Beliau menceritakan NSW mempunyai penduduk lebih kurang 5 juta orang dan menghasilkan cukai tanah dan harta tanah sebanyak $5 billion. Jumlah penduduk keseluruhan Australia ialah lebih kurang 22 juta orang. Kaedah penilaian yang digunakan di Australia juga berbeza dari negeri ke negeri, sebagai contoh, NSW membuat penilaian berasaskan nilai tanah (land value) manakala Victoria berasaskan 'improved value'.
Mereka juga seperti negara kita yang mengenakan cukai tanah dan cukai pintu. Cukai tanah mendatangkan hasil kepada kerajaan negeri manakala cukai pintu membawa hasil kepada 'local authority' atau kerajaan tempatan. Kita juga menggunakan sistem pendaftaran tanah yang diasaskan kepada sistem Torren, yang berasal dari Australia.
Apa yang menarik perhatian saya ialah cukai tanah di mana tuan punya tanah duduki tidak dikenakan tetapi tanah-tanah lain yang dipunyainya samaada disewakan dan sebagainya akan dikenakan cukai. Maksudnya di sini ialah jika seseorang mempunyai 5 bidang tanah, cukai tanah yang mana rumah yang didiaminya tidak dikenakan manakala 4 bidang lagi akan dikenakan cukai.
Saya berpendapat langkah ini sewajarnya dilaksanakan juga di negara kita. Cukai tanah yang mana rumah yang kita diami berada di atasnya seharusnya tidak dikenakan cukai sebagai memberi keringanan kepada penduduk. Sungguhpun cukai tanah saya hanya RM36 setahun tetapi untuk menjelasnya setiap tahun amat menyusahkan dan kadang-kadang akan dikenakan penalti jika terlewat bayar.
Ini berlaku di Pejabat Tanah Johor Bahru, yang mana kita tidak boleh membayar sekali gus untuk tahun-tahun yang akan datang. Berbeza pula dengan Pejabat Tanah Port Dickson, yang mana kita boleh membayar untuk tahun-tahun yang akan datang.
Cukai pintu adalah wajar untuk kita membayarnya setiap 6 bulan atau setahun sekali kerana nilainya tinggi. Untuk rumah saya di Taman Pulai Utama, saya membayarnya RM259 setahun.
Selesai mendengar penerangan MacFarlane, kami dibawa berjumpa dengan Prof Graeme Newell, penyelia PhD saudara Najib. Seterusnya kami diperkenalkan kepada Professor John Lodewijks sebagai 'Head of School, School of Economics and Finance', UWS.
Selesai di UWS, kami ke Thai Hut di Bankstown untuk menjamu selera. Kemudian kembali ke UWS Village, sekitar jam 6 petang untuk mengerjakan solat Zohor dan Asar secara jamak ta'khir.
No comments:
Post a Comment