Tuesday, February 2, 2010

Terserempak Dengan Bos Di Jusco..


Aku, Abang, Acik, 'Ammar, Rasyid, dan Syakir ke Masjid Sultan Ismail (MSI), UTM bagi mengerjakan solat Maghrib semalam. Selesai menunaikan solat kami ke Jusco untuk membeli pizza dan membuat sedikit 'groceries'.

Cadangan untuk makan pizza adalah hasil idea ummi mereka. Ibu seronok apabila kesemua anaknya kecuali Along berada di rumah. Along di tahun 2, di Cairo University. Abang balik dari asrama SMIH untuk bercuti hujung minggu. Angah juga dah ada di rumah selepas balik dari Mukhayyam di Sungai Petani.

Setelah memesan pizza, kami naik ke tingkat atas. Sambil menolak 'trolly', aku mencari-cari barangan yang diperlukan. Tiba-tiba di persimpangan rak, aku terserempak dengan Dato' Prof Ir Dr Zaini dan isteri.

"Ah Haji, dari mana?", sapa Dato' Naib Canselor (NC). Aku berkain pelikat dan berketayap menjawab, "Tadi kami dari MSI dan singgah sini kejap...". Aku rasa, diapun tidak tahu siapa namaku.

"Mari-mari salam dengan Dato'", arahku kepada anak-anak. "Berapa ramai anak lelaki?", tanya Dato' sambil melihat kelima-lima anak lelaki ku. "Lima Dato'!", balasku.

"Oh, semua lelaki ya?", tanya Dato'. "Tak, ada 4 perempuan!", sambungku lagi. Dato' melihat kearah Datin apabila mendengar penjelasanku tadi. Datin adalah seorang 'medical doctor' di HSAJB, kalau tidak silap aku.

"Ni yang sama dengan Ariff semasa di Tadika Nahwal Iman dulu", tunjukku kepada Acik. Dato' mengangguk-angguk sebelum berlalu pergi.

Semasa di Tadika Nahwal Iman dulu, aku perasan juga yang si Ariff (anak Dato' NC) suka buli kawan-kawan. Ya lah budak-budak katakan...

Setelah Dato' dan Datin pergi, Acik menyatakan yang Ariff bukanlah kawannya tetapi 'Ammar adalah kawan si Ariff. Tak mengapalah, akupun lupa yang mana sebaya dengan siapa...

Kemudian aku terjumpa pula Prof Shamsul Sahibudin. "Tak terserempak dengan bos tadi?", tanyaku. "Jumpa, tak sempat hendak mengelak", balasnya. "Kenapa hendak mengelak?", tanyaku. "Biasalah, kalau belum PM atau Profesor mahu jumpa selalu..", balas sahabatku.

Macam tu rupanya. Kalau belum ada 'title' macam aku, perlu jumpa selalu untuk bodek dan kalau sudah profesor, perlu melarikan diri takut kena arahan itu dan ini...agaknya...

No comments:

Post a Comment