Thursday, January 31, 2013

Banyakkan Berselawat Keatas Junjungan Besar Nabi Muhammad (SAW)

Kita digalakkan sentiasa berselawat keatas junjungan besar Nabi Muhammad (SAW). Tidak kira bila masa, di mana dan dalam bagaimana keadaan sekalipun; baik berdiri, duduk, mahupun berbaring dan sebagainya.


Di bulan Rabiul Awal ini, ramailah yang merayakan Maulidur Rasul, menandakan kesayangan dan kerinduan kita kepada baginda.

Dari pengorbanan penat jerih baginda dan para sahabatlah menjadikan kita dapat mengamalkan Islam yang syumul pada hari ini. Tanpa kesusahan mereka yang dilempar batu, najis, dan kemuncaknya diancam bunuh oleh kaum musyrikin, malah digelarkan dengan pelbagai gelaran, ahli sihir, gila dan sebagainya, maka mungkin kita masih menjadi penganut Hindu atau animisme yang tegar.


Alhamdulillah... Kita diberi hidayah dan menerima nikmat Islam yang tidak mampu dibeli dengan harta yang menggunung!

Pada minggu lepas, saya sempat mendengar ceramah Bro. Jay di Masjid Tan Sri Ainuddin Wahid sempena perayaan Maulidur Rasul, yang menceritakan bagaimana dugaan dan cabaran yang diterimanya setelah mengangkat syahadah.

Kita tidak diberikan dugaan sepertimana beliau, yang mana keluarganya sudah tidak menerima beliau. Kita juga tidak diduga dengan kecaman dan ancaman saudara mara. Kita juga tidak perlu berselindung atau menyorokkan diri untuk mengerjakan solat kerana ditakuti orang tahu bahwa kita beragama Islam.

Kita seharusnya banyak bersyukur dengan anugerah Islam ini yang begitu bernilai! Masakan saudara-saudara baru kita sanggup menempuh segala rintangan dan dugaan sekiranya maharnya murah. Sudah pasti mahal harganya!

Orang tidak bertarung nyawa untuk mendapatkan barangan yang murah harganya...


Adakah kita sendiri sedar tentang nilai Islam yang kita miliki itu mahal harganya? Kadang-kadang ramai orang tidak sedar nilai sesuatu yang dimilikinya begitu berharga sehinggalah dia hilang barangan tersebut.

Kalau kita masih tidak sedar... astagfirullahil 'azim! Sayang seribu kali sayang.

Seharusnya kita perlu menyedarkan diri sebelum kita tersedar bahawa kita sudah berada di alam kubur. Apabila kita sudah sampai ke sana maka tiada gunanya lagi... Nasi sudah menjadi bubur.

Setelah kita sedar, apakah langkah yang selanjutnya?

Yang pasti ialah kita perlu mengamalkan Islam yang kita anuti dan yang tak kurang penting juga ialah kita perlu menyebarluaskan Islam ke dalam masyarakat. Kita ingin mereka juga bersama kita di syurga Allah nanti, insyaAllah...

No comments:

Post a Comment