Ali, Tong Seng, dan Ramasamy adalah nama-nama yang tidak asing bagi mereka yang belajar di sekolah rendah pada tahun 1970an. Nama-nama ini digambarkan sebagai suasana kehidupan di negara kita yang harmoni tanpa membezakan kaum atau dari puak mana kita datang. Berlainan kaum tidak menjadi halangan untuk kita hidup bersatu padu, tolong menolong, bantu membantu antara satu sama lain.
Dalam al-Quran disebut; Wahai manusia! Sesungguhnya, Kami telah menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sesungguhnya, yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui, Maha Teliti. (Al-Hujurat; 13)
Saya tak pasti pula pada zaman sekarang samaada nama-nama seperti itu diterapkan dalam buku-buku bacaan anak-anak kita.
Beberapa hari lalu, heboh pasal novel Interlok yang ingin dijadikan sebagai bahan bacaan pelajar-pelajar sekolah menengah tetapi mendapat tentangan dari kaum India. Saya tidak ingin menyentuh pasal novel yang dikarang Sasterawan Negara Abdullah Hussein ini. Tetapi saya pernah membaca novel beliau bertajuk Imam. Amat baik sekali!
Apa yang ingin saya utarakan di sini ialah dari segi apa yang diajar di sekolah dan apa yang dipraktikkan, agak berbeza sekali.
Di sekolah kita diasuh, dididik, dan ditarbiyyah supaya menghormati semua kaum tanpa mengira fahaman agama dan politik mereka. Biar apa bangsa mereka, bila perlu dibantu, dibantu mereka tanpa mengira mereka ini penyokong kerajaan atau pembangkang.
Kalaulah Rasulullah (SAW) hanya membantu mereka yang bersama beliau saja dan membiarkan kaum musyrik bersendirian, agaknya berkembang ke agama yang suci ini?
Dengan bantuan yang berterusan tanpa memilih bulu akan menyedarkan masyarakat betapa sucinya perjuangan kita. Itupun kalau kita berjuang atas dasar ingin membangunkan negara dan betul-betul ingin membantu masyarakat.
Tetapi sekiranya perjuangan kita kerana ingin memenuhi poket sendiri, sudah pasti kita hanya membantu sesiapa yang menyokong kita...
Saya merasa teramat sedih setiap kali melihat berita di kaca TV. Tiada satu berita baik yang diperkatakan tentang pihak pembangkang. Semuanya berita buruk! Apa salahnya, sekali sekala kita khabarkan berita yang baik yang telah pihak pembangkang lakukan.
Kita diajar sejak kecil supaya menghargai kebaikan yang dilakukan walau sekecil mana sekalipun. Sejahat-jahat penzina yang memberi air kepada anjing yang kehausan juga dilaporkan dan mendapat keampunan dari Allah SWT.
Bila agaknya 'trend' memburukkan mereka yang tidak bersama kita dalam media massa akan berhenti.
Pada saya berita seharusnya banyak mengenai kebaikan. Laporkan kebaikan-kebaikan walaupun dari pihak mana... Sekiranya banyak berita-berita yang positif, sekurang-kurangnya rakyat merasa aman dan tenteram.
Berita-berita negatif hanya untuk memberi pengajaran dan memperingati (tadzkirah) kepada masyarakat. Bukan pula untuk dibesar-besarkan supaya menjadi bahan tiruan kepada masyarakat. Sekiranya kita sensasikan berita negatif, mahu tidak mahu pasti ada yang akan cuba untuk meniru perbuatan yang tidak baik itu. Adakah itu yang kita mahu?
Saya mencadangkan supaya kita mempunyai satu KCI (Key Cleanliness Index) disamping KPI (Key Performance Index) kepada pemimpin kita. Ada satu-satu pihak yang membuat kompilasi mengenai kesalahlakuan mereka. Perasuah, sekian markah akan diberi kepada mereka. Rumah lebih besar dari gaji, sekian markah. Begitu jua, kesalahan-kesalahan yang lain. Tetapi kesemuanya mestilah berasaskan kepada keputusan yang telah dbuat di mahkamah dan bukan hanya 'hearsay'.
Kalau kita bandingkan semua menteri besar di negara kita, siapa agaknya yang akan mendapat KCI yang pertama?
No comments:
Post a Comment