5 minit sebelum pukul 7 pagi tadi, aku membawa anak-anak sekolah dengan van menuju ke Hidayah. Hari ini adalah hari kedua sejak isteriku mengalami keguguran kelmarin.
'On the way' balik, bila sampai di Kempas, telefon berdering... "Tuan, bila tuan hendak ambik baju loreng? Saya akan membawa anak ke hospital sekejap lagi...", tanya Sarjan Azmi. "Ok Mie, saya sekarang di Kempas dan saya akan terus ke Markas PALAPES untuk ambik baju", balasku.
Sebenarnya, 2 helai baju loreng telah aku berikan kepada Sarjan Azmi untuk melekatkan nama dan kor dengan menggunakan velcro. Nama, kor, dan poket dijahit senget. Pangkat hanya satu, terpampang di dada, dan tidak di atas bahu seperti biasa. Satu fesyen baru dalam berpakaian buat askar...
Askar memang tidak ketinggalan dalam modifikasi pakaian... Sekali panglima bertukar, sekali pakaian berubah.
Tidak lama kemudian, telefon berdering lagi... "Abah, Kak Long dah sampai KLIA", jelas Kak Long. "Ok, abah 'on the way' balik dari hantar adik-adik ke sekolah", jawabku.
"Katanya, sekejap lagi akan ada taklimat di airport dan selepas itu baru boleh balik", jelas Kak Long lagi.
"Kalau Kak Long balik dengan flight ke Senai boleh tak?", tanyaku. "Ok aje, cuma tadi ada seorang kawan hendak balik bersama Kak Long. Nanti Kak Long tanya dia dan 'call' abah balik", jawab Kak Long.
Semalam aku memberitahu Kak Long, aku akan membawa Kancil untuk mengambilnya dari KLIA. Lantaran itu, mungkin kawannya nak tumpang (aku tak pasti pula namanya, tapi dengar hujung-hujung binti Adnan).
Setelah fikir masak-masak, tolnya, minyaknya, dan penatnya maka rasa tak berbaloi. Hendak pinjam kereta sahabat-sahabat yang lebih selesa rasa macam takut menyusahkan mereka. Bukan tidak pernah bersuara... Pernah semasa Kak Long balik pada tahun pertama dulu... tapi tak berhasil. Perangai aku, kalau sekali minta tak dapat, lepas tu tak payah haraplah. Aku tak akan minta lagi.
Kereta Kancil aku laku juga dipinjam orang... Ada yang mempunyai kereta lebih banyak dan lebih selesa, pernah meminjam Kancilku. Tetapi aku tak sampai hati untuk meminjam kereta selesanya pula...
"Oklah abah, dah tak jumpa kawan Kak Long tu... Bolehlah naik flight...", Kak Long telefon lagi. Aku terus menelefon Mak Su Jae yang bekerja dengan MAB untuk menempah tiket flight ke Johor Bahru.
InsyaAllah pukul 4 petang ni, aku akan ambil Kak Long di airport Senai sepertimana aku ambil Tok Ayah dan Bu semalam.
No comments:
Post a Comment