PRU 13 semakin dekat. Kerajaan Malaysia seharusnya melaksanakan pilihanraya semula menjelang berakhirnya pemerintahan selama 5 tahun. Peraturan ini membabitkan kerajaan persekutuan dan juga kerajaan negeri. Walaupun kerajaan negeri dibolehkan untuk membuat pilihanraya yang berasingan tetapi kos perlaksanaan pilihanraya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menelan belanja yang sangat tinggi dan akan menyebabkan pembaziran jika ia dilakukan secara berasingan.
Oleh itu, pada perkiraan Tok Wae semua negeri akan menjalankan pilihanraya serentak dengan pilihanraya persekutuan. Walaupun terdengar ura-ura kerajaan negeri Selangor akan mengisytiharkan pilihanraya DUN sebaik saja selepas Chap Goh Meh...
Semua kita tahu bahawa pilihanraya persekutuan bertujuan untuk memilih wakil rakyat di peringkat parlimen bagi membentuk kerajaan persekutuan. Pilihanraya negeri pula bertujuan untuk memilih wakil rakyat di peringkat ahli dewan undangan negeri (ADUN). Mana-mana parti politik yang mempunyai kelebihan majoriti akan membentuk kerajaan, baik di peringkat kerajaan persekutuan mahupun peringkat kerajaan negeri.
Kalau dulu kita mempunyai satu lagi pilihanraya iaitu pilihanraya bagi memilih wakil rakyat di peringkat kerajaan tempatan. Dengan kata lain, mereka dipilih bagi menganggotai majlis-majlis bandaraya, perbandaran, dan daerah.
Parti politik masing-masing sudah bersiap sedia menunggu pengumuman tarikh keramat dari YAB Perdana Menteri. Banyak bendera parti telah berkibar di merata-rata; baik di jalanan mahupun di taman-taman perumahan.
Walaupun peperangan masih belum diisytiharkan tetapi serangan kepada pihak lawan sudah lama bermula. Peluru yang digunakan terdiri daripada pelbagai bentuk; ada yang membuat serangan peribadi, ada yang membongkar penyelewangan, ada yang mengeluarkan panduan belanjawan baru jika mereka memerintah, ada yang memberi bantuan kewangan, dan sebagainya.
Segala bentuk bantuan telah dipelawa oleh kerajaan persekutuan. Bantuan BR1M, bantuan lesen motosikal, bantuan pengajian di peringkat Sarjana bagi kursus kritikal dan sebagainya.
Suatu masa dulu, ada kedengaran yang mengatakan bahawa kita perlu mengurangkan bantuan atau 'tongkat' kepada golongan bumiputera supaya mereka boleh hidup berdikari tetapi sekarang lain pula 'approach'nya.
Itulah... strategi berubah apabila masa berubah!
Berita dalam TV, terutamanya TV3 sudah lama mengebom parti lawan. Akhbar juga tidak jauh ketinggalan dalam membuat tembakan mortar 81mm ke arah musuh. Akhbar yang paling ketara ialah Utusan Malaysia yang mana sanggup menghantar unit berani mati untuk menelanjangkan pihak lawan. Beberapa tahun lepas, NST juga melontar bom tangan yang mana mantan Ketua Polis Negara menyatakan Datuk Nik Abdul Aziz, Menteri Besar Kelantan sebagai 'father of kafir'.
Tiada pula fatwa dari Majlis Fatwa Kebangsaan menyokong atau melarang sesiapa dari mengeluarkan kenyataan sebegitu...
Tidak kurang juga yang cuba menunjukkan keretakan kerjasama di pihak lawan.
Rakyat di Malaysia sudah agak mahir untuk memilih siapa pemimpin mereka. Media massa banyak memainkan peranan dalam usaha menawan hati masyarakat.
Kalau dulu kita kurang kemudahan internet dan banyak berita yang diperolehi hanya melalui akhbar dan TV. Sekarang dunia sudah tiada sempadan. Apa yang berlaku beratus ribu batu jauhnya, akan kita ketahui dalam hanya beberapa saat saja.
