Sunday, December 6, 2009

Jauh Perjalanan Luas Pandangan Lapang Pemikiran


Hari Jumaat (4 Disember), jam 1430, aku bersama PM Dr Ismail Omar dan 49 staf Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) bertolak ke Pulau Batam, Indonesia. Kami menaiki feri dari Stulang Laut. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 1 jam 45 minit.

Tambang feri pergi balik dari Stulang Laut ke Batam berharga RM110 plus RM10 cukai. Jadi jumlahnya RM120. Untuk mendapat diskaun bagi kumpulan, kita perlu membuat surat kepada Pengurus Feri The Zon dan kita akan dikenakan RM109 termasuk cukai seorang. Jimatkan... Seorang diberi diskaun RM11. Kalau 51 orang, dah dapat diskaun RM561!

Apabila tiba di Pengkalan Feri Batam, kami beratur untuk melepasi pemeriksaan Imigresen Indonesia. Dalam rombongan kami, ada yang mempunyai passport antarabangsa (18 orang) dan ada yang mempunyai passport berkumpulan (33 orang). Mereka yang mempunyai passport antarabangsa tiada menghadapi apa-apa masalah. Mereka yang mempunyai passport berkumpulan ditahan dan tidak dibenarkan memasuki Batam.

Subhanallah!!!

"Siapa ketua rombongan ini?", tanya salah seorang pegawai di kaunter. Helmi, pegawai penilaian MPKB menuding jari ke arahku. "Kemari, jumpa boss kami di dalam kantor", arah pegawai tersebut dengan suara tegas.

Aku memang dilatih sebagai seorang anggota tentera tiada rasa ketakutan yang ketara, mengikuti pegawai tersebut ke pejabat. Di dalamnya terdapat seorang yang berbaju biasa dan di kelilingi beberapa orang yang beruniform sedia menungguku.

Sambil menepuk-nepuk passport berkumpulan yang berada di tangannya, dia mula meninggikan suara sambil berkata, "Kenapa rakyat kami yang ingin ke Malaysia menggunakan passport berkumpulan tidak dibenarkan masuk?" "Beritahu pemerintah bapak jangan menyekat rakyat kami, jika rakyat Malaysia tidak mahu disekat", tambahnya lagi.

Aku tahu jika aku berkeras dengannya, 33 staf MPKB terpaksa pulang ke Johor pada hari ini juga. Lantas, psikologiku berperanan. "Baik pak, saya akan menyampaikan maksud bapak!", balasku. "Bapak kerja apa?", tanyanya lagi. "Dosen pak", jawabku.

"Bapak orang yang berpelajaran, sampaikan apa yang saya katakan tadi kepada pemerintah Malaysia", sambungnya lagi. "Apa tujuan bapak sekumpulan ke mari?", tanyanya lagi.

"Kami ingin berurusan dengan Wali Kota Batam", jawabku sambil menyeluk kocek dan mengeluarkan 'business card' salah seorang pegawai di pejabat Wali Kota Batam. "Kalau bapak tidak percaya, bapak boleh menelefon bapak Ardy itu", balasku lagi.

Aku mendapatkan kad tersebut semasa membuat 'recce' ke Batam 3 hari yang lalu. Allah memang ingin membantuku. Seandainya kad tersebut tiada, aku tiada bukti kukuh untuk beralasan dengannya dan sudah pasti aku akan terus diganyangnya.

"Baiklah kali ini saya benarkan!", tegasnya. "Tetapi jangan lupa untuk menyampaikan pesanan saya", sambungnya lagi. "Baik bapak", balasku. Walaupun aku tahu, aku tidak mampu untuk berbuat begitu dan ianya bukan tugasku...

Setelah kami keluar dari jeti, semua staf MPKB bertanya bagaimana aku menyelesaikan masalah tadi. Ada yang bertanya sama ada aku menghulurkan rasuah. Aku hanya menjawab, "'Enjoy' sajalah, kita ke sinipun untuk makan angin". Aku tidak mahu membuat mereka risau dan merasa tidak selamat...

