Majlis akad nikah Mak Su Jae jatuh pada 2 haribulan Jun, iaitu selepas Isya' di Masjid Parang Puting. Keesokkannya akan diadakan majlis kenduri kahwin. Katanya panggilan atau undangan hanya untuk seramai 500 orang.
Aku mula mencari alternatif yang ada untuk balik ke Kelantan bersama keluarga. Lagipun inilah kenduri kahwin terakhir buat mertuaku. Isteriku sebagai seorang kakak yang sulung sudah pasti perlu bersama untuk meraikan adiknya yang bongsu.
Vanku yang dilanggar dari belakang sudah seminggu berada di bengkel. Walaupun peristiwa sudah lama berlaku tetapi van hanya dihantar setelah cuti sekolah bermula. Tak nampak dapat balik ke Kelantan dengan van walaupun aku meminta supaya tuan punya bengkel menyiapkannya segera. Tempoh seminggu yang aku berikan kepada taukeh bengkel hanya merupakan persetujuan yang aku sendiri merasakan ia mustahil boleh berlaku.
Aku pergi menyemak harga tiket di kaunter bas Transnasional Sri Putri. Tiket masih banyak dan kos untuk 8 orang termasuk kanak-kanak mengjangkau RM498 sehala.
Aku pergi pula ke stesen keretapi Kempas Baru bagi mendapatkan perbandingan. Dari segi harga, ia begitu menjimatkan iaitu aku dapat 'save' separuh dari tambang bas bagi bilangan penumpang yang sama. Cuma masalahnya ialah tiket sudah habis dijual.
Kerani kaunter tiket keretapi menyarankan supaya aku datang pada hari aku hendak bertolak bagi mendapatkan tiket 'coach' tambahan. Contohnya, jika aku ingin bertolak pada 1 Jun menggunakan tren malam ke Wakaf Baru maka sekitar 2 petang pada hari tersebut aku perlu datang atau menelefon ke stesen bertanyakan jika ada penambahan 'coach'.
Aku bertanyakan samaada ia pasti ada? Kerani itu menjawab bahawa ia berkemungkinan besar ada. Aku takut untuk mengambil risiko atau 'gamble' kerana peristiwa yang akan berlaku begitu penting kepada keluarga mertuaku. Jadi, kami mengambil keputusan untuk membeli tiket bas sehala sahaja.
Bila balik ke JB nanti, bolehlah 'gamble' seperti saranan tersebut.
Aku membuat keputusan untuk bertolak dari JB pada 1 Jun oleh kerana pada 31 Mei ada majlis pernikahan kawan baikku di Kulai. Jadi pada 31 Mei malam, aku ke Kulai bersama-sama Firdaus dan Dr Sam bagi meraikan akad nikah Skem.
Sebenarnya perjalanan bas dari JB ke KB ada 2 'trips'. Satu pagi dan satu malam. Jika perjalanan malam, kita boleh menaikinya dari perhentian bas Sri Putri tetapi jika perjalanan siang, kita perlu menaikinya di Stesen Bas Larkin kerana bas ini membuat laluan melalui Pandan, Mersing dan sebagainya.
Masalah yang timbul ialah bagaimana aku ingin ke Stesen Bas Larkin seramai 8 orang dengan kos yang murah? Bas dari Taman Universiti tidak pergi ke Larkin tetapi pergi ke bandar JB dan dari bandar JB, aku perlu menaiki bas lain pula untuk ke Larkin. Teksi pula mengenakan bayaran RM23 dari rumahku di Taman Pulai Utama ke Stesen Bas Larkin untuk sebuah teksi. Rata-rata aku lihat teksi di Taman U semuanya bersaiz kecil dan tidak ada yang boleh memuatkan seramai 8 orang serentak.
Bagi tujuan pengangkutan ini, aku telah meminta jasa baik sahabatku, Dr Hishamuddin Alham untuk membawa semua keluargaku ke Larkin dengan menggunakan Innovanya.
Bas mula bergerak dari Stesen Bas Larkin sekitar jam 9.10 pagi. Aku melihat anak-anak begitu gembira sekali. Masing-masing mempunyai 'seat' masing-masing. Begitu juga Asmaa yang berusia 5 tahun duduk di kerusi sebelah umminya.
Sekitar jam 11 pagi, ummi mengejutkan aku dari tidur mengatakan Asmaa hendak membuang air kecil. Aku mula merasa cuak. Sebelum bas bertolak tadi, aku sudah memberi arahan supaya semua pergi membuang apa yang patut. Dan Asmaa juga sudahpun kencing sebelum menaiki bas.
Melihat aku tidak begitu mengendahnya, ummi menyuruh Achik pula memaklumkan kepada pemandu bas. Seperti yang ku duga jawapannya ialah tunggu sehingga kita berhenti untuk makan nanti.
Bas berhenti untuk makan tengahari di bandar Endau. Kami berlapan makan dengan berselera sekali. Anak-anak mengambil lauk ayam. Aku mengambil lauk sotong goreng.
Bas berhenti untuk solat Zohor dan Asar secara jamak qasar di laluan Jerangau Jabor sekitar jam 3 petang.
Kami tiba di KB pada jam 9 malam.
No comments:
Post a Comment