Thursday, January 13, 2011

Ikhlas Dalam Bersedekah...

Dewasa ini, kita lihat orang tidak lagi kedekut untuk bersedekah. Namakan saja tujuannya, dan berapa nilainya, pasti ada yang akan menghulur...

Semalam saya pergi makan roti nan bersama rakan di Taman Cempaka, Kempas. Selesai makan, azan untuk solat Asar berbunyi dari masjid yang terletak bersebelahan dengan tempat makan.

Kamipun pergi solat...

Sesudah solat, aku lihat laporan pendapatan bulanan di papan kenyataan masjid tersebut sepanjang tahun 2010. Pendapatan masjid kebiasaannya diperolehi melalui hasil kutipan dari tabung selepas solat Jumaat.

Subhanallah, sepanjang Januari hingga Disember 2010, hanya sebulan saja kutipannya tidak mencapai RM10,000. Bulan-bulan yang lain, semuanya belasan ribu!

Alhamdulillah, betapa pemurahnya pengunjung masjid sekarang...

Aku hanya ingin mengimbau kenangan lalu apabila solat Jumaat di masjid (bukan masjid UTM). Seperti biasa apabila ke masjid, saf pertama yang akan menjadi pilihanku (Lihat hadis tentang besarnya pahala orang yang berada di saf hadapan).

Setelah solat sunat tahiyyatul masjid, aku membaca surah al-Kahfi atau berwirid sementara menunggu khatib berkhutbah. Sekoyang-koyang, tabung beroda ditolak di hadapanku. Maka, ku tarik duit dari dompet dan ku letak ke dalam tabung, dan terus ku tolak semula ke sebelah.

Pernah beberapa kali, aku terlupa membawa dompet, dan alangkah malunya terasa kerana terpaksa menolak tabung ke sebelah tanpa mengisi apa-apa...

Ini membuat aku terfikir, adakah aku berderma secara ikhlas atau kerana malu kepada manusia?

Aku takut, selama ini aku hanya bersedekah kerana malu kepada manusia dan bukannya keranaMu, ya Allah!

Sekarang aku sudah menukar strategi... Apabila aku ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat, aku tidak lagi menunggu tabung beroda yang bergerak dari saf ke saf untuk mengisi duit tetapi aku terus memasukkannya di tabung yang besar di depan pintu masjid atau surau.

Apabila tabung bergerak di depan ku, aku akan hanya menolak ke sebelah lagi... Biarlah apa orang nak kata. Yang penting, keikhlasan kita...

Takut sangat-sangat, sedekah atau amal sebelum ini tidak diterima Allah. Astaqfirullahal 'azim...

Aisya (RAA) relates that the Holy Prophet (SAW) said: Allah is kind and likes kindness in all things. (Bukhari and Muslim)

No comments:

Post a Comment