Kami menaiki bas pelancong yang telah aku dan Dr Ismail uruskan sebelumnya. Kami dibawa melawat ke Jambatan BARELANG, yang menghubungkan 7 buah pulau. Jambatan ini, mengikut pemandu pelancong kami adalah cetusan idea Pak Habibie, yang kini menetap di Jerman.

Apa yang menarik, jambatan BARELANG diberi nama mengikut singkatan nama pulau-pulau yang disambungkan, iaitu Pulau Batam (BA), Pulau Rempang (RE) dan Pulau Galang (LANG).

Pada malamnya, kami dijamu oleh Wali Kota Batam di sebuah restoren terbesar di Pulau Batam. Restoren ini menghidangkan masakan 'seafood' dan boleh memuatkan 3,500 pengunjung pada satu-satu masa.

Wali Kota adalah nama yang diguna pakai untuk 'mayor' atau 'Datuk Bandar' di Indonesia. Bersama-sama kami ialah Yang Dipertua atau 'Wali Kota' MPKB iaitu Tuan Haji Ahmad bin Mahmood bersama isterinya.

4 orang staf dari pejabat Wali Kota Batam telah menyambungkan pelajarannya di UTM. Salah seorang yang aku temui ialah saudara Isa yang pernah menginap di Kolej 14/15 (Kolej Tun Ghaffar Baba). Saudara Isa telah tamat pengajian di peringkat Sarjana dalam bidang 'Information Technology' (IT).

Rombongan dari pejabat Wali Kota Batam juga pernah berkunjung ke Kelantan dan berjumpa dengan YAB Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz b. Nik Mat, Menteri Besar Kelantan.

Keesokannya, kami dibawa melawat ke tempat pertunjukan 'Kuda Lumping' atau dalam Bahasa Melayu, Kuda Kepang. Aku agak keberatan untuk menyaksikan pertunjukan ini, apatah lagi mufti Johor telah mengharamkan permainan kuda kepang di negeri Johor. Dalam persembahan tersebut, ada yang makan bara api dan ada yang makan kaca. Aku pasti ada jin yang beraksi...

Seterusnya, kami ke kedai keropok, kilang pakaian berjenama POLO, dan kilang kek lapis yang menjadi kegilaan masyarakat Singapura.

Kemudian kami ke Restoren Nasi Padang Pak Datuk untuk makan tengahari dan mengerjakan solat jamak qasar di Masjid Besar Batam. Selesai solat, kami ke Mega Mall untuk membeli belah.

Barang-barang di Pulau Batam secara keseluruhannya boleh dikatakan mahal. Ini adalah kerana ramainya pengunjung dari Singapura yang datang membeli belah di sini. Kek Lapis, berukuran 20sm X 20sm dan seberat 1kg dijual dengan harga 200,000 rupiah, bersamaan RM74 (RM1 = 2,700rph).

Pada sebelah malamnya, kami ke restoren yang menyediakan masakan Jawa. Berbanding dengan masakan padang, tekakku lebih payah menelannya dan masakan padang bersama Jus Avocado adalah sungguh menyelerakan...

Pagi tadi, sekitar jam 9.30 pagi waktu Batam (10.30 pagi waktu Malaysia) kami bertolak balik ke Johor Bahru. Sayugia diingatkan, walaupun kita telah membeli tiket 'round trip', kita perlu lagi membayar cukai di terminal feri Batam sebanyak 105,000 rupiah setiap orang sebelum berangkat pulang.

Tiada apa yang aku belikan kecuali 2 pasang telekung (kain sembahyang); satu untuk Ma dan satu untuk Kak Ngah. Dan sebotol 'perfume' untukku....

Nasihatku kepada sesiapa yang ingin ke Indonesia, usah gunakan passport berkumpulan dan seelok-eloknya berbelanjalah di negara kita, lebih-lebih lagi di masa ekonomi kita yang agak gawat ini!

No comments:

Post a Comment