday, March 29, 2014

Jauhlah Diri Ini Dari Merasakan Betapa Banyaknya Amal Yang Telah Dilakukan...

Ya Allah, aku memohon kepadaMu supaya aku sentiasa merasakan betapa sedikitnya amal yang telah aku lakukan.
Ya Allah, aku memohon kepadaMu supaya aku sentiasa beramal kepadaMu walaupun sedikit.
Ya Allah, aku memohon kepadaMu supaya aku tidak merasa puas untuk beramal kepadaMu.


Ya Allah, aku memohon kepadaMu supaya aku sentiasa basah berzikir kepadaMu.
Ya Allah, aku memohon kepadaMu supaya mengampunkan dosa-dosaku yang menggunung tinggi.
Ya Allah, aku memohon kepadaMu supaya sentiasa menjaga diriku dari terjerumus ke lembah yang hina.

Ya Allah, aku memohon kepadaMu supaya aku sentiasa istiqamah di jalanMu yang lurus ini.
Ya Allah, aku memohon kepadaMu supaya aku sentiasa redha dengan pemberianMu.
Ya Allah, aku memohon kepadaMu supaya bersifat dengan sifat qanaah dan tidak haloba dengan harta dunia.

Ya Allah, aku memohon kepadaMu supaya menjadikan daku seorang yang sentiasa bermurah hati.
Ya Allah, aku memohon kepadaMu supaya aku tergolong dalam hamba-hambaMu yang soleh, yang sentiasa abid dengan suruhan dan laranganMu.
Ya Allah, aku memohon kepadaMu supaya di sana ada ruang syurga untuk diriku.

Wahai Allah, Engkau kabulkanlah permintaanku...

Tuesday, March 18, 2014

Fenomena Negara Maju...

Saya tertarik dengan visi dan misi kita untuk menjadi negara maju menjelang tahun 2020 iaitu lebih kurang 6 tahun dari sekarang! Cuba kita perhatikan 9 cabaran yang telah digariskan oleh kerajaan. Setakat mana pencapaian kita?

9 cabaran di bawah telah saya ambil dari MyAirport@blogspot.com dan saya ulas setiap satu cabaran tersebut.



·  Cabaran pertama ialah mewujudkan negara Malaysia bersatu yang mempunyai matlamat yang dikongsi bersama. Ia mesti menjadi negara yang aman, berintegrasi di peringkat wilayah dan kaum, hidup dalam harmoni, bekerjasama sepenuhnya secara adil, dan terdiri daripada satu bangsa Malaysia yang mempunyai kesetiaan politik dan dedikasi kepada negara.

Pada saya, cabaran ini tidaklah sukar untuk dicapai tetapi ia perlu dipupuk dan dibaja dengan sebaik yang mungkin. Usah kita kita mainkan lagu-lagu lama seperti peristiwa 13 Mei dan seumpamanya kerana ia tidak membawa kita kemana-mana tetapi sebaliknya akan menambahkan lagi sikap saling tidak mempercayai di antara satu sama lain. Banyakkan cerita dan berita positif tentang hubungan antara kaum supaya kita mudah berintegrasi.

·  Yang kedua ialah cabaran untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang berjiwa bebas, tenteram dan maju, dengan keyakinan akan keupayaan sendiri, berbangga dengan apa yang ada, dengan apa yang telah dicapai, cukup gagah menghadapi pelbagai masalah. Masyarakat Malaysia ini mesti dapat dikenali melalui usaha mencapai kecemerlangan, amat sedar akan semua potensinya, tidak mengalah kepada sesiapa, dan dihormati oleh rakyat negara lain.

Cabaran ini juga boleh dicapai dengan baik. Penggunaan internet yang berleluasa dan bebas akan mencerna dan mewarna jiwa yang bebas tetapi masih mempunyai keterbatasannya bersandarkan tuntutan Tuhan dan tatasusila murni. Tiada siapa di dunia ini yang betul-betul bebas melakukan sesuatu tanpa batas. Hatta kera di hutanpun mempunyai batasan 'territory'nya!


·  Cabaran ketiga yang sering kita hadapi ialah usaha mewujudkan dan membangunkan masyarakat demokratik yang matang, yang mengamalkan satu bentuk demokrasi Malaysia yang mempunyai persefahaman matang, berasaskan masyarakat yang boleh menjadi contoh kepada beberapa banyak negara membangun.

Kita perlu faham betul-betul apa maksudnya masyarakat demokratik yang matang. Kita seharusnya mengamalkan dan bukan setakat nukilan semata-mata bagi menunjukkan kita 'open'... Kita mesti betul-betul terbuka untuk menerima pandangan berbeza. Jangan kita mudah melabel mereka sebagai pembangkang jika mereka berbeza pendapat dengan kita.
·  Keempat ialah cabaran untuk mewujudkan masyarakat yang sepenuhnya bermoral dan beretika, dengan warganegaranya teguh dalam nilai agama dan kerohanian dan didokong oleh nilai etika paling tinggi.

