"Mat, jom kita tulis 'paper' sama-sama...", ajak Man. Begitu bersemangat lagi Prof Dr Ir Man bin Min mengajak Mat untuk membuat 'joined paper' dengannya.
Bukan ada apapun yang Man akan dapat dari penyarah kanan seperti Mat untuk menulis artikel bersamanya. Tujuan Man hanyalah untuk membantu sahabatnya supaya ada 'paper' yang dapat dihantar kepada jurnal berwasit.
Untuk naik pangkat di universiti tidak semudah cikgu di sekolah. Cikgu di sekolah katanya hanya menggunakan sistem 'time scales'; 8, 8, 6, 3. Dalam masa 25 tahun cikgu yang hanya berbekalkan Ijazah Sarjana Muda akan berpencen dengan DG54.
Bagi pensyarah laluannya amat jerih. Untuk mendapat DS54, seseorang pensyarah perlu memiliki PhD dan 'publish' banyak artikel di dalam jurnal berwasit di peringkat antarabangsa. Jadi, ramailah pensyarah yang terpaksa berpuas hati dengan apa yang ada dan akur berpencen dengan DS52 saja walaupun telah berkhidmat melebihi 25 tahun.
Pada Man tiada apa lagi yang dia hendak kejar dalam dunia yang fana ini. Sudah mendapat pangkat Jusa B. Apa nak lagi? Nak tambah isteri? Ada juga rasa keinginan tapi... bila mengenangkan susah untuk mempengaruhi isteri tua dan memikirkan anak perempuan sendiri masih belum bertemu jodoh, maka hasratnya terpaksa dipendamkan saja.
Matpun bukanlah lembam sangat tetapi dia belum boleh memecahkan ruyung untuk belajar menulis dalam jurnal secara bersendirian.
Man selaku qiadah dalam jamaah merasakan kepakarannya dalam menulis artikel patut dikongsi bersama dengan jundi dalam jamaahnya. Apabila semakin ramai orang pandai menulis kepada jurnal maka semakin ramai sahabat-sahabatnya mendapat pengiktirafan dan kenaikan pangkat.
Bukan rugipun Man. Seduitpun tak rugi.
Man hanya cuba membantu orang seperti Mat agar kemanisan ukhuwah sesama ahli jamaah dapat diraih bersama. Man juga berfikir sekiranya proses mentor-mentee ini berjaya, Mat akan menjadi mentor pula dan membantu menteenya yang lain. Dan proses ini akan berterus-terusan...
Bagi segelintir orang yang sudah berjaya pula berpandangan, "Aku nak dapat naik jawatan Profesor susah nak mampus, kalau engkau nak jadi macam aku, engkau kena usahalah sendiri".
Niat suci Man begitu Mat hargai... Mat berazam akan membantu kawan-kawannya yang lain pula apabila dia sudah pandai menulis nanti.
Menulis ni bukanlah satu perkara yang mudah. Ia perlu diasuh dan diajar oleh mereka yang telah berjaya mencipta nama di persada jurnal antarabangsa.
Dengan niat ikhlas Man itu, insyaAllah kehidupannya akan bertambah berkat di dunia ini mahupun di akhirat. Jarang-jarang sekali kita menjumpai orang yang prihatin kepada rakan seperti Man. Kita doakan semoga Man terus maju jaya... Amin!!!
No comments:
Post a Comment