Hari ini sudah acapkali aku menemui Juwahir (bukan nama sebenar). Semasa di laluan depan ‘library’ tadi, di masjid sewaktu solat zohor, di foyer dekat fakulti... dan sekarang di masjid lagi sementara menunggu azan Asar.
Aku dan Juwahir bukan baru kenal. Aku pernah menjadi Penasihat Akademiknya semasa beliau belajar di peringkat ‘undergraduate many many years ago!’ Aku rasa mungkin sekitar 10 tahun dulu…
Aku yang dimaklumkan Juwahir tentang kad pengenalan palsunya dulu…
Lantaran itu, aku selalu juga menjemput dia makan di rumah semasa aku menjadi Felo di Kolej Siswa Desa Skudai. Dia tidak mendapat apa-apa pinjaman mahupun biasiswa angkara kad pengenalan palsu yang dijual kepadanya oleh pegawai pejabat pendaftaran negara di Sabah dulu dengan harga RM600.
Aku juga dipanggil oleh Bendahari dan HEP untuk membincangkan pasal Juwahir yang berhutang yuran pengajian sejak tahun 2 hingga semester akhir pembelajarannya. Aku masih ingat penjelasanku kepada Bendahari dan HEP yang ingin membuang Juwahir dari Universiti.
Kataku, “Sepatutnya kalau kita hendak mengambil tindakan kerana dia tidak membayar yuran, sudah lama kita buat… tetapi kenapa tunggu sehingga dia dah di semester akhir? Kalau kita buang dia, dia akan terkandas belajar dan pastinya duit hutang universiti dia tak akan membayarnya. Kalau kita biarkan dia terus belajar dan ‘complete’ tetapi kita tidak anugerahkan ‘scroll’ sehingga dia menjelaskan hutang adalah lebih praktikal.”
Alhamdulillah, Bendahari dan HEP menerima pandanganku!
Aku duduk agak jauh dari Juwahir sementara menunggu waktu solat Asar. Tiba-tiba dia bergerak ke arahku dan menghulurkan tangan untuk bersalam. Aku rasa dah kali ketiga aku bersalam dengannya hari ini…
“En. Wan, saya dah jumpa ayah dan mak saya!”, jelas Juwahir.
“Alhamdulillah!”, balasku.
“Dia orang dah tua En. Wan…, bapa saya dah beruban dan berumur enam puluh lebih…”, sambungnya lagi.
Cerita pasal Juwahir ditinggalkan ibubapanya masih segar dalam ingatanku. Cerita yang diceritakan kepadaku lebih 10 tahun dahulu masih ku ingat.
Bagaimana pula layanan keluarga angkat kepadanya bila dia balik sekolah dan membuka periuk hendak makan? Tinggal periuk kosong! Walhal mereka juga ada pertalian persaudaraan, sanggup diberi makan anak sendiri dan dibiarkan periuk kosong untuk anak angkat.
“Alhamdulillah, dia tinggalkan Juwahir dulupun bersebab… iaitu supaya anaknya yang seorang ini dapat belajar, menjadi warganegara dan dapat merubah nasib keluarga”, balasku.
“Ya... En.Wan, dia orang terkejut bila mendapat tahu saya belajar sehingga ke universiti”, sambung Juwahir lagi.
“Dan En. Wan… saya juga ditawarkan kad pengenalan merah oleh pihak imigresen. Alhamdulillah berkat bulan puasa…”, jelas Juwahir lagi.
“Alhamdulillah…”, sambungku lagi.
Patutla dia seronok hari ini ingin memberitahuku sesuatu rupanya…
Di bulan yang penuh barakah ini, aku panjatkan doa pada Mu ya Allah, aku pohon limpah Rahmat Mu untuknya, cukupkanlah segala keperluannya, berikanlah ketenangan kepada jiwanya, dan satukan kembali hubungan kekeluargaannya! Amin ya Rabbil ‘Alamin.
No comments:
Post a Comment