Wednesday, September 28, 2011

Hudud Oh Hudud!

Apabila pilihanraya semakin dekat, isu hudud timbul lagi...

Apakah tujuan isu hukum hudud ditimbulkan, dan oleh siapa? Tujuan hukum hudud ditimbulkan boleh dibahagikan kepada beberapa kriteria; untuk memahamkan kepada masyarakat, untuk menarik minat orang bukan Islam kepada Islam, untuk menunjukkan betapa kejamnya hukum hudud dengan hukuman potong tangan, rejam, dan sebagainya, dan untuk menakutkan masyarakat bukan Islam kepada agama Islam.


Mereka yang menimbulkan isu ini pula adalah terdiri dari kaum bukan Islam dan kaum Islam itu sendiri. Kaum bukan Islam memang sepatutnya mereka takut hukum hudud kerana mereka tidak tahu dan tidak faham tentang Islam. Tetapi jika mereka faham Islam walaupun masih belum beragama Islam, mereka akan menyokongnya kerana betapa adilnya, bertimbangrasanya, dan betapa telusnya hukum hudud ini... Keadilannya mencakupi orang-orang Islam dan bukan Islam. Itulah agama Allah!

Jika orang Islam yang menimbulkan isu ini untuk menakut-nakutkan golongan bukan Islam maka mereka sebenarnya termasuk dalam golongan mereka yang ingin meruntuhkan Islam.

Kita agak kurang faham tentang golongan ini yang mengaku dirinya Islam tetapi tidak inginkan Islam sebagai satu sistem yang syumul. Mereka tidak ingin merealisasikan Islam sebagai satu cara hidup dan tidak menerima sistem Islam yang telah digariskan Allah dan diwahyukan kepada rasulNya.


Mereka menyifatkan atau mempercayai Islam secara segmentasi dan bukan secara menyeluruh. Hendak solat pergilah ke masjid tetapi masih mempunyai ruang dan waktu untuk ke 'night club' untuk berfoya-foya!

Musim bulan Ramadan kita ke masjid untuk bertarawih, beriftar, beri'tikaf dan sebagainya tetapi bila habis selesai Ramadan kita ingin menganjurkan pertunjukan fesyen, majlis tari menari, serta menyanyi dan sebagainya. Itu baru Islam yang progresif!

Kalau semuanya mengikut peraturan dan perundangan Islam yang telah Allah tunjukkan maka kita menganut ajaran Islam Fundamentalis. Dan ini tidak cocok dengan nafsu kita...

Alangkah sedih jika kita seorang yang mengaku Islam dan beramalkan dengan cara Islam tetapi menentang hukum yang telah digaris dan ditetapkan oleh Allah! Kita hanya menerima separuh-separuh!


Na'uzubillahu min zaalik dari berkata bahawa hukum hudud tidak akan kita jalani atau laksana selama mana kita memerintah!

Tetapi ia nampak lebih manis jika kita berkata bahawa hukum hudud tidak menjadi 'priority' untuk kita laksanakan pada masa kini kerana strategi kita yang masih menekankan kepada peningkatan ekonomi kepada masyarakat madani.

Adalah amat malang kepada kita yang mempercayai agama Allah tetapi tidak dapat menerima sistem-sistem yang telah digariskan Allah. Sesungguhnya Pencipta sesuatu benda atau perkara lebih mengenali dan memahami tabiat atau tingkahlaku bahan atau individu yang diciptaNya.

Hudud is ok!

No comments:

Post a Comment