Kita yang mendokong agama fitrah, iaitu agama Islam sepatutnya bersyukur dan menyokong penuh usaha YAB Perdana Menteri yang telah membubarkan ISA. ISA adalah satu peraturan lama yang telah digunapakai sehinggalah ia diisytiharkan sebagai mansuh pada 16 September lalu sempena sambutan Hari Malaysia.
Sebelum ini agak ramai rakyat yang telah ditangkap menggunakan ISA, baik di kalangan pemimpin politik mahupun dari kumpulan-kumpulan lain yang dilabelkan sebagai KMM, JI, komunis dan sebagainya.
Kita tidak dapat bayangkan bagaimana keluarga mereka yang ditangkap melalui cara ini melalui kehidupan mereka. Yang pasti keluarga mereka akan terus menunggu dan menanti kepulangan ahli keluarga mereka itu. Menanti yang tidak berkesudahan...
Hari demi hari berlalu tetapi tiada caj yang akan dibawa ke mahkamah untuk mensabitkan kesalahan. Ini yang Islam tentang habis-habisan... Ia merupakan satu penganiayaan dan kezaliman yang telah dibuat ke atas tertuduh dan keluarga mereka.
Islam mengarahkan setiap tuduhan perlu dibuat perbicaraan secara terus dan dengan seadil-adilnya tanpa mempengaruhi mana-mana pihak.
Itu adilnya Islam, sehingga Rasulullah (SAW) bersabda, "Jika Fatimah anakku didapati mencuri, akan ku potong tangannya".
Begitukah juga sikap kita agaknya? Atau hanya bertegas apabila kesalahan di pihak lawan... Jika kita yang bersalah maka seribu dalih atau alasan cuba kita karangkan.
Merasai ketidakadilan yang keterlaluan inilah yang menggerakkan hati Dr Norkhair untuk memandu serta membawa ahli keluarga mangsa ISA ke Kamunting saban kali diperlukan biarpun beliau di kala itu masih memegang jawatan Ketua Jabatan Geoinformatik.
Jika ditanya padaku, sanggupkah aku melakukannya sepertimana beliau? Aku pasti mempunyai 1001 macam 'excuses' yang akan aku kemukakan... Aku tidak mempunyai daya kekuatan sepertimana beliau...
Cuma aku juga merasa hairan, ada segelintir manusia yang terkilan dengan pemansuhan ini. Mereka rela ada segelintir manusia ditangkap dan tidak dibicarakan sehingga lebih 6 tahun seperti apa yang dilalui Dr Abdullah Daud.
Aku menjangkakan, mereka pasti tidak teragak-agak lagi supaya akta zalim ini dimansuhkan buat selamanya sekira ada di kalangan saudara terdekat mereka dihukum sedemikian.
Bagi mereka, selagi tidak terkena batang hidung mereka tak mengapa... Apabila terkena penyesalan yang tiada guna...
Kita seharusnya menyokong sepenuh dan setulus hati mana-mana peraturan yang menjurus ke arah kebaikan ummah, tidak kira dari mana ianya datang.
No comments:
Post a Comment