Apabila kita dilahirkan semua bergembira kecuali kita yang menangis; Apabila kita dikembalikan semua menangis kecuali kita yang gembira... Gembira untuk menemui Allah Rabbul Jalil...
Wednesday, August 24, 2011
Masih Ramai Rakan Berhati Mulia...
Pada hari Ahad minggu lepas, aku bersama rakan-rakan usrah telah menaja iftar di Surau Taman Pulai Utama (TPU). Kami telah meminta pertolongan dua orang chef terkenal dari IKRAM JBT iaitu PM Dr Tholudin dan Dr Jamaluddin untuk memasak 'Nasi Maqluba'.
Program menaja iftar ini dibuka beberapa hari sebelum Ramadan dan pada minggu pertama sahaja semua tarikh telah penuh di'booked'. Sesiapa yang menaja iftar boleh memasak sendiri atau mengupah orang lain dengan kapasiti peserta iftar seramai 150 orang dengan anggaran RM4 seorang.
Alhamdulillah, Surau at-Taqwa, TPU adalah antara surau yang setiap hari diadakan iftar. Disamping iftar, surau ini juga menyediakan bubur lambuk untuk penduduk setempat.
Nasi Maqluba telah dimasak sebelum ini di Surau TPU pada 2 minggu lepas, yang mana iftar tersebut telah ditaja oleh Penduduk Kawasan Fasa 1, TPU. Malangnya, ramai yang tak sempat tambah kerana bilangan peserta iftar yang agak ramai. Ramai peserta mengatakan bahawa Fasa 1 kena 'bayar dam' kerana makanan tidak mencukupi...
Dan kami memberitahu mereka, insyaAllah, kita akan masak lagi nasi maqluba pada 21 Ogos!
Kita memulakan proses memotong bawang dan sebagainya lebih kurang jam 2 petang. Alhamdulillah, proses memasak dan membuat 'salad' selesai sebelum jam 7 petang.
Kesian kepada PM Dr Tholudin kerana tidak sempat pulang untuk mandi dan menukar baju... Aku sempat juga balik mandi. Itupun dah hampir pukul 7 petang.
Apa yang ingin aku 'highlight'kan di sini ialah tentang seorang kawan yang turut sama 'rewang'. Sambil beliau membantu memotong bawang, beliau menanyakan samaada aku balik kampung atau tidak pada hari lebaran nanti...
Aku memberitahunya bahawa tahun lepas aku sekeluarga menaiki bas UTM. Tahun ini, 'students' tak ada, jadi tiadalah perkhidmatan bas UTM ke Kelantan... "Nak balik dengan van, rasa tak 'confident'", ujarku.
Tanpa banyak soal, kawanku mempelawa untuk menggunakan Innovanya. "Kami balik dengan kereta aje kerana anak-anak dah tak ramai di rumah dan 'you' boleh guna Innova kami!", pelawanya.
Aku merasa sangat teruja dengan pelawaan ini. Rupanya masih ramai manusia yang berhati mulia...
Setelah hampir waktu berbuka, aku melihat sahabat ini datang kembali dari rumahnya dan terus memberitahuku, "Su (isterinya) dah setuju untuk memberi pinjam Innova...", maklumnya.
"Nantilah saya berbincang dengan isteri dulu", balasku.
"Kalau jadi, beritahu awal sikit sebab kita hendak pergi servis dulu", tambahnya lagi.
Dahlah kita yang hendak pinjam kereta dia, dia juga yang hendak pergi servis. Kalau sesetengah orang, si peminjamlah kena servis sebab dia yang hendak pakai! Subhanallah...
Kebiasaannya kami sekeluarga akan berbuka di surau... tetapi pada hari Ahad tersebut, isteriku mempunyai program bersama anak-anak di Pejabat IKRAM, program memecah tabung untuk membantu rakyat Palestin.
Keesokan harinya aku mendapat panggilan telefon dari Dr Su (isteri sahabat) menanyakan samaada jadi atau tidak untuk meminjam keretanya... Aku sungguh terharu dan memaklumkan kepadanya bahawa aku belum lagi berbincang dengan isteri...
Bila aku balik ke rumah dan menceritakan tentang ada kawan yang sanggup meminjamkan MPVnya kepada kami, isteriku terus berkata "Baiknya hati dia... Susah nak cari orang macam gitu...".
Walaupun aku agak berat untuk menerima pelawaan ikhlas ini kerana banyak lagi alasan-alasan lain yang boleh diberikan (ada 2 orang anak akan menduduki PMR dan SPM, tak larat nak 'drive', dll.) tetapi aku tetap mendoakan keluarga ini kesejahteraan di dunia dan di akhirat.
InsyaAllah, semoga niat ingin membantu kami sudah mendapat ganjaran pahala dari Allah SWT...
"Ya Allah ya Tuhanku, Engkau murahkan rezeki kepada kawanku ini yang sanggup berkorban demi untuk membantu kami pulang ke kampung. Engkau bukalah pintu pertolongan kepada mereka dalam apa juga pertolongan yang diperlukan! Engkau mudahkan apa juga cubaan hidup mereka dan Engkau bantulah mereka. Sesungguhnya Engkaulah sebaik-baik Pembantu!" Amin... Ya Rabbal 'Alamin...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment