Friday, December 11, 2009

Cuba Hidup Secara Sederhana....


"Dan ketahuilah bahawa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai cubaan dan sesungguhnya di sisi Allah ada pahala yang besar" (Al-Anfal; 28).

Di rumahku ada dua sofa panjang; satu pemberian PM Dzurllkanian Daud dan satu lagi pemberian PM Dr Tholuddin Md. Lazim, yang tuan punya asalnya ialah PM Dr Mohamed Wijayanuddin Ali yang dibawa balik dari UK. Satu lagi sofa yang boleh 'convert' jadi katil adalah pemberian Hj Ahmadon Bakri.

Disamping sofa, Hj Ahmadon juga memberi sebuah kerusi 'executive' untuk dibuat belajar. Hj Shaharuddin Mohd. Said pula menyumbang katil dan tilam, menambah koleksi perabot rumahku. Dr. Jamaluddin Md. Sheriff juga tidak ketinggalan menyumbang rak-rak buku dan meja komputer.

Alhamdulillah hari ini aku menambah lagi perabot di rumahku dengan 7 biji sofa kotak berwarna biru, 6 biji kerusi berpusing, satu meja teh (tea table) dan satu rak almari besi untuk meletakkan buku.

Dimana aku membelinya? Aku membeli barangan tersebut dari pihak Bendahari UTM yang melupuskan perabot tersebut dari Pusat Sumber Jabatan Pentadbiran Tanah.

7 biji sofa ku beli dengan harga RM15 setiap satu. 6 biji kerusi dengan harga RM10 setiap satu. Satu meja teh berharga RM15 dan satu rak almari besi berharga RM20. Kesemuanya berjumlah RM200. Murahkan? Dan aku upah lori untuk menghantar barangan tersebut ke rumah sebanyak RM15.

Sekarang ini, pengunjung ke rumahku sudah mempunyai kerusi yang mencukupi untuk diduduki berbanding sebelumnya. Dulu ada yang dapat duduk di kerusi dan ada yang duduk di lantai.

Ya Allah, aku bersyukur kepadaMu kerana memberi peluang untuk aku membeli barangan lupus tersebut. Hendak ku beli sofa set yang cantik dan mahal harganya, terasa rugi pulak kerana keseronokan dan keselesaan itu akan dirasakan sementara sahaja. Lebih baik aku belanjakan wang yang ada untuk pembelajaran anak-anak atau mendermakannya kepada NGO.

Pada awal minggu ini, isteriku telah mendaftarkan Syakir di Tadika Iman. Habis RM811.50.... Minggu depan pembelian buku anak-anak sekolah pula, 3 di Sek. Ren. Islam Hidayah dan 2 di Sek. Men. Islam Hidayah.

Hari Selasa minggu ini juga sudah hantar 'Ammar, Rasyid dan Sakinah ke Kem I love Islam. Pendaftaran RM60 untuk setiap orang bagi program 3 hari. Hujung bulan nanti sambungan Kem I Love Islam, RM80 setiap orang pula.

Minggu depan, Abdul Rahman dan Ahmad Luqman akan menghadiri Kem Tahfiz pula. Beberapa ratus ringgit lagi... Hujung bulan nanti pendaftaran sekolah pula. Untuk 3 orang sekolah rendah dan 2 orang sekolah menengah, terpaksa keluar beberapa ribu ringgit pula...

Walau bagaimanapun, aku teringat kata-kata sahabatku. Duit ni macam janggut aje, habis licin dicukur, tumbuh lagi. Kemudian dicukur lagi, tumbuh lagi dan begitulah seterusnya....

No comments:

Post a Comment