"Penguluran (hutang) oleh orang yang mampu (membayar) adalah kezaliman" [Hadis Riwayat Al-Bukhari 2400 –Fathul Bari- dan Muslim 1564], tertera dalam FB Mohd Radzi Ibrahim. Kemudian Lotfi Al-Fikri juga dalam FB pula menambah, Imam al-Haitami mengatakan: "Orang berkemampuan tapi menangguhkan melunas hutang dengan sengaja dikira sebagai salah satu daripada dosa besar" [dalam al-Zawajir'an Iqtiraf al-Kabair, 1/250].
Pada asalnya, pegangan kita ialah apa yang bersandarkan Islam kita kena sokong! Sekolah Islam, Koperasi Islam, Bank bersandarkan syariah Islam, Takaful Islam, makanan Islam, pakaian Islam, dan segala yang berteraskan Islam wajib kita bantu dan 'make sure' dia terus hidup.
Jangan biarkan apa-apa yang Islam itu mati kerana kita... Kerana kita tidak membayar hutang yang kita pinjam dari mereka.
Hari ini saya mendapat senaskah Berita Muslimin dari Koperasi Muslimin Malaysia Berhad (KMMB). Koperasi ini ditubuhkan 30 tahun yang lalu atas daya usaha Persatuan Ulama Malaysia (PUM). Koperasi ini mempunyai keahlian seramai 36,173 orang, dengan bilangan terkecil dari Labuan seramai 8 orang dan yang teramai dari Selangor iaitu 9,996 ahli.
KMMB telah mengalami tunggakan hutang sehingga Mei 2011 berjumlah RM7.4 juta. Dengan kata lain, ahli KMMB seramai 704 orang telah berhutang dengan koperasi untuk membiayai pelbagai skim yang ditawarkan sehingga menjangkau RM7,408,221.88. Skim pinjaman untuk pembelian tanah/rumah merupakan peratusan tertunggak yang tertinggi.
Skim-skim lain yang disediakan oleh KMMB ialah pinjaman pembelian peralatan, pembiayaan pembelian kereta, qardhul hasan, pembiayaan motosikal, dan skim pinjaman untuk umrah dan ziarah.
Saya sendiri tidak pernah menggunakan perkhidmatan-perkhidmatan tersebut tetapi menyokong KMMB atas dasar sebuah koperasi Islam.
Sungguhpun demikian, saya banyak mendapat keuntungan dari segi anugerah cemerlang yang disediakan. KMMB menyediakan apa yang dipanggil sebagai Al-Abrar; anugerah kecemerlangan UPSR, PMR, SPM, STP, first class degree, PhD, dan tahfiz; khairat kematian; dan musibah.
Bagi Januari hingga Jun 2011, 891 permohonan Skim Al-Abrar telah diluluskan dengan jumlah RM351,842. Kategori Khairat Kematian mencatatkan kelulusan tertinggi dengan 719 kelulusan berjumlah RM259,550. Anugerah Cemerlang sebanyak 125 kelulusan berjumlah RM81,800 dan Musibah dengan 47 kelulusan dengan jumlah RM10,492.
Lihatlah betapa banyak koperasi telah membantu ahli mereka.
Kita perlu menyokong koperasi Islam seperti ini, dan sekarang di Johor sudah ada Koperasi AKRAB untuk ahli IKRAM. Marilah kita sokong institusi-institusi Islam seperti ini dan janganlah kita bebankan pengurusan kewangan mereka dengan bebanan hutang kita!
Jika kita terperangkap dengan hutang, maka usahakanlah dengan membayar sedikit demi sedikit. Setidak-tidaknya, ada nampak usaha dari kita...
No comments:
Post a Comment