Monday, August 8, 2011

Pesanan Buat Anak-AnakKu...


Wahai anak-anakku,

Apabila kamu didatangi seseorang untuk menjadi penjamin bagi sesuatu urusan maka usahlah engkau terima kecuali sesama kamu adik beradik. Jika kakak atau abang tidak menjamin adik kandungnya, kepada siapa lagi hendak diharapkan?

Kepada si adik pula janganlah kamu sia-siakan jaminan yang diberikan oleh abang dan kakakmu. Ambillah atau terimalah dengan penuh tanggungjawab. Jangan sekali-kali mengambil ringan dengan jaminan tersebut sehingga menyusahkan mereka yang menjamin kamu!

Implikasi jaminan ini begitu besar... Sekiranya mereka yang berhutang tidak menjelaskan hutangnya maka si penjamin akan menanggung hutang tersebut. Oleh itu, usah dijamin jika mereka bukan adik beradik kamu!

Abah pernah mengambil risiko membuat pinjaman kereta untuk orang. Kereta dibeli dengan bayaran ansuran kepada bank. Pinjaman bank dibuat atas nama abah. Nama di geran kereta juga adalah nama abah. Tetapi kereta dipakai oleh orang lain...

Pada mulanya memang kesian, rasa ingin membantu kawan. Tetapi akhirnya, banyak sakit kepala dari merasai seronok dapat membantu kawan.

Setiap bulan apabila kawan lewat membayar ansuran, bank akan kejar kita kerana penama pada pinjaman itu adalah nama kita. Kalau terlampau kerap tertangguh bayaran, nama kita akan disenaraihitamkan! Apabila nama telah di'blacklisted', apa jua pinjaman lain, kita tidak akan memperolehnya kerana Bank Negara sudah masukkan kita ke dalam senarai hitam.

Jika kereta berlanggar, atau mereka yang memandu kereta tersebut membawa bahan yang terlarang maka kita akan terbabit sama.

Abah pernah tidak dapat membayar cukai jalan kereta abah sendiri kerana 'kereta abah' yang dipandu oleh orang lain mendapat 3 saman. Abah terpaksa menghubungi pemakai 'kereta abah' supaya menjelaskan saman-samannya terlebih dahulu, baru cukai jalan kereta sendiri dapat diperbaharui.

Menyusahkan dan penuh risiko bukan?

Oleh itu, abah menyaran anak-anak abah supaya tidak terikut seperti abah. Jangan kita mudah kesiankan orang lain yang kemudiannya akan menyusahkan diri kita pula.

Kita perlu membantu orang tetapi jangan sehingga akhirnya menyusahkan diri kita dan mungkin pahala juga tiada kerana kita pula marah kepada mereka yang telah kita tolong!

1 comment:

  1. Sebelum ni, aku tak faham kenapa ada pepatah melayu berbunyi, "Buat baik berpada-pada dan buat jahat jangan sekali". Apa yang aku tak faham ialah berpada-pada, kenapa perlu berpada-pada dalam membuat kebaikan.

    Sekarang baru ku faham... Setelah pelajaran menjadi pengajaran. Dan aku pesankan kepada anak-anakku supaya mereka tidak terkena sepertiku. "Buatlah baik berpada-pada...

    ReplyDelete