Ini juga perlu kepada pelaksanaan yang selari. Bukan hanya menyatakan begitu tetapi kita masih membenarkan budaya hedonisme berleluasa sehingga melanggar budaya ketimuran. Mati dan sakit disebabkan menari terkinja-kinja dengan pakaian separuh bogel selama beberapa hari dan berbekalkan dadah dan arak. Jauh sekali apa yang dikata!

·  Cabaran kelima yang selalu kita alami adalah untuk mewujudkan masyarakat liberal dan bertolak ansur, dengan rakyat Malaysia pelbagai kaum bebas mengamalkan adat, kebudayaan dan kepercayaan agama mereka dan pada masa yang sama meletakkan kesetiaan mereka kepada satu negara.

Kita dengan jelas menyatakan untuk mewujudkan masyarakat liberal! Liberal agamanya, liberal akhlaknya, liberal budayanya atau liberal yang bagaimana? Yang pasti kita tidak boleh liberal dari segi menyokong mereka yang tidak menerima hadis dan hanya berpegang kepada al-Quran!
·  Keenam ialah cabaran untuk mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif, masyarakat yang mempunyai daya perubahan tinggi dan berpandangan ke depan, yang bukan sahaja menjadi pengguna teknologi tetapi juga penyumbang kepada tamadun saintifik dan teknologi masa depan.

Kita perlu menambah ruang dan peluang kepada anak bangsa untuk menimba ilmu di menara gading yang canggih teknologinya dan bukannya mengurangkan bilangan pengambilannya. Janganlah kera di hutan disusui tetapi anak di rumah mati kelaparan.


·  Cabaran ketujuh untuk mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya menyayangi, iaitu sistem sosial yang mementingkan masyarakat lebih daripada diri sendiri, dengan kebajikan insan tidak berkisar pada negara atau orang perseorangan tetapi di sekeliling sistem keluarga yang kukuh.

Perlu banyakkan program-program ke arah keluarga penyayang. Daripada apa yang dilihat hari ini, sebaliknya yang berlaku. Ibubapa merempat di hari tua dan kadang-kadang rumah orang tua menjadi sasaran tempat persinggahan terakhir sebelum mereka melangkah pergi! Anak-anak kecil dan bayi samaada didera atau dibuang kerana terjebak dengan budaya seks bebas. Nilai-nilai positif terhakis dan remaja semakin berani mencuba budaya asing!
·  Kelapan ialah cabaran untuk memastikan masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi. Ini merupakan masyarakat yang melaksanakan pengagihan kekayaan negara secara adil dan saksama, dengan wujudnya perkongsian sepenuhnya bagi setiap rakyat dalam perkembangan ekonomi. Masyarakat sedemikian tidak akan wujud jika masih ada pengenalan kaum berdasarkan fungsi ekonomi, dan pengenalan kemunduran ekonomi berdasarkan kaum.

Itulah yang diharapkan semasa pemerintahan kita di awal dahulu semasa zaman Tun Abdul Razak tetapi sekarang masing-masing berjuang terutama ahli politik pemerintah hanya untuk memenuhi kekayaan diri dan keluarga sendiri. Alangkah sedih bila melihat bekas Perdana Menteri yang mencanang Wawasan 2020 tersenarai sebagai manusia terkaya dan mendapat nombor dua selepas Presiden Hosni Mubarak! Itu mereka tulis tetapi hakikatnya kita tidak tahu. Tetapi sekiranya betul maka kita boleh dikatakan sebagai pemimpin yang tidak 'walk the talk!'.
  
·  Cabaran kesembilan ialah cabaran untuk mewujudkan masyarakat makmur yang mempunyai ekonomi bersaing, dinamik, giat dan kental.

Ini masih jauh selagi kita masih mengharapkan pelbagai subsidi negara (kerajaan). Segala jenis seumpama BR1M harus dihapuskan tetapi sebaliknya meningkatkan pelaksanaan pengurusan sistem zakat yang lebih telus dan berwibawa. Kutipan zakat yang berjuta-juta bukan untuk disimpan tetapi perlu diagihkan kepada asnaf-asnaf yang begitu mengharapkan...

Seterusnya, saya nampak gejala atau masalah negara-negara maju akan kita warisi. Contohnya, peningkatan dari segi 'crime rate', peningkatan pengangguran, peningkatan kesesakan jalan dan sebagainya.


Masyarakat muda akan lari dari melakukan kerja-kerja berat di ladang sepertimana yang kita lihat di negara maju. Pendatang asing akan mengusahakan tanaman sawit dan mengutip hasilnya. Kita dapati di kebanyakan negara maju, pengutipan strawberry dan apple telah dilakukan oleh PATI (Pendatang Asing Tanpa Izin).

