Saturday, March 8, 2014

Ya Allah Engkau Berikan Petunjuk Dan Suluhkan Jalan Yang Benar Kepada Pembesar Negara...

Kita mungkin selalu dengar khutbah Jumaat yang pada akhirnya mendoakan kepada al-Sultan, permaisuri dan anak cucunya. Mereka didoakan diatas kapasiti sebagai peneraju agama Islam bagi setiap negeri. Doa dibaca di seluruh negeri berkenaan dan diaminkan oleh sekalian rakyat jelata. Tapi belum tentu Allah memakbulkan doa tersebut!

Kita juga rasanya perlu berdoa kepada pembesar-pembesar negara supaya mereka menjadi pembesar yang bertaqwa kepada Allah, pembesar yang takut kepada siksaan neraka Allah, pembesar yang prihatin dan mesra rakyat, pembesar yang tidak hanya mengumpulkan harta untuk diri dan anak cucunya semata-mata, pembesar yang berintegriti dan sebagainya!

Keputusan hakim yang membicarakan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) telah keluar semalam. 5 tahun penjara! Kita tidak pasti keputusan tersebut adalah betul atau salah dan kita berdoa apa-apapun keputusan tersebut ia adalah suatu keputusan yang adil dan tidak menganiaya sesiapa.

Kalau keputusan yang dibuat itu suatu keputusan yang zalim maka kita berdoa kepada Allah SWT supaya menjatuhkan bala kepada mereka yang membuat keputusan tersebut. Ini bukan kes yang kecil di mahkamah rendah tetapi ia adalah suatu kes besar negara yang mana rakyat sekalian mengharapkan suatu keputusan yang adil.

Sekiranya mahkamah tidak boleh berlaku adil kepada mereka yang pernah menerajui negara, apakah mahkamah boleh berlaku adil kepada kita sebagai rakyat biasa?

Ya Allah, Engkau berilah kuasa kepada sesiapa yang Engkau kasihi dan Engkau jatuhkan kuasa dari sesiapa yang Engkau murkai... Kami hanya ingin melihat keadilan bertapak di bumi IslamMu ini, wahai Allah!

Kami tidak rela negara kami berlaku sepertimana apa yang berlaku di Mesir, ya Allah! Sepertimana apa yang berlaku di Syria, Iraq, Jordan, Tunisia dan negara-negara arab yang lain, ya Allah!

Kami ingin tunduk, hidup penuh rahmat di bawah lembayungMu wahai Tuhan seru sekalian alam. Kami mahu hidup dibawah panji-panji IslamMu, ya Allah...


Tiada sengketa, tiada angkara jahat, tiada curi mencuri, tiada rompak merompak, tiada tipu menipu tetapi semuanya hidup aman bahagia, ya Allah!

Berkatilah negara kami, penuhi pembesar-pembesar kami dengan pembesar yang tulus ikhlas melaksanakan tanggungjawab dan bukan sebaliknya iaitu pembesar yang hanya ingin membesarkan poket mereka.

Penuhilah peneraju negara dengan mereka yang takut kepadaMu, ya Allah! Jadikan mereka manusia yang penuh amanah menjalani tanggungjawab dalam menguruskan negara. Kami amat berharap akan berlaku suatu sistem perundangan negara yang maha adil dan saksama. Kami ingin melihat negara kami makmur dengan menjalani hukumanMu, ya Allah!

Berikanlah taufiq dan hidayah kepada mereka dan bantulah mereka... Amin ya Rabbal al lamin!

No comments:

Post a Comment