Wednesday, February 27, 2013

Pembayaran Cukai Tanah Di Pejabat Tanah Perlu Dibuat Transformasi

Semalam saya pergi ke Pejabat Tanah Johor Bahru untuk menjelaskan cukai tanah 2013. Setelah mengambil nombor, saya melihat nombor yang dipaparkan pada skrin, hush... masih jauh, lebih kurang 200 nombor lagi sebelum sampai kepada nombor saya. Saya berjalan keluar dari Pejabat, tiba-tiba ada seorang wanita cina mempelawa satu nombor kepada saya. "Kurang-kurangnya nombor ini lebih cepat", katanya kepada saya.

Setelah mengucapkan terima kasih, saya berlalu pergi. Destinasinya ialah Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), untuk membayar cukai harta.

Untuk mendapat parkir di Pejabat Tanah Johor Bahru adalah satu perkara lagi. Bukan senang... Kadang-kadang terpaksa keluar balik dari perkarangan pejabat dan tawaf stesen bas Larkin dan masuk balik ke perkarangan pejabat. Kalau ada rezeki, insyaAllah, ada kereta yang hendak keluar.

Ini adalah kali kedua saya ke Pejabat Tanah Johor Bahru setelah cubaan pertama pada bulan Januari gagal kerana terlampau ramai sangat orang yang ingin menunaikan tanggungjawab sebagai warga yang berdisiplin.

Ramai kawan-kawan saya yang sudah tidak melakukan pembayaran di pejabat tetapi melaksanakannya melalui 'on-line payment'. Saya masih jenis manusia yang 'old fashioned', kalau tak pergi sendiri ke pejabat rasa macam tak puas.

Walau bagaimanapun bagi sesiapa yang ingin membayar secara 'on-line', mereka bolehlah melayari http://onlinepayment.johor.gov.my/.

Setibanya di MBJB, masalah parkir juga tetap sama. Tetapi sekurang-kurangnya ada beberapa petak disediakan untuk pembayar cukai.

Setelah mengambil nombor, saya menunggu lebih kurang 10 minit sebelum nombor saya dipanggil. Pertama kali nombor kita dipanggil ialah untuk mereka 'print' resit mengikut tempoh bayaran yang ingin kita bayar iaitu samaada untuk 6 bulan atau setahun terus. Kemudian kita tunggu lagi untuk membuat pembayaran di kaunter pembayaran. Itupun tidaklah lama sangat. 'All in', saya rasa tidak sampai setengah jam.

Saya bergerak kembali ke Pejabat Tanah Johor Bahru. Setelah meletakkan kereta betul-betul di depan pondok jaga, saya menapak ke atas bukit menuju ke pejabat.

Malangnya nombor saya masih jauh dari nombor yang dipaparkan di skrin. Bilangan kaunter ada lima, tetapi hanya dibuka 3 kaunter. Apabila jam melewati 1 petang, hanya satu kaunter dibuka... Ini jauh berbeza dengan apa yang barat praktiskan. Bagi orang barat, klien dijaga dan dihormati! Seboleh-bolehnya mereka akan memenuhi ke semua kaunter dan mereka akan tangguhkan masa minum atau masa makan mereka.

Nombor saya dipanggil apabila jam menghampiri pukul 2 petang.

Sebelum nombor saya dipanggil, ada seorang india datang menanyakan samaada boleh tak saya membayar bilnya sekali. Saya merasa serba salah samaada ingin membantu atau tidak. Maksud saya bukan tidak ingin membantu tetapi takut apa yang saya lakukan nanti mendapat dosa.

Maksudnya ialah apabila saya turut membayar bilnya, saya telah membantu pemuda tersebut melangkah mereka yang beratur. Kata orang, potong 'queue'!

Tidak dinafikan bahawa ramai yang buat perkara sebegini. Tetapi adakah ia halal atau haram?

Setelah menjelas keadaan ini kepada pemuda tersebut, saya tak pasti samaada beliau faham atau tidak. Tetapi yang pasti, jelas di air mukanya nampak macam ia kurang senang dengan tindakan saya. Saya juga turut rasa bersalah kerana tidak 'menolong'nya...

Saya merasakan bahawa pihak Pejabat Tanah perlu memberikan kemudahan kepada pelanggan untuk membayar cukai untuk beberapa tahun ke depan. Dengan berbuat demikian, ia akan mengurangkan kesesakan di pejabat pada setiap awal tahun.

Mungkin ada yang menyatakan bahawa ia akan menyusahkan pihak pejabat apabila kadar cukai dinaikkan. Pada saya ia tidak akan menjadi masalah kerana kita boleh menghantar surat bagi memaklumkan kadar baru tersebut. Pihak Pejabat Tanah juga lebih beruntung kerana mendapat duit yang banyak. Lagipun, cukai tanah ini bukanlah naik setiap tahun.

Pihak Pejabat Tanah juga dilihat sebagai satu pihak yang tidak konsisten dari aspek pengamalan. Pada tahun lepas, golongan pesara atau veteran diberi laluan khas untuk mereka membayar cukai tetapi pada tahun ini tiada pula...

2 comments:

  1. Assalam...satu lagi alternatif bayar cukai secara online di http://onlinepayment.johor.gov.my/ .... saya telah menggunakannya beberapa tahun lepas.

    ReplyDelete