Pengalaman aku membeli rumah ingin ku catitkan supaya menjadi pengajaran kepada yang baru bekerja, yang ingin mencari tempat berteduh sendiri. Ya lah, sampai bila kita hendak duduk bersama ibu dan ayah? Walaupun kedua ibubapa kita tidak pernah menyuarakan pandangan untuk kita keluar tetapi ada baiknya kita meneropong mana-mana kawasan yang bakal kita diami.
Banyak elemen yang difikirkan apabila kita ingin ‘settle down’. Pertama, kita fikirkan di kawasan yang berdekatan dengan tempat kerja kita. Kedua, mungkin dari segi ‘affordability’. Atau bagi sesetengah orang inilah kriteria yang pertama. Tujuannya ialah dia tidak mahu dibelenggu hutang yang tak berkesudahan menghantui kehidupan mereka.
Kemudian, dari aspek sekuriti. Kita dengar hari-hari perompak pecah rumah! Lebih teruk atau sama teruk semasa zaman komunis dulu. Tak tahu apa KPI polis sekarang?
Mungkin pihak polis sudah hilang prioriti pengurusan pentadbirannya. Polis akan nampak bila rapat umum yang dibuat secara damai dan bila ada ceramah politik pembangkang. Itu keutamaannya. Kesejahteraan dan keselamatan rakyat sudah tidak menjadi agenda penting lagi, aku rasa!
Orang kaya yang mampu tinggal di kawasan ‘guarded’ maka mereka beroleh ‘peace of mind’ berbanding kumpulan marhain yang majoritinya di kawasan tak ada pengawal keselamatan.
'Design' atau senireka rumah juga menjadi salah satu elemen tarikan untuk kita membeli rumah.
Kepada mereka yang sudah berumur, jarak rumah ke surau atau masjid menjadi salah satu kriteria yang penting.
Sesetengahnya pula melihat kepada ‘amenities’ yang disediakan. Antara kemudahan-kemudahan yang menjadi perhatian adalah sekolah, dewan orang ramai, taman permainan, dan mungkin kemudahan pengangkutan awam.
Di Malaysia, pengangkutan awam belum boleh menjadi kriteria penting kerana masalah penetapan jadual yang sepatutnya berjalan secara ‘on time’ belum dapat dilaksanakan sepenuhnya. Agak susah untuk kita dapati bahawa sesebuah perkhidmatan bas contohnya, bergerak tepat pada waktunya…, kalau sepatutnya bas tiba pada pukul 09.46am maka bas itu wajib tiba pukul 09.46am!.
Kawasan yang berhampiran dengan Kompleks Membeli Belah juga adalah satu lagi kriteria. Kadang-kadang pemilik rumah merasa lebih mudah dan selesa tinggal berdekatan dengan tempat di mana barangan harian mudah diperolehi.
Ada juga di kalangan mereka yang berpakat untuk membeli rumah di sesebuah taman perumahan atau kawasan. Mereka ingin hidup berjiran dengan orang yang mereka kenal daripada membuat jiran baru. Mereka ini mementingkan kehidupan komuniti yang mempunyai pandangan yang lebih kurang sama dan mereka tidak mahu bertembung pendapat dengan jiran.
Tidak dinafikan, kita perlu mempunyai jiran yang boleh bertolak ansur. Kehidupan sekarang yang masing-masing tidak kisah antara satu sama lain, akan merenggangkan hubungan sesama komuniti.
Walaupun banyak mana kriteria yang telah kita gariskan tetapi yang paling penting dan terutama ialah dari segi kemampuan atau ‘affordability’. Semakin banyak kriteria yang kita letak maka semakin banyak kos yang perlu kita bayar! Oleh itu, kita perlu korbankan mana-mana kriteria yang tidak begitu kritikal.
Jenis rumah juga satu lagi pilihan. Siapa tidak mahu tinggal di rumah besar berstatus bungalow? Rumah besar dan selesa bagi mereka yang mempunyai bilangan anak yang ramai adalah satu kemahuan atau keinginan. Tetapi dari segi kemampuan, itu cerita lain. Tidak ramai yang mampu memilikinya.
Di Kuala Lumpur, Penang, dan Johor Bahru, rumah sesebuah menjangkau harga jutaan ringgit. Rumah berbandung (Semi-Detached) di Johor Bahru atau Skudai mencecah lebih RM700,000.
Rumah yang mampu didiami oleh ‘kita’ hanyalah rumah teres! Kalau anak ramai, ambik yang 2 tingkat. Kalau rasa masih berupaya, cuba dapatkan yang berada di ’corner lot’. Lebih dari itu, ‘kita’ yang berketurunan bukan kaya hanya mampu berkenan tetapi tidak dapat merealisasikannya.
Ada satu cerita yang mungkin tak ramai anak muda Melayu buat tetapi ramai di kalangan anak Cina buat.
Saya pernah berjumpa dengan seorang bekas pelajar saya yang menyambung pelajaran di peringkat sarjana. Entah bagaimana, dia menceritakan bahawa dia tinggal bersama suami dan anaknya di Pulai Perdana. Seorang lagi anak dalam perut akan lahir tak lama lagi…
Pelajar Cina ini menyatakan bahawa dia ada rumah murah juga di Pulai Perdana yang dibeli sebaik dia graduat dari UTM. Manakala rumah yang dia tinggal sekarang adalah rumah yang dibeli setelah berkahwin.
Kita tahu bahawa syarat untuk membeli rumah kos rendah ialah pendapatan suami isteri mestilah kurang dari RM2,500 sebulan. Oleh itu, pelajar Cina tadi mengambil kesempatan sewaktu gajinya kecil dan semasa dia masih bujang untuk mendapatkan rumah kos rendah tersebut. Dan setelah dapat, beliau sewakan kepada orang sampai sekarang. Sungguh menguntungkan!
Sesetengah orang, mereka pandai memanipulasikan peraturan yang ada. Mereka mencari ‘loopholes’ dan cuba bergerak secara licik dan terlepas dari peraturan yang ditetapkan.
No comments:
Post a Comment