Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd! Hari ini masyarakat Islam bergembira, merayakan hari Eidul Fitr.
Mereka telah berpuasa selama sebulan kerana suruhan Allah dan bukan kerana lain. Bukan kerana malu kepada manusia lain yang berpuasa maka kitapun berpuasa. Ibadah puasa merupakan suatu ibadah yang amat tulus dan dikerjakan seikhlas yang mungkin kerana Allah. Sesiapa yang berpura-pura berpuasa sudah pasti tidak diketahui manusia lain tetapi Allah tetap mengetahuinya.
Ibadah puasa tidak seperti solat. Mengerjakan solat manusia nampak, contohnya, apabila kita pergi ke masjid! Tetapi ibadah puasa, jika kita makan di dapur berseorangan tiada siapa yang nampak!
Antara maksud hadis yang menyatakan bahawa Allah sendiri yang akan memberi pahala kepada orang yang berpuasa adalah disebabkan oleh perkara yang seperti ini.
Pada hari ini, kita mengharapkan supaya Allah menerima amal sebulan di bulan Ramadan. Baik amal berpuasa, tilawah, tadabbur, qiam, solat sunat, sedekah, infaq, dan sebagainya. Dan yang amat kita takuti ialah amal kita tidak diterima Allah! Masuk Ramadan dan keluar Ramadan sama seperti biasa.
Kita takut puasa kita hasilnya hanya lapar dan dahaga. Kita takut teramat sangat tiada peningkatan taqwa sepertimana yang dijanjikan Allah (Wahai orang-orang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa) (Al-Baqarah; 183).
Dan yang kita harapkan juga ialah beroleh malam lailatul qadr! Tiada umat Islam yang tidak mahu keberkatan malam yang lebih baik dari seribu bulan. Kita begitu tercari-cari malam ini dan kita begitu mengharapkan kepertemuan ini...
Apa yang penting sekarang ini ialah budaya Ramadan yang telah kita lalui dapat kita teruskan kesinambungannya. Tarbiah Ramadan atau Madrasah Ramadan atau Universiti Ramadan yang digelarkan oleh sesetengah orang agar dapat kita manfaatkan momentumnya. Kalau kita boleh lakukan tilawah sekurang-kurangnya sebulan sekali khatam, kalau kita boleh budayakan bangun solat malam walaupun sekadar 2 rakaat, kalau kita boleh biasakan infaq, dan sebagainya.
Kita tidak mahu apabila Ramadan berlalu pergi maka segalanya berlalu pergi sehinggalah berjumpa lagi Ramadan di tahun hadapan. Kesan pentarbiahan sepatutnya sedikit sebanyak melekat kepada diri kita...
Oleh itu, marilah kita sama-sama berusaha dan berdoa supaya penerusan amal ini berlaku dan bulan Ramadan hanyalah menjadi bulan untuk kita mengecaj bateri supaya lebih kuat dan bertenaga bagi mengharungi 11 bulan yang seterusnya...
Taqabballahu minna wa minkum!
No comments:
Post a Comment