Sepanjang di SMSI pernah sekali aku mendapat markah tertinggi dalam matapelajaran Ilmu Perdagangan. Aku masih menyimpan Buku Laporan Kemajuan Murid SMSI hingga kini.
Prestasiku dalam kelas boleh dikatakan agak baik. Pada setengah tahun pertama 1978, aku mendapat tempat ketiga dari 36 pelajar dalam kelas 2P2. Pada setengah tahun kedua 1978, aku masih mengekalkan kedudukan tempat ketiga di dalam kelas tetapi mendapat tempat ke 20 dalam tingkatan yang seramai 185 orang pelajar.
Pada tahun 1979, aku telah bertukar kelas, dari 2P2 semasa Tingkatan 2 kepada 3P1 di Tingkatan 3. Aku rasa mungkin kerana prestasiku yang mendapat tempat ke 20 dalam keseluruhan Tingkatan 2 dulu.
Di kelas 3P1, aku mendapat tempat ketiga dari 36 orang murid pada setengah tahun pertama. Pada setengah tahun kedua, dengan menggunakan keputusan percubaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP), aku mendapat tempat ke 4 dari 39 orang pelajar dalam kelasku.
SMSI yang terletak di Jalan Telipot, merupakan salah sebuah sekolah yang agak elit pada pandanganku. Kebanyakan yang belajar di sini adalah dikalangan mereka yang terpilih.
betul ke? banyak kali hantar sampainya 2, 3 hari kemudian baru sampai...
Seingatku, masalah utama di sekolah pada masa itu ialah pergaduhan. Masing-masing ingin menunjukkan 'skills' shaolin. Cerita-cerita kungfu cina di panggung-panggung wayang atau dipanggil pawagam sekarang menjadi ikutan pelajar sekolah pada masa itu.
Aku tidaklah tahu sangat tentang teknik atau taktik pergaduhan ini kerana aku boleh dikatakan dari kalangan budak baik.
Antara guru disiplin yang menjaga tatatertib di sekolah ialah seorang ustaz yang kenali sebagai Joe Mannix. Ustaz ini memang 'famous' di SMSI kerana kepakarannya dalam bidang siasatan. Oleh sebab itu, namanya digelar sebagai Joe yang tersohor dalam filem berkaitan siasatan di kaca TV pada masa itu. Sayapun sudah lupa apa nama ceritanya...
Antara kerja ustaz juga ialah mempastikan tiada pelajar yang memakai seluar panjang ke sekolah. Ha... ha... ha... Kerja ustaz di SMSI ialah untuk membenteras mereka yang cuba untuk menutup aurat (kalau kita guna ayat yang cuba untuk memburukkan nama ustaz). Pada hal ustaz hanya menjalankan peraturan yang ditetapkan oleh pihak sekolah.
Bagi pelajar pula, disamping merasakan berseluar panjang adalah tuntutan agama untuk menutup aurat, mereka juga merasa agak malu kerana pada tahap tingkatan 1 hingga 3 ini, kami sudah besar panjang. Malah ramai yang betisnya berbulu dan sebagainya. Guru-guru di SMSI juga ada dari kalangan guru perempuan.
Untuk memakai seluar panjang, kami perlu menunggu setahun lagi iaitu sehingga ke Tingkatan 4 di Sultan Ismail College (SIC) nanti dan tidak semasa di SMSI.
Oleh itu, ada juga pelajar yang ke sekolah dengan berseluar panjang. Dan apabila tiba di sekolah mereka membuka dan menukarnya dengan seluar pendek di tandas.
Semasa di Tingkatan 3, aku ada menghadiri kelas tuisyen berbayar dengan mantan cikgu besar sebuah sekolah, Mr Muhammad namanya (kalau tak silap), yang rumahnya terletak berhampiran dengan antenna TV di Jalan Telipot.
Satu peristiwa yang tidak dapat aku lupai semasa di Tingkatan 3 ialah aku mendapat sebiji penampar dari cikgu Teoh. Ceritanya begini, kelasku baru habis PJ (pendidikan jasmani). Kemudian guru yang sepatutnya masuk mengajar selepas PJ tidak masuk. Jadi kelasku bising! Cikgu Teoh yang mengajar matematik di kelas sebelahpun datang ke kelasku. Tanpa bertanya khabar, cikgu Teoh menampar semua murid yang dirasakan bersalah pada pandangannya. Pada masa itu, bajuku berada di luar seluar.
Di SMSI, cikgu Teoh dan cikgu Cheah (atau Cheang, dah lupa namanya) adalah 2 orang guru matematik yang unggul. Aku tidak pernah belajar dengan cikgu Teoh tetapi aku belajar dengan cikgu Cheah.
Seingat aku semasa menjawab soalan Ilmu Hisab Moden dalam SRP dulu, aku menjawabnya dengan lancar satu per satu sehinggalah tiba kepada soalan yang ke 59, aku terpaksa meninggalkannya sekejap untuk menjawab soalan terakhir, soalan yang ke 60. Kemudian aku kembali semula kepada soalan yang ke 59.
Aku yakin bahawa dalam peperiksaan Ilmu Hisab Moden semasa SRP dulu, aku mendapat "1" dalam matapelajaran tersebut disebabkan oleh betul kesemua soalan atau mungkin hanya salah satu, iaitu soalan 59.
Dan matapelajaran yang paling aku tidak dapat mempercayai keputusannya dalam SRP ialah matapelajaran Pengetahuan Agama Islam. Aku mendapat '6'!
Selepas mendapat keputusan SRP, aku ada juga menyuarakan kepada Kak Zah untuk ke Maktab Tentera Diraja (RMC). Tetapi ia kurang mendapat restu dari ahli keluargaku...
Oleh itu, aku hanya memohon untuk ke Sekolah Menengah Teknik. Sementara menunggu keputusan dari Bahagian Teknik dan Vokasional, aku meneruskan pelajaran di SIC di Tingkatan 4.
No comments:
Post a Comment