Aku dan Dr Mat Hussin telah ditugaskan untuk menjaga anakanda Abdullah Ishaq bin Norizan dari pukul 9 malam hingga ke 1.30 pagi. Shif yang kedua, akan disusuli oleh Dr Tholuddin dan Dr Razali, dari pulul 2 pagi hingga 6 pagi.
Kami bertolak dari Skudai ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru (HSAJB). Semasa menunaikan solat Maghrib di Masjid Tan Sri Ainuddin Wahid tadi, aku telahpun mendapatkan maklumat dari akhi Roslan Abdul Hamid tentang wad mana Ishaq berada dan aras mana hendak dituju.
Apabila tiba di HSAJB, kami memasuki bangunan utama hospital dan kelihatan beberapa orang pengawal sedang bertugas mengawal pintu masuk ke wad.
Aku dengan selamba terus masuk melalui pintu pagar, manakala Dr Mat Hussin memberitahu pengawal bahawa beliau akan menemani pesakit, bla, bla...
Aku tidak ingin menunggu Dr Mat Hussin yang cuba mendapat restu dari pengawal, dan terus naik ke atas ke aras 4 melalui tangga. Dalam hati tertanya-tanya, bolehkah Mat Hussin 'convince'kan pengawal dan berjaya naik ke atas?
Setelah berada di sisi Abdullah Ishaq, aku mencari-cari telefon bimbitku. Yang pasti, ia tiada dalam poket seluar dan tiada dalam poket baju melayuku. Fikiran mula kalut, kalau Mat Hussin tak lepas dari pengawal dan cuba menghubungiku maka ia tidak dapat berbuat demikian. Dan aku akan berada di sini sorang-sorang sehingga jam 1.30 pagi.
Tiba-tiba Dr Mat Hussin sampai... alhamdulillah. Aku meminta beliau menghubungi telefonku. Seingat aku semasa dalam kereta tadi, aku ada menghubungi Dr Razali. Jadi 'confirm' samaada telefon bimbitku berada dalam kereta di tempat parkir atau terjatuh di luar kereta dan orang lain telah menjumpainya.
"Ada nada deringnya", jelas Mat Hussin.
Kemudian ibu Ishaq datang menjumpai kami. Beliau memaklumkan bahawa di sini ada air ubat dan susu jika Ishaq hendak minum.
Seorang ibu tetap seorang ibu. Mengasihi anaknya...walaupun anak itu sudah berusia 23 tahun. Ibu mengambil begnya dan menjamah kaki Ishaq seraya memberitahu bahawa beliau ingin pulang kepada Ishaq. Ishaq diam membisu...
Aku membaca surah Yaasin dan mendoakan semoga Allah menyembuhkan penyakit Ishaq. Selesai membaca Yaasin, aku meminta kunci kereta Dr Mat Hussin untuk mencari telefon bimbitku.
Alhamdulillah, rupa-rupanya telefon terjatuh di bawah seat.
Aku naik semula ke wad, tetapi kali ini dengan membawa pas kebenaran untuk menjaga Ishaq yang aku dapati di atas meja sebelum turun ke bawah tadi. Pengawal membenarkan aku naik dengan senang apabila melihat pas tersebut.
Aku menelusuri tangga ke atas. Dan sekali lagi melalui katil-katil pesakit di wad neuro, aras 4, sebelum tiba ke katil bernombor 10, iaitu katil Ishaq. Melalui katil-katil ini begitu banyak memberi keinsafan buat diri ini. Semua pesakit-pesakit di atas katil berjahit di kepala. Ada yang berjahit pendek dan ada yang berjahit hampir keseluruhan muka atau kepalanya.
Bersyukurnya diri ini kerana tidak diuji sepertimana orang lain yang diuji sebegitu. Subnallah, Maha Suci Allah, Engkau masih menyayangi daku dan keluargaku... Sekiranya Engkau uji aku dalam keadaan begitu, aku memohon kepadaMu untuk terus redha dan menerimanya dengan tabah.
Aku meneruskan lagi zikir dengan bacaan al-ma'thurat kubra kepada anakanda Ishaq.
Sedang aku berzikir, 'nurse' datang dan memberi Ishaq minum susu melalui hidungnya. 'Drip' air ke badan melalui tangan masih berjalan seperti biasa...
Ada satu katil, yang suaminya selalu memanggil isterinya jika isterinya tiada. Isteri mungkin keluar sekejap untuk ke tandas dan sebagainya.
Melihat mereka yang sakit ini mendatangkan satu rasa keinsafan kepada diri kita dan menundukkan segala kemahuan-kemahuan duniawi. Adalah amat wajar sekiranya kita boleh melakukan program seumpama ini sebulan sekali. Ia begitu jelas boleh meruntuhkan ego dan nafsu kita...
No comments:
Post a Comment