Semua anak menantu dan kebanyakan cucu Haji Shaari dan Hajjah Nik Azizah pulang untuk meraikan perkahwinan anak bongsu mereka. Aku saja sembilan orang. Itupun Kak Ngah sedang menduduki 'final exam' di UIA dan Kak Long pula di Mesir. Asmini berdua dengan suaminya, Bani. Asmizul dan Ida bersama 4 orang anak. Anak cucu Haji Shaari atau Tok Ayah (panggilan cucu kepadanya) dan Hajjah Nik Azizah atau Bu (panggilan cucu kepadanya) yang lain-lain memang bermastautin di Kota Bharu.
Sudah pasti rumah kos rendah (renovated) 3 bilik kepunyaan mertuaku tidak dapat menampung kepulangan kami dari perantauan. Isteriku telah menyewa 'so-called homestay' rumah 2 bilik di hadapan rumah bapanya dengan harga RM100 sehari. Begitu juga adiknya Asmini dan Asmizul, masing-masing menyewa tempat penginapan masing-masing.
Pada pagi 2 Jun, anak-anak mengangkat bag dan barang-barang ke 'homestay'. Sekembali ke rumah Bu, mereka memaklumkan ada mangkuk berisi makanan berkulat di bawah saji di rumah 'homestay' kami.
Akupun pergi ke rumah tersebut untuk meninjau keadaan rumah sewa yang berharga seratus sehari itu. Lantainya dilapik dengan tikar getah yang terkoyak sana sini. Habuk dan debu memang sesuai dengan makanan basi yang berada di bawah saji.
Kipasnya agak banyak kerana menggantikan kipas bilik tidur yang tidak berfungsi. Nyamuk memang banyak walaupun di siang hari. Di malam hari, faham-faham sajalah bilangannya yang menyanyi terngiang-ngiang di telinga kami.
TV ada tetapi hanya untuk hiasan. Peti ais (refrigerator) tiada tetapi sebiji freezer ternganga luas mungkin dibiarkan 'defrost' buat sekian lama.
Sedih melihat orang kita menyediakan kemudahan 'homestay'! Di tepi pagar terpampang nombor telefon tuan rumah bagi tujuan penyewaan.
Pada tarikh 2 Jun, aku bersama rombongan bergerak ke masjid Kg. Parang Puting untuk menunaikan solat Isya' dan seterusnya menyaksikan upacara ijab kabul. Jarak masjid tersebut dari rumah kami hanya 2 kilometer.
Setelah pengantin lelaki dan perempuan bersedia maka imampun memulakan upacara dengan mengisi borang yang diperlukan. Aku dan Ayah Suf (adik ipar bapa mertuaku) menjadi saksi yang mana nama kami diisikan di dalam borang pernikahan.
Setelah selesai kami bersama rombongan pihak lelaki pulang ke rumah di Taman Seri untuk menjamu selera. Menu malam tu ialah nasi kerabu kuning bersama solok lada, keropok, telor masin dan ayam goreng. Selesai menjamu selera rombongan pihak lelaki balik ke tempat penginapan mereka. Esok ialah majlis kenduri pihak pengantin perempuan.
Sekitar jam 11.30 pagi, tetamu mula mengunjungi rumah mertuaku. Di depan rumah tersedia 2 khemah bagi meneduhkan meja bagi tetamu menjamu selera. Juadah yang disediakan ialah nasi putih, gulai daging, ayam goreng, ikan masin, kerabu, buah tembikai dan air sirap disamping tapai dan kuih muih.
Aku terpaksa ke stesen keretapi Wakaf Baru untuk mencari tiket untuk balik ke Johor Bahru esok malam. Melalui internet memang aku telah lihat bahawa tiket keretapi sudah habis dijual. Sekarang aku hanya mengharapkan tiket bagi 'coach' tambahan.
Aku bertanyakan di kaunter jika masih ada tiket. Pegawai bertugas menyatakan bahawa ada 2 tiket untuk tempat duduk bagi perjalanan malam pada tarikh 4 Jun. Aku mengatakan kepada beliau bahawa aku memerlukan lapan tiket. Beliau memaklumkan bahawa tiket koc tambahan hanya akan diketahui pada esok pagi mulai jam 11 pagi bagi perjalanan malam tersebut.