Jika kita masih belum peka dengan perkembangan ini dan hanya menyiarkan berita yang berat sebelah maka rakyat akan merasa simpati kepada pihak yang sebelah lagi. Bukan kerana apa... tetapi kerana masyarakat merasakan kita tidak berlawan dalam keadaan yang seimbang.
Mana boleh kita mempunyai semua anggota kaki dan tangan yang bebas manakala lawan kita kedua tangan dan kakinya berikat. Sudah pasti masyarakat nampak ia suatu perlawanan yang tidak adil.
Ada rakan-rakan yang bertanya Tok Wae siapa atau parti mana yang hendak dipilih?
Jawapan Tok Wae kepada mereka hanya mudah. Kita ini bukan alim sangat. Kita ingin memasuki syurga disamping senang dan tenang juga di dunia. Orang kuat agama atau para ustaz adalah warisatul anbiya'. Kita seharusnya mencontohi para ulama ini.
Oleh itu, kita senaraikan para ustaz ini yang dulunya selalu keluar TV dalam sesi Forum Perdana Ehwal Islam dan sekarang dimana mereka? Bandingkan bilangan mereka yang menyertai parti politik mana supaya kita yang jahil ini dapat mengikut majoriti ustaz tersebut. Kalau kita yang jahil ini memilih parti yang ustaznya hanya segelintir dan kita tidak mengikuti ustaz-ustaz yang majoriti maka kita tidak nampak selari dengan perjuangan Islam kita.
Ok sekarang mari kita senaraikan;
Ustaz atau ustazah yang berada dalam UMNO;
i) Ustaz Pirdaus Ismail bekas Imam Negara
ii) Ustazah Senator Dato' Dr Masitah Ibrahim,
iii) YB Mej. Jen. Dato’ Seri Jamil Khir bin Haji Baharom
iv) Ustaz Datuk Dr Abdullah Mohd Zin
v) Dr Asyraf Wajdi Dusuki
vi) Ustaz Fathul Bari
Ustaz atau ustazah yang berada dalam PAS dan PKR;
i) Ustaz Taib Azimudden Md Taib (bekas Imam Negara)
ii) Ustaz Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
iii) Ustaz Datuk Dr Harun Din
iv) Ustaz Azhar Idrus
v) Ustaz Ismail Kamus
vi) Ustaz Dr Badrul Amin Baharom
vii) Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin
Rasanya ramai yang bersama dengan parti lawan berbanding dengan parti kerajaan.
Pun begitu, ini bukanlah penanda aras yang hakiki. Banyak faktor lagi yang terlibat apabila kita memilih parti atau YB. Antaranya ialah dasar parti, sahsiah peribadi calon, sejarah hidup perjuangan mereka, fikrah, dan sebagainya.
Kita inginkan sebuah negara yang stabil, ada 'check and balance', mempunyai 2 parti yang kuat yang boleh menegur antara satu sama lain. Apabila ada yang menegur dari parti yang sama kuat, maka negara kita akan lebih baik, teratur, jauh dari amalan rasuah, tidak pentingkan diri, dan sebagainya.
Kita tidak lagi perlu satu parti yang betul-betul kuat yang mana ia amat diperlukan ketika awal kemerdekaan dulu. Sekarang jika hanya satu parti yang betul-betul kuat maka ia mudah hilang pertimbangan dan akan menjerumuskan mereka yang bergelar sebagai YB ke lembah rasuah, nepotisme, penyalahgunaan kuasa, dan bermacam-macam lagi.
Oleh itu, amat wajar negara kita mempunyai satu pihak pembangkang yang agak kuat. Ini akan menghasilkan sebuah kerajaan yang sentiasa peka dengan aspirasi rakyat. Dan dengan yang demikian, pada masa itu rakyat akan betul-betul didahulukan...
No comments:
Post a Comment