Masyarakat juga akan banyak yang tiada rumah. Oleh itu, PBT terpaksa membantu membina rumah dan menyewakan kepada mereka.

'Food stamps' sepertimana di US dan UK akan disediakan! Masyarakat bebas memilih untuk bekerja atau berhenti kerja dan kemudiannya mendapatkan kemudahan bantuan dari 'local government' atau 'state government', mahupun dari 'federal government'.

Harap-harapnya telahan saya tidak benar...                                                                                                             

Monday, March 17, 2014

Semuanya 'based on trust'...

Pada minggu lepas, saya membawa pelajar-pelajar semester akhir yang berada di tahun akhir Kursus Pentadbiran & Pembangunan Tanah dari Fakulti Geoinformasi & Harta Tanah, UTM ke Pulau Langkawi dalam rangka lawatan akademik bagi matapelajaran Pengurusan Sumber Tanah Luar Bandar dan juga matapelajaran Kajian Pelancongan. 26 orang kesemuanya! Kami pergi dengan menaiki bas UTM.

Antara aktiviti-aktivitinya adalah mendapatkan taklimat berkaitan perancangan dan pembangunan Langkawi dari pihak LADA, berkunjung ke pulau-pulau yang berdekatan yang dipanggil 'island hopping', menaiki kereta kabel, lawatan ke pusat perusahaan gamat, lawatan ke Galeria Perdana, dan lain-lain lagi. Agenda 'shopping' coklat, kain, pinggan mangkuk dan bag adalah aktiviti sampingan. Itupun jika ada duit... Di tengah bulan ni, kebiasaannya tak ada lah sangat.


Lebih kurang 4 hari kesemuanya, dari 11 hingga 14 Mac 'on paper' walaupun sampai balik ke UTM pada pukul 3 pagi pada 15 Mac... Itu kira termasuk masa perjalanan bas pergi selama 12 jam dan perjalanan balik pula selama 12 jam.

Nasib baik kami pergi pada hari 'weekdays' tak ramai orang. Bila kami nak balik pada hari Jumaat, kelihatan makin ramai manusia dan chalet tempat kami menginappun penuh.

Kami bertolak pada pukul 6 petang pada 11 Mac dan sampai di Kuala Perlis pada pukul 6 pagi, 'just nice for fajar prayer at the mosque nearby the jetty'. Pada mulanya, saya ingin memaklumkan kepada pelajar bahawa kita berkemungkinan akan berimamkan seseorang yang tidak membaca doa qunut tetapi hati kecil mengatakan biarlah mereka lalui dan alami sendiri...

Masjid al-Hussain yang begitu cantik, menjual cenderahati jam tangan kepada sesiapa yang ingin membelinya dengan harga RM180 dan menyediakan juga tempat parkir bagi sesiapa yang ingin meninggalkan kereta untuk ke Langkawi (kalau tak silap dengan bayaran RM20 sehari) begitu selesa untuk beribadah. Kedudukannya ditepi laut begitu sejuk di waktu dinihari...

Seperti sangkaanku, memang imam tidak membaca qunut dan berzikir secara sendirian selepas solat Subuh! Setelah berada di dalam feri aku bertanya samaada mereka (pelajar-pelajar) jangka atau tidak bahawa tiada qunut di sesetengah masjid di Perlis. Jawapannya adalah tidak! Dan ada yang solat Subuh 2 kali kerana tidak selesa tanpa qunut!

Aku menyatakan kepada mereka bahawa di Mekah dan Madinahpun, kita solat tanpa qunut. Jadi tak perlu kita bergaduh tentang soal ranting, yang penting ialah kita solat. Jangan pula bertengkar sehingga meninggalkan solat.


Apa yang aku ingin kongsikan di sini ialah tentang cerita burung 'hornbill' atau burung enggang. Tertera di papan kenyataan di Pulau Dayang Bunting menceritakan kisah burung ini. Aku rasa papan itu diletakkan oleh agensi pelancongan bagi menceritakan sesuatu kepada pengunjung.

Kalau kita mengunjung tetapi tidak membaca apa yang ada di paparan maka sia-sia lah beribu-ribu ringgit pihak TDC membelanjakannya untuk memberi pengetahuan kepada kita. Saya tanya pelajar-pelajar, ada baca tak? Hanya segelintir yang membacanya.

Dinyatakan di situ bahawa setelah burung enggang bertelor maka lubang di batang pokok akan ditampal dengan selut oleh si jantan. Maka duduklah si betina mengeramkan telornya selama 4 bulan di dalam batang pokok tersebut. Lubang yang ada hanya muat untuk si betina mengeluarkan paruhnya bagi mendapatkan makanan dari si jantan. Si jantan dari masa ke semasa akan membekalkan 'isteri'nya makanan 'without failed'!

