Pada hari Sabtu ini, 29 Jun, akan berlangsung satu pertarungan sengit antara 2 buah pasukan dalam perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Antara Red Warriors dengan Johor Darul Takzim (JDT), yang mana pilihan hati? Satu soalan yang sukar untuk ku jawab...
Aku berasal dari Kelantan tetapi sekarang sudah bermastautin di Johor, sudah hampir 20 tahun. Aku di sini mencari rezeki dan hanya setahun sekali pulang ke kampung halaman.
Kalau ikutkan hati, perasaan masih bertaut dengan tempat tumpah darahku tetapi di negeri Johor Darul Takzim inilah lahirnya 6 orang zuriatku. Ada di kalangan anak-anakku, mereka sudah tidak mengaku orang Kelantan dan sebaliknya bertegas mengatakan dia orang Johor!
Walau apapun, kemenangan bagi mana-mana pihak adalah kemenangan buatku!
Padaku, dalam acara sukan inilah kita memupuk semangat kesukanan yang tinggi disamping semangat-semangat yang lain seperti semangat juang yang tinggi, semangat setia kawan, dan sebagainya. Kita bersukan bukan untuk bergaduh tetapi untuk merapatkan persahabatan diantara sesama pemain dan penyokong, disamping bermusafir atau bertandang ke tempat lawan untuk melihat budaya dan seni yang berbeda dari satu tempat dengan tempat yang lain.
Kita mempunyai adab-adab ketimuran yang penuh santun, saling hormat menghormati dan bertimbangrasa.
Kita juga mendengar titah Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong tentang Malaysia bergerak menuju ke arah sebuah negara maju menjelang tahun 2020 di dalam pembukaan sidang Dewan Rakyat semalam.
Semua orang bercakap tentang negara maju. Rata-rata ramai yang faham tentang negara maju hanyalah mengenai peningkatan pendapatan negara kasar per kapita kepada US$15,000 menjelang 2020.
Apa yang dinyatakan tentang cabaran-cabaran yang perlu dihadapi dalam menjadi negara maju iaitu 9 cabaran ke semuanya, tiada siapa kisah!
Cuba kita tengok cabaran yang ke-4 yang berbunyi, "Kita akan menjadi masyarakat yang sepenuhnya bermoral dan beretika, yang mana warganegaranya kukuh dalam nilai agama, dan kejiwaan dan didorong
oleh tahap etika paling tinggi."
Begitulah bunyinya salah satu cabaran Wawasan 2020 yang dilancarkan pada tahun 1991 oleh mantan YAB Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bermoral dan beretikakah apabila tiket sudah habis dijual maka kita menendang pintu tempat penjualan tiket? Itu belum lagi kita melihat kelakuan di dalam stadium.
Kepada pihak yang lain pula, mungkin kita juga boleh bertanya, "Wajarkah kita menempatkan askar bersenjata di dalam stadium? Tidakkah ada pasukan keselamatan iaitu pihak polis yang sepatutnya melihat kepada ketenteraman awam? Bagaimana pihak polis boleh membenarkan penempatan askar bersenjata tersebut? Tidak cukupkah bilangan anggota polis untuk berada di dalam stadium bagi mengawal keadaan?
Adakah kita mengadakan perlawanan bola antara banduan atau penyokong-penyokong pasukan terdiri dari para banduan yang tidak memahami peraturan yang memerlukan pasukan askar bersenjata mengawasinya?
Perbuatan yang tidak munasabah ini kadang-kadang dilihat sebagai satu perbuatan yang tidak matang dan membuat masyarakat marah. Dan ini akan membuahkan bibit-bibit dendam dan mengakibat pergaduhan akan terus berlaku.
Pada saya, semua pihak perlu bersifat matang dan waras maka barulah Cabaran Ke-4 dari Wawasan 2020 dapat dicapai. Majulah sukan untuk negara!
No comments:
Post a Comment