Satu sikap yang paling aku kagumi dengan arwah ibu ialah kemudahan beliau untuk menerima saudara mara datang ke rumah. Tinggallah sehari, seminggu, sebulan,....mahupun lebih dari itu.
Arwah ibu tidak pernah bersuara samaada tetamu yang datang menyumbang atau tidak untuk makan minum. Apa yang kami makan, itulah apa yang tetamu kami makan.
Ibu selalu menyuruh tetamunya membuat air sendiri dan makanlah dengan biskut yang berbagai-bagai di kedai arwah ibu.
Rata-rata tetamu ibu adalah saudara mara kami dari pekan Golok dan Narathiwat.
Ada yang datang untuk mencari rezeki dengan mengurut badan. Ada seorang makcik ni selalu datang, beberapa bulan sekali dia datang untuk tempoh 2 minggu. Rumah arwah ibu hanya untuk makcik berhenti rehat dan tidur di waktu malam.
Akupun suka dengan makcik ini kerana beliau memang kaki balaisah (madrasah). Apabila azan aje, beliau akan turun ke balaisah yang hanya 15 kaki jaraknya dari rumah arwah ibu.
Sekarang... semuanya sudah tinggal di dalam memori. Arwah ibu sudah pergi, dan makcik mengurutpun sudah dijemput illahi...
Aku pernah berkata kepada arwah ibu dulu bahawa aku akan membuat rumah besar dan akan ku biarkan rumahku menjadi tempat penginapan saudara mara seperti arwah ibu juga...
Sekarang aku sudah punyai rumah besar. 8 bilik tidur dan satu bilik solat..., aku pasti ianya boleh diisi dengan bilangan tetamu yang agak ramai.
Cuma, saudara maraku yang susah-susah di sebelah sana...mungkin sudah tidak mengenali kami lagi.
No comments:
Post a Comment