Teringat cerita penguin jantan yang mengeramkan telor di atas kakinya selama 4 bulan secara berkumpulan tanpa makan. Sila lihat filem ini di you tube (http://www.youtube.com/watch?v=Ide6HfWiOTU)

Lihatlah betapa percayanya si betina kepada si jantan! Andaikata si jantan menyeleweng pergi ke tempat lain atau mencari betina lain dan terus lupa kepada 'bini'nya atau mati secara tiba-tiba maka mati kelaparanlah si betina di dalam sarang!

'Hornbill' dikatakan sebagai burung yang paling setia dan mereka hanya mengawan dengan pasangannya sahaja. Subhanallah!

Kita dengan isteri dan anak-anakpun 'based on trust'. Kita percaya kepada isteri kita yang sudah pasti tidak akan melakukan sesuatu yang melukakan hati kita. Begitu juga dengan anak-anak, apabila mereka duduk berjauhan dengan kita, kita pasti mereka akan menjaga nama baik agama Islam dan nama baik kedua orang tua mereka. It's all based on trust! It's all based on trust! It's all based on trust! It's all based on trust!

It's all based on trust!

Saturday, March 8, 2014

Ya Allah Engkau Berikan Petunjuk Dan Suluhkan Jalan Yang Benar Kepada Pembesar Negara...

Kita mungkin selalu dengar khutbah Jumaat yang pada akhirnya mendoakan kepada al-Sultan, permaisuri dan anak cucunya. Mereka didoakan diatas kapasiti sebagai peneraju agama Islam bagi setiap negeri. Doa dibaca di seluruh negeri berkenaan dan diaminkan oleh sekalian rakyat jelata. Tapi belum tentu Allah memakbulkan doa tersebut!

Kita juga rasanya perlu berdoa kepada pembesar-pembesar negara supaya mereka menjadi pembesar yang bertaqwa kepada Allah, pembesar yang takut kepada siksaan neraka Allah, pembesar yang prihatin dan mesra rakyat, pembesar yang tidak hanya mengumpulkan harta untuk diri dan anak cucunya semata-mata, pembesar yang berintegriti dan sebagainya!

Keputusan hakim yang membicarakan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) telah keluar semalam. 5 tahun penjara! Kita tidak pasti keputusan tersebut adalah betul atau salah dan kita berdoa apa-apapun keputusan tersebut ia adalah suatu keputusan yang adil dan tidak menganiaya sesiapa.

Kalau keputusan yang dibuat itu suatu keputusan yang zalim maka kita berdoa kepada Allah SWT supaya menjatuhkan bala kepada mereka yang membuat keputusan tersebut. Ini bukan kes yang kecil di mahkamah rendah tetapi ia adalah suatu kes besar negara yang mana rakyat sekalian mengharapkan suatu keputusan yang adil.

Sekiranya mahkamah tidak boleh berlaku adil kepada mereka yang pernah menerajui negara, apakah mahkamah boleh berlaku adil kepada kita sebagai rakyat biasa?

Ya Allah, Engkau berilah kuasa kepada sesiapa yang Engkau kasihi dan Engkau jatuhkan kuasa dari sesiapa yang Engkau murkai... Kami hanya ingin melihat keadilan bertapak di bumi IslamMu ini, wahai Allah!

Kami tidak rela negara kami berlaku sepertimana apa yang berlaku di Mesir, ya Allah! Sepertimana apa yang berlaku di Syria, Iraq, Jordan, Tunisia dan negara-negara arab yang lain, ya Allah!

Kami ingin tunduk, hidup penuh rahmat di bawah lembayungMu wahai Tuhan seru sekalian alam. Kami mahu hidup dibawah panji-panji IslamMu, ya Allah...


Tiada sengketa, tiada angkara jahat, tiada curi mencuri, tiada rompak merompak, tiada tipu menipu tetapi semuanya hidup aman bahagia, ya Allah!

Berkatilah negara kami, penuhi pembesar-pembesar kami dengan pembesar yang tulus ikhlas melaksanakan tanggungjawab dan bukan sebaliknya iaitu pembesar yang hanya ingin membesarkan poket mereka.

Penuhilah peneraju negara dengan mereka yang takut kepadaMu, ya Allah! Jadikan mereka manusia yang penuh amanah menjalani tanggungjawab dalam menguruskan negara. Kami amat berharap akan berlaku suatu sistem perundangan negara yang maha adil dan saksama. Kami ingin melihat negara kami makmur dengan menjalani hukumanMu, ya Allah!

Berikanlah taufiq dan hidayah kepada mereka dan bantulah mereka... Amin ya Rabbal al lamin!