Sehari dua ni, Syakir ditegur oleh umminya kerana terikut-ikut dengan kawannya, Dini, tidak berpuasa! Semalam sudah ditegur, hari ini ditegur lagi... Sudah 2 hari Syakir ponteng puasa makan roti bersama Dini! Dini ke sekolah berbekalkan roti yang disediakan oleh ibunya.
Syakir juga dimarahi umminya kerana kencing dalam seluar di sekolah dan tidak memaklumkannya sehingga tiba di rumah.
Aku penat mendengar berita-berita sebegini dan aku tahu umminya lagi penat… Bekerja di sekolah kemudian bekerja lagi di rumah.
Dulu, aku suruh ummi tinggal aje di rumah tetapi ummi hanya bertahan selama 2 tahun. Lepas itu, ummi ingin kerja balik, ‘boring’ katanya!
Aku juga pernah menyuarakan untuk mengambil perkhidmatan bibik sekali lagi. Tapi ummi tak suka. Aku dapat baca yang ummi tidak suka aku dan anak-anak lelakinya yang ramai dan semakin membesar tidak bebas di rumah sendiri. Maksudnya kami terpaksa menjaga aurat kami…
Aku terfikir-fikir bagaimana mahu menegur Syakir supaya mesej itu sampai kepadanya. Ada dua perkara, satu pasal ponteng puasa dan satu lagi pasal kencing dalam seluar.
Aku rasa pasal ponteng puasa biar dululah… diapun baru 7 tahun. Tahun lepas masa di Tadika Iman, dia puasa cukup 30 hari. Tahun ini, dia tidak tahan godaan!
Selepas solat Maghrib sambil menunggu masa untuk ke Masjid Sultan Ismail, UTM, akupun mula bercerita… Anak-anak semua di ruang tamu.
“Apabila sesuatu bahan ingin keluar dari badan, jangan kita tahan. Tidak kiralah samaada sendawa, kentut, kencing, dan juga air besar”, aku memulakan bicara.
“Semua kejadian Tuhan ini yang perlu keluar adalah ‘toxic’, merbahaya, dan tidak boleh berada dalam badan kita. Kalau dia kekal dalam badan akan mengakibatkan penyakit dan sebagainya. Oleh itu, jangan sekali-kali kita tahan bila dia hendak keluar kecuali pada masa-masa terdesak”, sambungku lagi.
“Bahan beracun dijadikan Allah untuk keluar dari badan di kala tiba masanya… Macam itu juga kencing dan air besar, perlu kita keluarkan dia bila tiba masanya… Jangan kita tahan! Kalau tidak, dia akan menjadi batu karang, kanser usus, dan sebagainya”, tambahku.
“Kita tengok asap kereta, kalau kita tutup lubang eksoz, mati enjin kereta kerana bahan buangan tak boleh keluar!”, jelasku lagi.
Masalah kanak-kanak menahan diri mereka apabila ingin membuang air kecil atau besar adalah kerana mereka takut untuk ke tandas. Takut disebabkan oleh pengaruh cerita hantu di kaca TV. Dalam rumah sendiripun takut, apatah lagi untuk ke tandas di kawasan luar rumah!!!
Inilah perkara yang tidak begitu positif apabila pihak penerbit filem berlumba-lumba untuk mengeluarkan cerita seram. Apa yang ingin diketengahkan oleh mereka? Apa mesejnya? Apa natijah dari terpedaya dengan filem-filem sebegitu?
Atau itu semua tidak penting… Yang penting, berapa banyak kita dapat mengaut keuntungan? Berapa ramai terhibur dengan jalan cerita kita? Itu yang menjadi ukuran. Kesan negatif tidak dipedulikan…
Antara perkara-perkara yang tidak penting bagi mereka adalah berapa ramai umat Islam tergores aqidah akibat filem seram itu? Berapa banyak kurafat yang cuba kita kembalikan kepada pengamalan masyarakat? Betapa banyak unsur-unsur syirik yang kita cuba jelmakan kembali ke dalam masyarakat?
Sedih hati kita melihat masyarakat sudah tidah peduli bagaimana rezeki itu diperolehi? Halalkah atau haramkah pendapatan kita, apa peduli lagi… Yang penting kita dapat hidup dengan mewah.
Memiliki rumah dan kenderaan besar dan berjenama menjadi idaman kita semua.
Apa peduli kanak-kanak takut untuk ke tandas disebabkan filem kita… Kan ibubapanya ada untuk merasionalisasi apa yang sebenarnya berlaku. Semua itu tahyul!
No comments:
Post a Comment