Hari ini, 12 September 2011, bermulalah pengajaran untuk semester 1 sesi 2011/2012 di UTM. Seperti aku maklumkan sebelum ni, semester ini lain dari semester sebelum sebelumnya. Kebiasaannya semester 1 bermula pada bulan Julai tetapi pada tahun ini, pertama kali dalam sejarah ia bermula pada bulan September.
Pagi tadi, aku ke Puspakom untuk menukar nama kereta Gen 2, JLA 6543, dari namaku kepada tuannya yang sebenar.
Sebenarnya, kami ke JPJ untuk menukar nama pada sebelum Hari Raya lagi. Setelah semua borang diisi, kami mengambil nombor dan menunggu nombor giliran. Apabila nombor kami dipanggil, kami merasa sangat seronok kerana sekejap lagi nama tuan punya kereta akan bertukar. Malangnya, setelah kami menghampiri kaunter dan borang-borang kami disemak, petugas di kaunter bertanya tentang surat kelulusan dari Puspakom. Kami ternganga, tidak tahu menahu tentang keperluan ini.
Proses ini terpaksa ditangguhkan kerana kawanku tidak membawa keretaku untuk diperiksa. Pertama kali kami dengar bahawa kereta perlu diperiksa sebelum ianya ditukar hakmilik!
Akhirnya, pagi tadi kami pergi untuk membuat pemeriksaan JLA 6543 di Puspakom. Syarat untuk menukar nama pemilik kenderaan ialah kenderaan terpaksa dibuat pemeriksaan.
Dalam keadaan terpinga-pinga, kami dapat masuk dalam 'queue'. Setelah boot kereta dibuka dan menunggu pemeriksa datang, kami meniru gelagat orang lain dan membaca notis yang tertera! BERSIHKAN NOMBOR ENJIN DAN NOMBOR CHASIS SUPAYA DAPAT DIBACA. Menggunakan kertas yang ada, kami membersihkannya dari habuk dan minyak hitam yang melekat. Getah alas di sekeliling pintu depan dan pintu belakang dicabut. Ini membolehkan pemeriksa melihat badan kereta yang asal dan mempastikan bahawa ia tidak disambung dengan badan kereta potong!
Apabila pemeriksa datang, dia bertanya tentang borang yang sepatutnya kami ada sebelum memasuki 'queue'. Kami berlari ke pondok yang sepatutnya kami lalui sebelum berada dalam 'queue'! Entah bagaimana kami boleh terlepas 'booth' ini. Ada sekeping borang lain yang perlu diisi dan bayaran RM30 dikenakan.
Kami membawa borang tadi ke kereta. Pemeriksaan terhadap kereta berjalan selama lebih kurang setengah jam. Akhirnya, kami mendapat surat yang menyatakan kereta kami lulus untuk ditukar hakmilik.
Kami bergegas pula ke JPJ. Sampai di sana dan setelah nombor kami dipanggil, kami menghadapi satu lagi masalah. Insuran yang baru yang sepatutnya melindungi kawanku masih belum 'online'! Pada hai Jumaat minggu lepas, kami telah menemui pengusaha takaful dan beliau bersetuju untuk 'online'kan insuran pada pagi ini. Insuran ini dibuat baru bagi menggantikan insuran sebelum ini yang menamakan diriku sebagai 'first driver'.
Kami terpaksa berpatah balik ke Skudai untuk menemui pengusaha takaful. Ini masalahnya apabila kita tidak mengambil nombor telefonnya. "Otherwise this problem can be rectified over the phone"
Sebelum balik ke Skudai, aku sempat ke pejabat peguam di Taman Molek untuk menjelaskan sebahagian dari yuran guaman untuk pembelian rumah baruku di Bandar Dato' Onn. Keseluruhan 'lawyer's fee' ialah RM6K dan hari ini aku baru jelaskan RM2K. Baki RM4K akan di'settle'kan sebelum hujung tahun ini.
Aku dah tak dapat ikut untuk ke JPJ kembali kerana aku ada kelas pada pukul 2 nanti. Pukul 2.30 petang pula, mesyuarat pertama fakulti di bawah dekan baru akan dilaksanakan. Jadi, kawanku terpaksa ke JPJ secara bersendirian.
Pada petangnya, hampir pukul 5, aku mendapat sms dari kawanku mengatakan bahawa proses pertukaran hakmilik berjaya dilakukan. Itupun setelah 3 kali pergi balik ke JPJ, 3 kali ke syarikat insuran dan takaful, dan sekali ke Puspakom. Patutlah ramai orang mengupah 'ulat' aje untuk melakukan kerja-kerja sebegini.
Sepatutnya kita permudahkan lagi prosedur...
No comments:
Post a Comment