Achik akan menyertai mukhayyam Tingkatan 5 SMIH yang akan bermula pada petang 5 Jun dan berakhir pada 8 Jun. Aku membeli 2 tiket tempat duduk tersebut sekurang-kurangnya, Achik dan 'Ammar boleh balik ke JB dulu sekiranya kami tidak mendapat tiket tambahan.
Sekitar jam 10.30 pagi, 4 Jun, aku dan Sakinah sekali lagi ke stesen keretapi Wakaf Baru. Setibanya di stesen pada jam 11 pagi, aku terus ke kaunter tiket tetapi pegawai bertugas mengatakan tiket tambahan masih belum keluar dan beliau menyuruh aku menunggu.
Aku dan Sakinah masing-masing minum teh dan makan telor 3/4 masak di kantin stesen. Pada jam 12 tengahari aku ke kaunter tiket semula. Kelihatan agak ramai orang yang ingin ke Johor Bahru dan Kuala Lumpur dengan mengharapkan tiket tambahan.
Tiba-tiba pegawai kaunter berkata, "Ok, tiket sudah ada tetapi semua untuk tempat tidur...". Aku memaklumkan kepadanya bahawa aku memerlukan 2 tiket dewasa dan 4 tiket kanak-kanak. Pegawai tersebut perlu bertindak pantas kerana kalau lambat tiket tersebut akan dibeli oleh orang lain dari stesen keretapi tempat lain.
Malangnya, beliau hanya sempat mengeluarkan 2 tiket dewasa dan 2 kanak-kanak kepadaku. Kemudian komputernya 'down'. Seorang lagi pegawai di sebelah, komputernya masih ok! Tetapi beliau 'reluctance' untuk mengeluarkan 2 lagi tiket kanak-kanak kepadaku. Beliau menyuruh aku tunggu tetapi sekiranya aku ingin membeli tiket 2 dewasa, tidak ada masalah...
Mungkin ini strategi pemasaran kerana permintaan melebihi penawaran! "Oklah...berilah 2 lagi tiket dewasa kepada saya!", kataku kepadanya. 'All in' aku bayar untuk tiket keretapi lebih kurang RM300, lebih murah berbanding tiket bas yang harganya hampir RM500.
Alhamdulillah, semua dapat naik tren yang sama... Aku merasa sungguh lega dan pulang ke Pengkalan Chepa.
Aku terpaksa meminta jasa baik Mak Su Jae dan Azfar (anak saudara) untuk membawa kami ke stesen keretapi Wakaf Baru dengan 2 buah kereta. Tren akan bertolak dari stesen Wakaf Baru pada jam 2047.
Aku juga telah menelefon Aya (anak saudaraku) yang tinggal di Pasir Pekan untuk menumpang solat Maghrib dan Isya' secara jamak qasar di rumahnya. Kami bertolak dari Pengkalan Chepa pada jam 6.30 petang, takut jika terlekat dalam 'traffic jam'.
Aya dan suaminya, Wan Shuhaimi telah menunggu kami di restoren roti tempayan tersohor di Pasir Pekan. Apa lagi...sebelum kami ke rumah mereka, kami dijamu dengan roti tempayan dicicah dengan kari ayam atau kari tulang bersama daging yang sungguh enak.
Kami tiba di stesen keretapi Wakaf Baru sekitar jam 8.35 malam. Disamping Mak Su Jae dan suaminya, Azfar, Aya dan suami serta anaknya, kami juga dihantar oleh Ipah (anak saudaraku) dengan suami dan anaknya. Ipah bersama suami dan anaknya sanggup datang ke stesen keretapi semata-mata ingin berjumpa mata dengan kami.
Di dalam keretapi, kami berlapan berkongsi tempat tidur dan membiarkan 2 'seat' tempat duduk tanpa didiami. Ummi tidur bersama Asmaa dan Syakir bersama Rasyid, manakala Achik, 'Ammar, Sakinah dan aku, masing-masing tidur bersendirian.
Kami tiba di stesen keretapi Kempas Baru jam 11 pagi dan Dr Hishamuddin Alham sekali lagi mengangkut kami pulang ke rumah dengan Innovanya.
Alhamdulillah, anak-anak dapat merasakan 2 'modes of transportation' dalam satu perjalanan yang sungguh menyeronokkan. Walaupun kami bertolak ke KB pada 1 Jun dan sampai pulang ke JB pada 5 Jun, ia merupakan satu percutian yang mengembirakan. Cumanya, kami terpaksa menunaikan solat Subuh di dalam tren sambil duduk di tempat tidur...
No comments:
Post a Comment