Tuesday, January 11, 2011

Usrah Gabungan Ahli Aktif & Ahli Teras IKRAM JBT


Pada julung-julung kalinya IKRAM Johor Bahru Tengah mengadakan usrah gabungan malam tadi di Pejabat JIM. Usrah gabungan ini merangkumi ahli aktif 03, ahli aktif 04, dan ahli teras 05, baik ikhwah mahupun akhawat.

Program bermula dengan solat Isya' berjamaah yang diimami sendiri oleh YDP IKRAM JBT, Prof Madya Dr Hj Tholuddin Md. Lazim.

Seterusnya, bacaan al-Quran Surah Qaf, ayat 1 hingga 20 dan terjemahannya telah dibaca oleh Hj Roslan Abdul Hamid. Antara maksud ayat-ayat tersebut;

"Dan sungguh, kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya. Ingatlah ketika dua malaikat mencatat perbuatannya, yang satu duduk di sebelah kanan dan yang lain di sebelah kiri. Tidak ada suatu kata yang diucapkannya melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang selalu siap mencatat." (Qaf; 16-18)

Sebelum TYDP IKRAM Negeri Johor (mewakili YDP IKRAM Negeri Johor) menyampaikan amanat, YDP IKRAM JBT mengimbau kembali sejarah penubuhan IKRAM.

IKRAM JBT telah ditubuhkan pada bulan April 2010 dan mendapat kelulusan dari IKRAM Pusat pada bulan Mei. Pelancaran IKRAM telah dibuat di ibu negara pada 20 Jun 2010.

Dr Tholuddin juga memesan supaya setiap ahli lebih giat beramal. Beramal sehingga ke peringkat Ihsan iaitu seolah-olah kita melihat Allah dan jika kita tidak nampak Allah, sudah pasti Allah melihat kita...

Prof Madya Hj Ainullotfi Abdul Latif selaku TYDP IKRAM Negeri Johor pula mengingatkan tentang tuntutan-tuntutan terhadap setiap ahli iaitu titisan air mata, titisan peluh, dan titisan darah.

Apa yang dimaksudkan dengan titisan air mata ialah disamping kekuatan kita secara fizikalnya, kita juga mempunyai hati kecil yang lembut yang selalu menumpahkan air mata apabila membaca ayat-ayat Allah.

Titisan peluh pula ialah kita hendaklah sentiasa bekerja kuat sepenuh tenaga dalam menyampaikan risalah kepada masyarakat.

Manakala titisan darah ialah pelupusan masa, harta, keluarga, malah diri kita dalam menyumbang kepada dakwah. Sesungguhnya, kita adalah penyambung kepada tugas ar-Rasul dalam membawa masyarakat keluar dari kegelapan kejahilan kepada cahaya kebenaran.

Hj Ainul juga memperingatkan tentang jamaah kita yang bercirikan kepada 7 perkara, iaitu;

1) Rabbani - bertunjangkan kepada Allah
2) Syamil - meliputi semua aspek kehidupan
3) Kontemporari - meliputi masa sekarang dan bukan masa silam
4) Praktikal - menyelesaikan masalah dan tidak menjadi sebagai anasir permasalahan
5) Kritikal - sentiasa bersiap siaga
6) Membimbing - bukan menghukum
7) Alami - sejagat

Kesemua aspek tersebut perlu digarap dengan baik oleh setiap ahli supaya Projek Gemilang Johor dapat dilaksanakan dengan jayanya.

IKRAM JBT juga telah mensasarkan peningkatan ahli dari 220 kepada 900 orang pada tahun 2011! Marilah sama-sama kita merealisasikannya.

Usrah gabungan ini berakhir sekitar jam 11.30 malam.

No comments:

Post a Comment