Alhamdulillah, Allah SWT telah mengkabulkan permohonan kita untuk sampai ke bulan Ramadan 1432. Doa yang telah kita ucapkan sejak bulan Rejab dan Syaaban lagi. “Ya Allah, berkatilah bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadan!”.
Kita dah masuk hari kedua di bulan Ramadan… So, apa nak buat sekarang? Sekarang kita perlu melakukan ibadah sepertimana yang telah kita rancangkan. Lihat dari banyak aspeks, jangan dari satu atau dua aje…
Pertama, berpuasa! Kita seharusnya berpuasa dengan sebenar-benarnya. Bukan berpuasa yang hanya meletihkan, hanya berlapar dan berdahaga! Tidak dijagai mulut, dari berkata mengumpat, bercakap bohong dan bercakap kosong. Harus dijagai mata supaya tidak memandang dan melihat benda yang tidak diizinkan. Perlu menjagai telinga supaya hanya mendengar perkara-perkara yang baik belaka, dan bermacam-macam lagi.
Kedua, solat tarawih. Pada usia kita ini sepatutnya sudah tidak menjadi masalah untuk bertarawih. Berapa rakaat? 8 ke atau 20 kemudian disusuli dengan 3 rakaat solat witir. Sebelum sahur sempat lagi solat tahajjud sekurang-kurangnya sebanyak 2 rakaat.
Infaq di jalan Allah. Inipun tak kurang penting! Beri aje ke tabung masjid ke, tabung pembinaan sekolah, tabung beri makan masyarakat miskin di Malaysia dan luar negara, tabung anak-anak yatim, tabung rumah kebajikan seperti Raudatul Sakinah, rumah orang-orang tua, dan lain-lain lagi.
Keempat, memberi makan kepada orang berpuasa. Perkara ini boleh dilakukan secara individu mahupun secara beramai-ramai. Kalau mampu, kita taja aje satu malam di mana-mana masjid atau surau. Di surau Taman Pulai Utama, penajaan untuk satu iftar ialah sebanyak RM600 (dianggarkan RM4 seorang untuk 150 orang). Sekiranya tidak mampu, kita masukkanlah duit berapa aje nilainya ke dalam tabung penajaan iftar surau atau masjid.
Kalau tidakpun, kita boleh ajak satu famili atau dua tiga orang bujang untuk berbuka puasa di rumah kita. Perkara ini biasa kita lakukan semasa kita belajar di luar negara. Di Malaysia, rasanya agak susah kerana kita suami isteri sibuk bekerja dan pembantu rumah pula tiada.
Kelima, membaca al-Quran secara bertadarus atau mencuba memahami maknanya sekali. Kita harus meletakkan ‘target’, berapa kali kita mahu mengkhatamkannya? Kalau kita membaca sehelai sebelum dan sehelai selepas setiap solat lima waktu, maka kita akan khatam sekali sepanjang Ramadan ini.
Keenam, kita seharusnya juga sentiasa berzikir dengan zikir-zikir yang ma’thur. Bibir kita sentiasa basah dengan bacaan zikir yang tidak mengganggu orang lain.
Ketujuh, kita seharusnya membanyakkan bacaan buku-buku agama, lebih-lebih lagi buku-buku rujukan yang berkaitan dengan berpuasa. Perkara yang kita lakukan setahun sekali mungkin mudah lupa berbanding dengan perkara solat yang kita lakukan 5 kali dalam sehari! Rujuk balik apa perkara sunat, makruh, sah, batal dan lain-lain dalam berpuasa...
Kelapan, bertukar-tukar juadah juga adalah sangat baik kerana ia bukan saja mendapat pahala memberi makan orang berpuasa tetapi juga mengeratkan silaturrahim antara jiran tetangga.
Akhir sekali, sekiranya kita penat melakukan ibadah yang disenaraikan di atas maka adalah elok jika kita dapat menadahkan telinga mendengar tadzkirah yang disampaikan oleh imam atau ustaz di waktu-waktu senggang. 'Worse come to worse', kita pasang orang mengaji Quran... Kita malas baca, kita dengaq depa baca!
Selamat Beramal!
No comments:
Post a Comment